Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) telah memutuskan untuk memperkenalkan Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk
murid tahun satu pada tahun ini (2006) dalam usaha memastikan 100 peratus murid
menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Program KIA2M yang
telah dilancarkan pada 20 April lepas oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) Datuk Dr. Ahamad
Sipon meletakkan sasaran berikut :
- Menguasai kemahiran
asas membaca dan menulis - Mengikuti proses
pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan diri sendiri - Meningkatkan keyakinan diri murid dan minat untuk belajar
Program KIA2M wajib
dilaksanakan di semua Sekolah Kebangsaan (SK) manakala Sekolah Jenis Kebangsaan
(SJK) (Cina dan Tamil) diberi pilihan sama ada untuk melaksanakannya atau
sebaliknya.
Penentuan pelajar
yang akan mengikuti program KIA2M ini dibuat setelah semua murid tahun satu
menduduki Ujian Penapisan.
Penempatan murid berdasarkan
skor yang diperoleh murid dalam ujian tersebut. Murid yang mendapat skor 0-9
dirujuk kepada pengamal perubatan. Murid dalam kumpulan skor berkenaan yang
didapati tiada masalah pembelajaran akan mengikuti KIA2M, manakala murid yang
mengalami masalah pembelajaran akan mengikuti Kelas Pendidikan Khas.
Sementara itu murid
yang mendapat skor 10-44 akan mengikuti KIA2M, manakala murid yang memperoleh
skor 45-60 dalam Ujian Penapisan akan meneruskan pembelajaran di kelas biasa.
Mengenai tempoh
intervensi pula, kelas intervensi dijalankan selama tiga (3) bulan atau (6)
bulan bergantung pada prestasi murid KIA2M dalam Ujian Pelepasan.
Dalam tempoh tiga (3)
bulan pertama, murid akan diajar mengeja, menyebut dan menulis pola suku kata,
pola perkataan dan ayat tunggal.
Murid yang lulus
Ujian Pelepasan 1 mengikuti pelajaran tahun satu di kelas biasa, manakala murid
yang gagal akan mengulangi pembelajaran
yang sama di kelas intervensi selama tiga (3) bulan lagi. Mereka perlu menduduki
Ujian Pelepasan 2 dan lulus sebelum naik ke Tahun 2 pada tahun 2007
KIA2M tidak
melibatkan penambahan kelas dan guru sebaliknya berdasarkan jumlah murid tahun
satu yang sedia ada.
Bagi SK, pengajaran
dan pembelajaran (P & P) KIA2M
dijalankan sepenuh masa dalam waktu bahasa Melayu dan diserapkan dalam mata
pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pendidikan
Seni Visual tahun satu.
Pembahagian waktu P
& P untuk KIA2M di SK adalah sebanyak 19 waktu dengan Bahasa Melayu (12
waktu), Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (3 waktu), Pendidikan Muzik (2 waktu)
dan Pendidikan Seni Visual (2 waktu) manakala di SJK hanya dilaksanakan dalam
waktu Bahasa Melayu, iaitu sebanyak 9 waktu.
Pemantauan
pelaksanaan KIA2M akan dilaksanakan oleh Jemaah Nazir Sekolah, Pusat Perkembangan
Kurikulum,bahagian lain KPM,Penolong Pengarah Bahasa dan Penyelia Bahasa
Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai Bahasa PPD serta Guru Besar. Instrumen
pemantauan, serta laporan keberkesanan KIA2M disediakan oleh Jemaah Nazir Sekolah.