- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Teroka Pelbagai Cabang Perniagaan

Must read

Keperluan dan kehendak yang sama di kalangan peniaga-peniaga
kecil di Daerah Miri yang juga ahli Chinese
Chamber of Commerce
Miri akhirnya telah membawa kepada penubuhan Koperasi
Serbaguna Miri Berhad (KSMB) pada 25 Mei 1983.

Pada ketika itu, KSMB mempunyai hanya seramai 54 orang
anggota dan dengan syer berjumlah RM1,882.00.

Masa terus berlalu dan kini KSMB telahpun mempunyai
kira-kira 2,213 anggota dengan syer berjumlah kira-kira RM3.1 juta. Syer minima
bagi seorang anggota ialah RM100.00.

Demikian menurut Encik Desmond Lui Kock Onn, Pengurus KSMB
ketika ditemui oleh RAKAN Sarawak di
pejabatnya di Miri baru-baru ini.

Daripada penjelasannya, satu aspek yang boleh dikatakan unik
tentang koperasi ini ialah ia turut mempunyai ahli di kalangan peniaga
Bumiputera sungguhpun pada asalnya ditubuhkan atas platfom untuk membantu
peniaga di kalangan masyarakat Cina.

Pada hari ini, KSMB mempunyai kira-kira 150 kakitangan
sepenuh masa yang mengurus dan melaksanakan pelbagai cabang perniagaan yang
dijalankan oleh koperasi. Perniagaan KSMB melalui anak syarikatnya, Miri
Transport Company Sdn. Bhd. sahaja mampu mencatatkan modal pusingan berjumlah
kira-kira RM10 juta.

Jenis perniagaan yang dijalankan ialah :

  • Pinjaman perumahan dan kewangan

Merupakan perniagaan utama KSMB. Pinjaman dengan kadar
faedah berpatutan disediakan kepada ahli untuk membeli rumah dan hartanah lain.
Pinjaman juga disediakan bagi membantu perniagaan serta membantu ahli membuat
pelaburan.

  • Pelaburan dan simpanan tetap

Menyediakan kadar faedah yang menarik kepada ahli.

  • Pinjaman pendidikan

Bertujuan menyediakan skim pinjaman yang fleksibel dan
berpatutan bagi pendidikan anak ahli.

  • Perkhidmatan pakej insuran

KSMB bekerjasama dengan MAA dan AVIVA untuk menyediakan
pelbagai jenis insuran bagi ahlinya. Pengenalan Insuran Pembedahan dan Hospital
Kumpulan KSMB pula menyediakan perlindungan insuran tambahan dan berpatutan
kepada ahli.

  • Skim Ar-Rahnu

Menjadi pilihan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan
yang berhadapan dengan masalah kewangan jangka pendek sama ada untuk perniagaan
kecil atau keperluan keluarga. Ia juga menjadi tempat yang selamat untuk
menyimpan barangan kemas.

  • Pelaburan dalam perkhidmatan pengangkutan awam

Dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Miri Transport Co.
Sdn. Bhd. yang mana KSMB mempunyai 60 peratus kepentingan di dalamnya. Miri
Transport Company Sdn. Bhd. juga mempunyai tiga anak syarikat iaitu Lawas Bus
Co. Sdn. Bhd., MTC Travel & Tours Sdn. Bhd dan Eastbound Enterprise Sdn.
Bhd.

Pencapaian
KSMB

Sejak penubuhannya, KSMB telah merangkul beberapa anugerah daripada
Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Antaranya ialah

  • Anugerah Perakaunan, Pengauditan dan Mesyuarat Agung (1993)
  • Anugerah Ketua Menteri Sarawak (1997)
  • Anugerah Utama kualiti Koperasi Peringkat Negeri Sarawak
    (2001)
  • Kualiti Perkhidmatan (2005)

Anugerah yang diperoleh itu mungkin dapat memberi gambaran
bagaimana keberkesanan serta halatuju perniagaan KSMB telah menarik perhatian
kerajaan.

