Perkembangan sukan negara di peringkat antarabangsa tidak pernah sepi
daripada pelbagai kritikan merujuk kepada prestasi tidak konsisten yang dipamer
para atlet dalam beberapa sukan tertentu.
Sukan penting bukan sahaja dalam
melahirkan rakyat yang cergas dan cerdas dari segi kesihatan malah meningkatkan
produktiviti negara, malah meningkatkan tukaran wang asing melalui penganjuran
aktiviti berprestij dunia.
Menyedari negara perlu menjadi “kuasa sukan”, Jawatankuasa Kabinet
Mengenai Sukan juga memutuskan untuk memperkenalkan sukan teras yang terdiri
daripada lapan (8) jenis sukan seperti akuatik, badminton, bola sepak, boling,
gimnastik, hoki, olahraga dan skuasy
Pembangunan sukan teras ini turut diperluaskan ke setiap
bahagian dan daerah dalam usaha pencarian bakat dalam sukan berkenaan.
Bagi memastikan negara tidak ketandusan “bintang”, kerajaan juga giat
mewujudkan sekolah sukan, yang dalam masa yang sama bertindak sebagai
gelanggang mencari pelapis baru bagi memastikan kita tidak ketandusan.
Mengapakah prestasi tidak konsisten ini masih berlaku? Di
manakah silapnya kita?.Walaupun negara pernah melakar kejayaan dalam beberapa
sukan terpilih namun ia lebih bersifat sukan berprestasi tinggi ataupun program
pembangunan sukan intensif.
Kita boleh saksikan kecemerlangan tersebut antaranya kehebatan pemain
skuasy negara, Nicol Ann David, pada tahun lepas sahaja yang mengharumkan nama
negara setelah dinobatkan selaku pemain terbaik dunia dan menjuarai enam (6)
perlawanan melibatkan Terbuka Kuala Lumpur,Terbuka Kuwait,Terbuka
Belanda,Terbuka Malaysia, Terbuka British,Terbuka Dunia di Hong Kong.
Pencapaian cemerlang turut hadir menerusi badminton apabila
lima (5) kejuaraan perseorangan milik negara menerusi Hafiz Hashim di Terbuka
Switzerland, Thailand dan Belanda manakala Lee Chong Wei di Terbuka Malaysia
dan Denmark.
Kejayaan memberangsangkan kontinjen
negara pada temasya Sukan Sea di Manila pada tahun lepas meraih 61 pingat emas,
50 perak dan 64 gangsa turut membanggakan kita. Banyak lain sukan yang
mempamerkan kecemerlangan antaranya seperti olahraga, renang, gimnastik
artistic dan gimrama.
Bagaimana pula
dengan sukan massa (melibatkan masyarakat secara menyeluruh) ?
Kita masih kurang membudayakan sukan yang melibatkan semua masyarakat
sehingga ke tahap mereka boleh menerima sukan itu sebahagian daripada gaya
hidup.
Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”, pencarian bakat terpendam seharusnya bermula pada peringkat usia yang
muda.
Mengambil contoh kebanyakan negara maju, antaranya Amerika Syarikat,
Korea Selatan, China dan Jepun, negara ini mencari “jaguh” sukan bermula dengan
menanam semangat dan budaya sukan pada peringkat yang awal.
Menyedari pentingnya, sukan dihayati semua peringkat usia,
kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan drastik
memperkenalkan Liga Sukan Komuniti bermula Mei tahun ini (2006)
Liga yang mengambil tempoh pelaksanaan selama empat bulan
bagi sesebuah kawasan ini membabitkan 567 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 13
kawasan Parlimen.
Sudah tiba masanya kita membudayakan sukan serta menjadikannya
sebahagian daripada gaya hidup kita. Selama ini kita melahirkan atlit hanya
untuk menyertai pertandingan sahaja. Mereka dilatih, diberi tunjuk ajar
sehinggalah sampai ke masanya mereka menyertai pertandingan.
Kebiasaan seumpama itu harus dibuang sebaliknya cuba membentuk budaya
sukan baru dan melalui Sukan Komuniti ini ia boleh dicapai. Siapa tahu, mungkin
ada di kalangan rakan anda mahupun di dalam komuniti di tempat anda, yang
bakatnya berjaya dicungkil dan seterusnya mewakili negara suatu hari kelak.
