- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Pusat Rujukan Perkhidmatan Kawasan Pedalaman

Must read

Menjalani hidup sihat adalah impian setiap
individu bagi menjadikan hidup mereka lebih ceria dan bersemangat. Pihak kerajaan menyediakan banyak kemudahan
kesihatan di setiap ceruk rantau di seluruh negara bagi menjamin kesihatan
setiap penduduk agar sentiasa terkawal.

Kemudahan kesihatan merangkumi Hospital,
Klinik Kesihatan dan Klinik Desa.
Kemudahan ini disediakan mengikut hierarki di peringkat negeri, daerah
dan tempatan.

Dasar pelaksanaan kesihatan adalah untuk
menggalakkan dan menjamin masyarakat sihat dari segi fizikal dan mental. Kemudahan kesihatan disediakan bertujuan
untuk menyalurkan perkhidmatan pencegahan, rawatan dan pemulihan.

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dalam pembentangan RMK9 di Dewan Rakyat Mac lalu, dengan jelas
menyatakan bahawa penekanan perlu diberikan untuk memperkukuh dan menambah baik
kecekapan, kualiti, akses dan kesaksamaan dalam penyampaian khidmat penjagaan
kesihatan untuk menggalakkan kesejahteraan sepanjang hayat di kalangan rakyat
seperti mengekalkan kesihatan, mengurangkan beban penyakit dan memanfaatkan
sumber yang ada untuk faedah optimum masyarakat.

Untuk itu Perdana Menteri menggariskan
beberapa langkah harus diusahakan untuk :

  • Mencegah dan mengurangkan beban penyakit
    bagi meningkatkan taraf kesihatan;
  • Menambah baik sistem penyampaian penjagaan
    kesihatan;
  • Mengoptimumkan sumber melalui pengukuhan
    dan integrasi;
  • Meningkatkan penyelidikan dan pembangunan;
  • Mengurus krisis dan bencana berkaitan
    kesihatan secara berkesan;
  • Meningkatkan pembangunan sumber manusia;
    dan
  • Memperkukuhkan sistem maklumat dan
    pengurusan kesihatan.

Di Sarawak, kemudahan kesihatan yang kita
nikmati tidak banyak bezanya berbanding dengan negeri-negeri lain di
Malaysia. Sungguhpun saiz negeri ini
luas dengan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang dan mempunyai banyak sungai,
namun ini tidak pula menjadi halangan
penduduk di negeri ini untuk memperolehi kemudahan dan jagaan kesihatan yang
baik.

Di kawasan luar bandar dan pedalaman,
kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar dengan menyediakan pusat-pusat
kesihatan, klinik desa dan juga perkhidmatan kesihatan bergerak.

Tumpuan kemudahan kesihatan yang lebih
canggih juga tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu
dan Miri.

Pembinaan
Hospital Sarikei yang lebih besar dan lengkap dalam RMK8 membuktikan kerajaan
tidak meminggirkan keperluan penyediaan kemudahan jagaan kesihatan yang lengkap
untuk penduduk yang tinggal di bandar-bandar bukan bandar utama di negeri ini.

Pembinaan
hospital ini merupakan pusat rujukan perkhidmatan kesihatan yang baru untuk
penduduk Bandar Sarikei serta kawasan pedalaman yang berdekatan.

Hospital
ini mula dibina pada tahun 2001 di atas kawasan seluas 38 hektar dengan kos
kira-kia RM250 juta dan siap pada 8 Disember 2005 dan telah mula beroperasi
sepenuhnya pada 15 Februari 2006.
Hospital ini dilengkapi dengan 212 buah katil berbanding dengan hospital
sebelum ini yang hanya mampu menempatkan 112 katil.

Kelengkapan hospital ini adalah antara
yang terbaik di negeri ini selain menggunakan beberapa sistem yang baru. Antaranya ialah penggunaan sistem
penghantaran dokumen yang menggunakan sistem tekanan/vakum dari satu
tempat/jabatan di hospital ini. Sistem
ini hanya terdapat di Hospital Sarikei dan Hospital Bintulu.

Penggunaan sistem ini ternyata mampu
meningkatkan kecekapan dan mengelakkan dokumen tercicir, hilang mahupun lewat
sampai ke jabatan atau bahagian di hospital ini.

Hospital ini dirancang untuk menampung 268
buah katil pada masa akan datang. lanya dibina dengan pelbagai disiplin secondary care di samping unit
perkhidmatan sokongan yang lain,
blok
kediaman kakitangan, asrama jururawat dan Tempat Mendarat Helikopter
.

Perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan
adalah :

  • Kemalangan & Kecemasan
  • Haemodialisis
  • Wad Kelas Pertama
  • Wad Paediatrik
  • Wad Psikologi
  • Wad Pembedahan
  • Wad Obstetrik
  • Wad Wanita
  • Wad Penjagaan Kanak-Kanak
  • Wad Unit Rawatan Rapi
  • Dewan Bedah
  • Dewan Bersalin
  • Patologi dan Tabung Darah
  • Pengimejan Diagnostik
  • Rehabilitasi
  • Bilik X-ray
  • Bilik Mayat
  • Klinik Pakar : Paediatrik; Obstetrik &
    Gynaekologi; Telinga, Hidung & Tekak (ENT) dan Pergigian
  • Farmasi
  • Pusat Bekalan Bahan Steril
  • Stor Perubatan
  • Bilik Seminar
  • Unit Sajian
  • Pentadbiran & Informasi
  • Bilik Kawalan Pelawat
  • Bilik Pelawat
  • Kafetaria
  • Taman Permainan Kanak-Kanak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article