Maka tidak menghairankan jika pencapaian yang
memberansangkan dalam perniagaan KSMB telah membolehkan anggota koperasi
menerima peratusan syer yang cukup menggalakkan seperti berikut :

Tahun
Peratusan Dividen
2000
6.5
2001
7.5
2002
8.5
2003
8.75
2004
9
2005
9


Walaupun beroperasi atas landasan mendapatkan keuntungan,
tanggungjawab KSMB untuk menunjukkan penghargaan terhadap sokongan ahli tetap
tidak dilupakan.

Kerana itu Anugerah Pendidikan turut disediakan setiap tahun
kepada anak-anak ahli KSMB yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan awam. Jumlahnya sumbangannya adalah seperti berikut :

Tahun Jumlah (RM)
2000 6,200
2001 8,740
2002 7,320
2003 10,230
2004 10,110
2005 12,500


Selain itu, KSMB juga memberi bantuan yuran bas percuma
kepada para pelajar miskin dan anak yatim sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.
Ketika ini terdapat kira-kira 100 pelajar di Bahagian Miri sedang menikmati
manfaat daripada bantuan KSMB itu.

Selain pelajar sekolah, seramai kira-kira 30 warga emas juga turut menikmati kemudahan
yang sama ditawarkan oleh KSMB.

Perancangan

Dalam masa terdekat, KSMB akan mempelbagaikan produk dan
aktiviti pelancongannya serta mempromosikan kemudahan pelancongan yang disediakan
oleh anak syarikatnya MTC Travel & Tours Sdn. Bhd.

Pada ketika ini Miri Transport Company Sdn. Bhd. menyediakan
perkhidmatan bas catar (40 dan 28 tempat duduk), bas persiaran, bas ekspress
(28 tempat duduk), tempahan tiket dan hotel, Star Cruises, Sarawak River
Cruises, insuran pengembaraan dan pakej pelancongan domestik.

Perkhidmatan basnya meliputi kawasan
Miri-Bintulu-Sibu-Sarikei-Sri Aman-Serian-Kuching dan Pontianak.

Kelebihan yang dimiliki Miri Transport Company Sdn. Bhd.
serta anak syarikatnya, Lawas Bus
Company Sdn. Bhd. disedari oleh KSMB kerana pada ketika ini ia merupakan antara
penyedia perkhidmatan bas yang dikenali penduduk tempatan bagi perjalanan dekat
dan jauh.

Sehubungan itu, KSMB akan mengoptimumkan penggunaan bas-bas
yang dimiliki kedua-dua syarikat itu bagi membantu perniagaan pelancongan dan
pengembangan KSMB yang dijalankan oleh MTC Travel & Tours Sdn. Bhd.

Kejayaan Miri Transport Company Sdn. Bhd. baru-baru ini
dalam usahanya mendapatkan permit bagi laluan perjalanan baru juga bakal
membantu mengukuhkan kedudukan perniagaan koperasi.

Seluas kira-kira 18 ekar tanah di kawasan Bekenu juga telah
diperoleh untuk ditanam dengan halia dan kacang tanah sebagai sebahagian
daripada usaha mempelbagaikan perniagaan.

Manakala seluas kira-kira 1,000 ekar tanah lagi telah
dirancangkan untuk ditanam dengan kelapa sawit, serai dan tongkat ali.

Kejayaan percubaan minyak ‘envo-diesel’ iaitu campuran
minyak diesel dengan minyak kelapa sawit dalam bas-bas Miri Transport Company
Sdn. Bhd. baru-baru ini juga merupakan satu lagi kejayaan penting yang akan
diteruskan pada masa akan datang.

Miri Transport Company Sdn. Bhd. mengganggarkan bahawa
mereka akan mampu menjimatkan kira-kira RM75 ribu setahun daripada penggunaan
minyak jenis itu untuk operasi bas-basnya.

Selain itu, jika keadaan kewangan mengizinkan, publisiti
secara besar-besaran akan dilaksanakan bagi mempromosikan semua jenis
perniagaan dan perkhidmatan yang disediakan.

Begitu juga dengan latihan bagi para kakitangan pengurusan
serta pemandu pelancongnya akan diusahakan secara berterusan bagi memastikan
mereka mampu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

Koperasi Serbaguna Miri Berhad
Lot 790, Jalan Bintang,
Bintang Jaya Commercial Centre, 98000 Miri, Sarawak.
Tel: 085-418688
Faks:
085-417885
Emel: ksmbintg@streamyx.com

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article