Kumpulan
Meningkat Mutu Kerja (KMK), atau Quality
Control Circle (QCC) Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) telah bermula secara
aktif sejak awal tahun 2001 lagi.
Sungguhpun KMK
LPM berhadapan dengan pelbagai rintangan, namun kegigihan dan komitmen setiap
ahlinya telah dapat mengatasi situasi yang getis.
Pada peringkat
awal penubuhan KMK, ahli-ahli kumpulan kurang mendapat pendedahan kepada teknik
atau alat-alat KMK. Selain daripada itu, ahli-ahli sukar untuk mengadakan
mesyuarat kerana sibuk dengan tugas utama dan tugas-tugas lain.
Sungguhpun
demikian, sikap prihatin pihak pengurusan LPM terhadap kumpulan KMK telah
meringankan beban yang dihadapi. Pihak pengurusan sendiri terlibat secara
langsung dalam pelaksanaan KMK di LPM sebagai Fasilitator Kumpulan.
Pihak pengurusan
dan Ketua Jabatan sentiasa komited dan memantau pelaksanaan KMK yang
dilaksanakan di Jabatan masing-masing.
Projek pertama
LPM ialah “Kadar Penggunaan Dermaga Yang
Rendah di Lembaga Pelabuhan Miri” yang dipersembahkan oleh Kumpulan Dynamic 10 dalam Konvensyen KMK Sektor
Awam Peringkat Negeri Sarawak di Kuching pada bulan Jun 2003.
Terdapat
beberapa faktor yang menjadi pendorong utama ke atas penubuhan Kumpulan Dynamic 10 dan salah satu daripadanya
ialah sebagai menyahut dasar kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kualiti di
dalam organisasi masing-masing.
Faktor kedua
ialah untuk membantu organisasi menangani permasalahan yang timbul di
tempat-tempat kerja seperti membuat penambahbaikkan terhadap sebarang proses
kerja yang tidak lagi relevan atau sesuai dan sebagainya.
Satu lagi
dorongan ialah untuk membantu organisasi dalam mengurangkan kos, meningkatkan
produktiviti serta memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna pelabuhan.
Dalam projek
ini, masalah utama yang dihadapi oleh LPM ialah kadar penggunaan dermaga iaitu
pada paras 11% -15% sebelum projek ini dilaksanakan. Tetapi setelah projek
dilaksanakan penggunaan dermaga telah meningkat sebanyak 53% jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.
Pencapaian yang
memberangsangkan ini menunjukkan
tanej kargo telah meningkat sebanyak 15.9% iaitu daripada 236,670 tan pada
tahun 2001 ke 274,385 tan pada tahun 2002.
Selain daripada
itu, hasil pendapatan telah meningkat sebanyak 16.45% iaitu dari RM4,704,742.00
pada tahun 2001 kepada RM5,478,547.00 pada tahun 2002.
Lanjutan daripada kejayaan KMK pertama itu, KMK Q
Kargo telah ditubuhkan pada 6 Januari 2003 dan telah memutuskan untuk menangani
“Masalah Kos Penukaran Tayar Foklif Yang Tinggi di Lembaga Pelabuhan
Miri.”
Latar Belakang Projek KMK
Q Kargo
Semenjak berpindah ke tapak yang
baru di Kuala Baram pada tahun 1998, LPM telah mencapai peningkatan yang agak
memberansangkan dari segi pengendalian kargo di dermaganya.
Peningkatan jumlah kargo yang
dikendalikan juga telah menyumbang kepada penggunaan jentera pemunggah yang
tinggi dan kerap.
Ini menyebabkan
tayar jentera tersebut cepat haus yang mana kos penukaran tayar telah mencatat
jumlah sekitar RM58,580.00 @ 65.1% keseluruhan kos penyelenggaraan foklif pada
tahun 2002.
Cadangan Penyelesaian
Justeru, kumpulan KMK Q Kargo ini telah membuat
pemerhatian dan mendapati tayar padu (Solid
Tyre) jentera pemunggah yang digunakan dapat dipanjangkan jangka hayatnya
melalui proses pembungaan semula (re-cut).
Pemanjangan jangka hayat tayar-tayar tersebut secara langsung menyumbang kepada
penurunan kos penyelenggaraan untuk penukaran tayar jentera pemunggah.
Hasil
Selepas
pelaksanaan projek (dari Januari hingga Jun 2003) Q Kargo itu, terdapat
penurunan kos sebanyak RM11,160.00 iaitu 81% jika dibandingkan sebanyak
RM58,580.00 pada tahun 2002.
Insentif
Sebagai insentif
yang diberikan kepada mereka yang telah berkorban masa dan tenaga untuk
menjayakan projek KMK LPM, pihak pengurusan telah memberikan beberapa
pengiktirafan seperti Sijil Penghargaan, pakaian seragam kumpulan, bayaran
Kerja Lebih Masa atau cuti rehat, mendapat penghargaan melalui markah tahunan
SSB, dan mengikuti Konvensen mewakili LPM ke peringkat Negeri.
Cadangan
Penyelesaian
Ahli KMK berpuas hati terhadap keperihatinan pihak Jabatan dan
Pengurusan dalam usaha menggalakkan pelaksanaan KMK di peringkat Jabatan.
Seterusnya ahli-ahli kumpulan juga tidak melepaskan peluang ini untuk menambah
dan memperluaskan pengetahuan dalam bidang tersebut untuk kebaikan diri sendiri
dan organisasi.
Penglibatan
ahli-ahli secara langsung dalam pelaksanaan KMK telah memberi pendedahan dan
pengalaman baru terutamanya berkaitan dengan kaedah penggunaan alat-alat dan
teknik KMK didalam penyelesaian masalah masalah.
Penglibatan
dalam projek KMK telah menyemarakkan semangat kerjasama dan semangat kerja
berpasukan dikalangan ahli-ahli kumpulan.
Ahli-ahli
kumpulan berharap agar LPM terus bergiat dalam aktiviti KMK untuk menyerapkan
nilai-nilai kualiti pada setiap lapisan pekerja.
Mereka ingin
mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan fasilitator kerana memberi
bimbingan dan dorongan kepada semua ahli-ahli kumpulan.
Akhir sekali,
ahli-ahli kumpulan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pekerja
LPM atas kerjasama dan pertolongan yang diberikan dalam menjayakan
projek-projek KMK di LPM.