Walaupun teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sudah menjadi sebahagian daripada "alat" yang melengkapkan kehidupan kita namun salah satu perkara yang tanpa kita sedari tidak dapat kita ubah ialah pemilihan bahan bacaan bercetak seperti suratkhabar,buku, majalah dan sebagainya.
Walaupun terdapat banyak sumber maklumat dalam dunia ICT sekarang kadangkala diragui sumbernya, namun pada akhirnya kita akan mencari maklumat yang diyakini betul dan sahih yang hanya didapati melalui penerbitan bercetak yang diperakui.
Perkara ini diakui sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo sewaktu berucap pada Majlis Penghargaan Penggiat Seni, Karyawan dan Media di Sarawak di Galeri Pameran, Pustaka Negeri baru-baru ini.
Menurut beliau, antara faktor mengapa bahan bercetak lebih diyakini dan menjadi pilihan pembaca ialah pembaca sekarang semakin bijak menilai maklumat dan keperluan kepada maklumat yang tepat dengan mengenalpasti sumber bahan bacaan tersebut.
Beliau menyifatkan usaha Pustaka Negeri bukan sekadar mengumpul bahan bacaan malah disitu kebanyakan hasil perkembangan sesebuah budaya itu telah dibukukan yang menjadi sebahagian rentetan sejarah.
"Kita perlu meningkatkan lebih banyak penciptaan bahan bacaan berbentuk ilmiah dan sebagainya, agar ia tidak "hilang" dalam rentetan sejarah negeri”,katanya.
Jelasnya, pihaknya berusaha untuk menjadikan Pustaka Negeri sebagai sebuah pusat rujukan utama.
Namun usaha mereka turut berhadapan dengan cabaran iaitu kurangnya bahan bacaan ilmiah dan rujukan mengenai Sarawak, di samping masalah yang agak ketara ialah bahan bacaan yang terlalu mahal di pasaran.
“Kebanyakan negara seperti United Kingdom, bahan bacaan seperti buku dan majalah boleh didapati dengan murah, jauh sekali berbeza dengan di negara kita sendiri” ,jelasnya.
Harga buku yang tinggi di pasaran juga turut menyukarkan pihak Pustaka Negeri menambah koleksi bahan bacaan.
Jadi salah satu usaha untuk meningkatkan koleksi bahan bacaan mereka, adalah dengan mengalakkan penggiat seni, para karyawan dan media mencurahkan segala "ilmu pengetahuan" dalam bentuk buku untuk tatapan generasi akan datang.
Dalam pada yang sama, beliau menggalakkan mereka yang berpengetahuan dalam bidang muzik, tarian, suku kaum setempat, lukisan dan teater agar dibukukan.
Di Sarawak, terdapat ramai para karyawan, penggiat seni dan media yang boleh mengambil inisiatif memdokumentasikannya dalam bentuk bercetak hasil karya mereka.
Dengan mengalakkan lebih ramai mereka yang mahir dalam bidang mereka untuk menulis dalam bidang yang minati serta menghasilkan buku berkaitan bidang mereka, usaha meningkatkan jumlah koleksi penerbitan berkaitan Sarawak boleh ditingkatkan.
Perkara ini turut dikongsi bersama oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Encik Zaini Ozea.
"Masih ramai yang kurang jelas mengenai peranan agensi kami, pihak kami turut mengumpul bahan-bahan berbentuk ilmiah tidak hanya tertumpu kepada bahan berbentuk karya kreatif”,jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan rekod, 60 peratus daripada buku yang diterbitkan adalah berbentuk penulisan kreatif dan buku untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.
Namun, jelasnya pihaknya lebih mengutamakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, yang menjadi matlamat dan hala tuju utama DBP.
Dalam usaha mengembangkan minat dalam dunia penulisan dan penerbitan, pihak DBP ada menyediakan bantuan berbentuk kewangan dan bayaran insentif kepada penulis antaranya wang pendahuluan untuk penulisan buku ilmiah manakala bayaran insentif untuk karya lain seperti penulisan cerpen iaitu sebanyak RM180, karangan(esei) (RM200) dan puisi (RM70). Bagaimanapun, bayaran ini berbeza mengikut pengalaman penulis.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan DBP pada masa hadapan akan turut mengumpul lebih banyak hasil karya yang berbentuk kebudayaan, dialek, cerita rakyat dan penghasilan karya dalam bahasa suku kaum dayak seperti Bidayuh, Iban dan Melanau untuk diketengahkan.
Info
Statistik
Jumlah Koleksi Pustaka Negeri Sarawak
Bahan Bercetak 1 |
99,171 |
Bahan Tidak Bercetak 2 |
7,132 |
Bahan Arkib 3 |
15,319 |
Jumlah keseluruhan |
121,622 |
Nota :
1 Bahan Bercetak adalah merangkumi buku rujukan, majalah,
kertas kerja, bengkel, kertas seminar, leaflet, brosur dan sebagainya
2 Bahan Tidak Bercetak merangkumi maklumat daripada sumber
elektronik antaranya seperti pelbagai jenis CD-Rom
3 Bahan Arkib seperti rekod-rekod kerajaan seperti maklumat
fail yang melebihi 25 tahun ke atas di samping rekod awam dan rekod peribadi
melibatkan negeri Sarawak