Majlis Bandar Raya Miri (MBM) akan memperkenalkan konsep
Pengguna Bayar mulai Mac ini dalam usahanya pihak berkuasa tempatan tersebut
memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga bandar raya tersebut.
Ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan bahawa pihak
berkuasa tempatan (PBT) perlu mencari sumber kewangannya sendiri serta dapat
mengurang kebergantungan kepada sumber kewangan, peruntukan ataupun geran
daripada kerajaan.
Konsep Pengguna-Bayar adalah konsep di mana pengguna yang
ingin mendapatkan perkhidmatan akan membayar sejumlah wang atas perkhidmatan
yang dilaksanakan PBT.
MBM mendapati ini adalah salah satu pendekatan untuk
meningkatkan kecekapan dalam memberikan perkhidmatan kepada warga bandar raya
tersebut di mana hasil daripada wang tersebut akan digunakan untuk tujuan
penambahbaikan perkhidmatan.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Encik Tay Boon Phang
menjelaskan demikian ketika dihubungi oleh RAKAN Sarawak. Tambah beliau lagi,
apa yang ingin ditekankan adalah perkhidmatan yang terbaik.
Jelasnya, lebih banyak sumber yang diperolehi bermaksud
lebih banyak projek yang dapat diurus dengan lebih cekap.
Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kadar caj
yang dikenakan nanti adalah berpatutan dan minima.
Jumlah yang diperolehi daripada perkhidmatan dibawah konsep
ini adalah untuk menampung sedikit daripada kos perbelanjaan mengurus
perkhidmatan tersebut.
Sebagai permulaan, MBM akan mengenakan sewa dan caj
perkhidmatan untuk penggunaan tenaga elektrik dan pengunaan padang bolasepak di
bawah kendalian MBM.
Jelas beliau lagi, perkhidmatan lain yang sedang
dipertimbangkan adalah mengena caj untuk penggunaan tandas bergerak untuk
aktiviti-aktiviti atau majlis yang dianjurkan pihak luar.
Bagi meningkatkan kesedaran mengenai konsep ini, pihaknya
akan meningkatkan lebih banyak publisiti mengenainya untuk tiga (3) bulan
pertama tahun ini sebelum memperkenalkannya pada Mac tahun ini.
Sebelum ini, MBM tidak mengenakan sebarang bayaran kepada
kebanyakan persatuan dan organisasi yang menggunakan padang miliknya.
Malah MBM turut menyediakan secara percuma perkhidmatan
tandas bergerak setiap hujung minggu bagi organisasi yang menganjurkan aktiviti
pada waktu itu.
Beliau menjelaskan sebelum ini, bagi pihak yang menggunakan
tandas bergerak, pihaknya (MBM) terpaksa membayar pekerja majlis yang bekerja
lebih masa, kos membawa tandas bergerak berkenaan ke tempat majlis yang
dianjurkan, membekalkan air disamping memastikan tandas bersih sehingga acara
majlis tersebut tamat.
Begitu juga, dengan penggunaan padang milik MBM yang
terpaksa membelanjakan sedikit perbelanjaan untuk menjaga struktur dan keadaan
padang adalah sentiasa berada dalam keadaan baik dan bangunan di kawasan
terbabit.