- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Model Pembangunan Pertanian Berkumpulan

Must read

En. Senelus Maja menunjukkan keadaan isi cempedak jenis ‘Nanchem’

Seorang
peserta projek menunjukkan saiz buah cempedak yang ditanamnya

Rh. Bana, Serakit,
terletak di Km. 36 Jalan Bintulu-Sebauh merupakan rumah panjang dan kampung
model pertama bagi pembangunan pertanian berkumpulan atau berkelompok di
Bahagian Bintulu.

Mereka telah diberi
pengiktirafan itu apabila penduduk rumah panjang berjaya mengusahakan kira-kira
35 hektar tanah dengan tanaman koko pada tahun 1987.

Sehingga awal 90-an,
rata-rata mereka mampu memperoleh pendapatan sekitar RM900 hingga RM2,000
sebulan bagi setiap hektar tanah yang diusahakan. Malangnya, masalah penurunan
harga di pasaran serta serangan penyakit menyebabkan tanaman itu terabai.

Namun,
usaha mereka tidak terhenti di situ. Seramai 40 peserta (keluarga) dari rumah
panjang itu kemudiannya beralih
kepada tanaman cempedak secara
berkumpulan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu pada tahun
2001.

Kali ini ia
diusahakan di tanah seluas kira-kira 40 hektar berhampiran dengan rumah panjang
mereka.

Bermula tahun itu
juga Jabatan Pertanian melalui program selama lima tahun di bawah Projek
Pembangunan Pertanian (ADP) telah mula menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang
diperlukan oleh penduduk.

Beralih Kepada Cempedak

Cempedak merupakan
antara tanaman buah yang telah lama ditanam penduduk Rh. Bana yang mempunyai
kira-kira 280 penduduk.

Pada mulanya mereka
hanya menanam cempedak dari jenis tempatan di sekitar tanah kebun mereka.
Selain cempedak, mereka juga mengusahakan tanaman getah, lada, padi dan kolam
ikan.

Namun, mereka lebih
positif terhadap potensi pada tanaman cempedak. Ketika musim buah-buahan, ramai
pembeli tempatan termasuk dari Brunei datang untuk membeli cempedak mereka.
Aktiviti itu sahaja mampu memberikan mereka pendapatan antara RM1 hingga RM3
sebiji.

Berikutan itu mereka
berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian. Akhirnya projek itu
dimulakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) melalui Projek Pembangunan
Pertanian secara berkelompok Jabatan Pertanian.

Projek itu disertai
oleh 40 keluarga yang mana setiap keluarga mempunyai tenaga kerja antara tiga
hingga lapan orang.

Setiap keluarga juga
telah memperuntukkan seluas satu hektar tanah bagi tanaman cempedak yang
diusahakan secara bergotong-royong.

Menurut Encik Senelus
Maja, Penguasa Pertanian Sebauh, pihak Jabatan Pertanian amat mengagumi
kerjasama yang telah diberikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) Rh. Bana untuk menjayakan projek itu sejak mula lagi.

Kerana itu katanya
pihak Jabatan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyalurkan pelbagai jenis
bantuan termasuk kewangan yang sehingga kini berjumlah kira-kira RM156,400.

Begitu juga dengan
sambutan dan komitmen yang ditunjukkan ketika penganjuran kursus in-situ yang
melibatkan para pegawai dari Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Jabatan
Pertanian Bahagian Bintulu yang telah datang memberi ceramah dan latihan
praktikal pada tahun 2003.

Tiga baka cempedak
telah disarankan oleh Jabatan Pertanian untuk ditanam di situ iaitu jenis CH 28, Cempedak Durian dan Nanchem
(kombinasi Nangka dan Cempedak).

Kejayaan

Ketika ini tanaman
cempedak di Rh. Bana mampu menjana hasil sehingga 40 tan bagi setiap hektar
dalam masa setahun. Setiap hektar ditanam dengan kira-kira 123 pokok cempedak.

Bilangan itu mampu
memberi pendapatan sehingga RM40,000 bagi tiap hektar setahun jika harga
pasaran ialah RM1 sekilogram.

Namun, di sini buah
cempedak yang diberi gred A dengan berat 9 kg ke atas mampu dijual dengan harga
RM4 sekilogram.

Tiga jenis baka
cempedak yang diusahakan itu juga akan mencapai kematangan pada tahun keenam
hingga kelapan selepas ditanam.

Di samping itu, ia
juga mampu mengeluarkan hasil selepas satu setengah tahun ditanam sehingga
mencapai usia 30 tahun.

Selain menjual buah
segar, penduduk Rh. Bana juga memproses isi cempedak yang dijadikan ‘leking’ iaitu buah kering dan ‘cucur temedak’ iaitu campuran buah
dengan tepung.

Perancangan

Ketika ini Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang dalam proses untuk menyalurkan
bantuan bagi membuat rumah pengumpulan dan pemprosesan cempedak yang terletak
berhampiran rumah panjang.

Buat masa sekarang
hasil cempedak yang dihasilkan tidak mempunyai masalah pemasaran, sebaliknya
tidak dapat memenuhi keperluan pengguna.

Hasil buah itu ada
yang dijual terus kepada penjual di Sebauh, Bintulu dan ladang berhampiran,
dibeli oleh Pertubuhan Peladang Bintulu, dijual oleh wakil pengedar di Brunei
dan baru-baru ini ialah kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA).

FAMA telah memulakan
pembelian buah cempedak pada harga RM2 sekilogram untuk pasaran di luar
Bintulu.

Kejayaan cemerlang
projek berkelompok tanaman cempedak itu memang harus dihargai. Justeru,
kejayaannya merangkul tempat kedua projek pertanian berkelompok sempena
sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2005 bukanlah di luar
dugaan.

Kerana itu
kejayaannya dalam mencapai matlamat untuk meningkatkan pendapatan petani turut
menjadikannya model kejayaan projek pertanian di Bahagian Bintulu untuk
dijadikan panduan oleh pihak yang ingin menceburi bidang pertanian berkelompok.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article