Bagi mereka yang
belum mengenali Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batu Kawa mungkin berpendapat
ianya tidaklah jauh bezanya berbanding dengan KRT lain di Sarawak mahupun KRT lain
di negara ini, namun ada sesuatu
menarik yang boleh dipelajari di sini.
KRT Batu Kawa membuktikan
kepelbagaian kaum dalam komuniti boleh hidup bertoleransi dan harmoni. Namun
tugas melaksanakannya bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang disangka kerana
mereka turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kemahiran
tertentu untuk menanganinya.
“Apa yang menjadikan KRT
kami unik ialah kepelbagaian kaum di sini yang tidak menghalang kami daripada
bekerjasama dengan baik sekali ”,jelas Encik Ismail Bin Bujang, Pengerusi KRT
Batu Kawa.
Komuniti di sini jelasnya
terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang dan KRT yang berperanan memastikan komuniti di sini hidup dengan
harmoni.
Terdapat 3,600 penduduk di
sini dengan majoritinya kaum kaum Iban/Bidayuh (1,400 orang), diikuti Melayu /
Melanau 1150 orang, kaum Cina (800 orang) dan lain-lain kaum (250 orang).
Menurutnya, usaha
menyatu padukan penduduk di KRT Batu Kawa perlulah dimulakan di peringkat
ahlinya sebelum mengajak penyertaan komuniti keseluruhannya.
Sebab itulah
menurutnya, 25 anggota jawatankuasa yang dilantik mewakili semua kaum yang
terdapat di sini.
“Kita mengambil pendekatan yang mudah dengan
memberi semua ahli jawatankuasa (AJK) peluang yang sama rata dalam melaksanakan
aktiviti”, jelas Ismail.
“Sebagai contoh,
kebiasaannya, kami akan memberi tugas melaksanakan majlis sambutan ini kepada
AJK di kalangan kaum yang bukan menyambut perayaan tersebut”, tambah Ismail.
Pendapat ini turut
dipersetujui Timbalannya, Wan Madehi Hj Wan Bujang yang menyatakan kebanyakan
aktiviti tidak terhad kepada kaum tertentu sebaliknya terbuka kepada semua kaum
antaranya seperti taichee dan silat yang mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Kita hendaklah melihat
sesebuah komuniti itu sebagai sebuah “keluarga besar”, yang kita harus ambil
berat antara satu sama lain”, jelas Wan Madehi.
Menurutnya, KRT Batu
Kawa sungguh beruntung kerana ahli dan komunitinya memahami antara satu sama
lain di samping menyokong setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh kaum yang
lain.
Asas kekuatan inilah
jelasnya menjadikan KRT ini “model unik” bagi KRT lain dalam melihat keadaan sebenar membangunkan
komuniti berbilang kaum.
Katanya, KRT Batu
Kawa seringkali diberi kepercayaan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi
Nasional (JPNIN) untuk menjadi tuan rumah bagi mengendalikan beberapa majlis utama.