Pendekatan Liga Sukan Komuniti dilihat sebagai pendekatan proaktif
kerajaan dalam mengalakkan secara langsung penglibatan masyarakat dalam sukan
dengan mengambil kira minat masyarakat.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Azalina Othman,
liga Sukan Komuniti diwujudkan dengan meletakkan sasaran melahirkan ramai bakat
muda yang berpotensi di peringkat akar umbi yang pastinya suatu hari kelak
boleh mewakili negara.
Kalau ditinjau dari aspek lain, liga sukan komuniti ini
bukan sekadar membudayakan sukan, malah lebih penting ia dapat memperkukuhkan
semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan “mengetegrasikan” komuniti dalam
sesuatu kawasan melalui aktiviti bersukan.
Malah Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad
Badawi pernah menyuarakan pelaksanaan program itu antara langkah terbaik untuk
melahirkan modal insan yang memiliki minda cerdas dan kesihatan yang baik.
Sebagai menyokong program ini, kerajaan turut bersetuju
untuk membina Kompleks Sukan Komuniti (KSK) di setiap kawasan DUN dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK
9) seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2007 baru-baru ini.
Perkara ini turut diperjelaskan oleh Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan bahawa Jawatankuasa
Kabinet Pembangunan Sukan telah memutuskan 50 buah kompleks sukan komuniti akan
dibina di peringkat Dewan Undangan Negeri.
Liga Sukan Komuniti anjuran KBS mempertandingkan enam jenis
sukan iaitu badminton, bola tampar, bola jaring, futsal, sepak takraw dan bola
keranjang yang diadakan hampir setiap hujung minggu. Walaubagaimanapun cuma empat aktiviti yang diadakan.
Pemilihan jenis sukan tersebut adalah berdasarkan
kepopularan sukan berkenaan di peringkat akar umbi di samping mudah untuk
dikendalikan.
Penganjurannya membabitkan komuniti tempatan secara
keseluruhan dengan masing-masing diberi tanggungjawab dalam melaksana dan
menyelesaikan masalah dan membuat keputusan berkaitan dengan Sukan Komuniti di
kawasan yang dipertandingkan.
Penyertaan bagi liga itu terbuka kepada komuniti tempatan,
kelab sukan komuniti, kelab belia dan pasukan serta individu. Ia terbuka kepada
semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa, agama, status seseorang serta
dibuka kepada peserta berusia 15 tahun ke atas kecuali badminton yang terbuka
kepada peserta berusia 19 tahun ke atas.
Liga yang berlangsung peringkat DUN ini menawarkan hadiah
sebanyak RM500 untuk juara diikuti RM300 (kedua), RM200 (ketiga) dan RM100
(keempat).
Setiap kelab yang ditubuhkan terlebih dahulu perlu didaftar
dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Melalui pengujudan Kelab-Kelab Sukan Komuniti
ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan agar sukan akan kembali “segar”
bermula di peringkat komuniti lagi.
Sejak diperkenalkan pada Mei lalu (sehingga September)
sejumlah 249,188 peserta membabitkan 27,247 pasukan beraksi pada Liga Sukan
Komuniti di seluruh negara.
Di Sarawak terdapat 61 Kelab Sukan Komuniti telah ditubuhkan
dengan setakat ini 60 kawasan DUN yang telah mengendalikan sukan berkenaan.
Berdasarkan statistik sehingga kini, program tersebut
mendapat sambutan yang mengalakkan dengan penglibatan 567 Kelab Sukan.
Minat orang ramai terhadap sukan juga semakin meningkat
dengan setiap hujung minggu ada saja perlawanan berlangsung sehingga terdapat
cadangan baru-baru ini untuk melanjutkan aktiviti sehingga ke waktu malam.
Penganjuran liga itu diharap dapat menjadi pencetus kepada
usaha meningkatkan penglibatan masyarakat dalam akitiviti sukan ke arah
merealisasikan masyarakat berbudaya sukan.
Pada akhirnya, segalanya terletak kepada masyarakat itu
sendiri bagaimana untuk menghargai pelaburan besar kerajaan dengan
menterjemahkannya kepada pencapaian cemerlang sukan negara ke peringkat
antarabangsa.
Objektif Utama
Liga Sukan Komuniti
- Membudayakan sukan
didalam aktiviti masyarakat Malaysia.- Mencungkil
bakat-bakat baru dan muda didalam bidang sukan