Mengambil kira saiz keluasan
Sarawak, tanpa menjadikannya faktor halangan, kerajaan terus berusaha untuk
membangunkan kawasan luar bandar.
Pelbagai kemudahan disediakan adalah untuk
meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat di kawasan terbabit.
Tidak dinafikan, pembangunan daerah Matu dan
Daro agak sedikit jauh ketinggalan berbanding dengan daerah-daerah lain dalam
Bahagian Mukah.
Keadaan bentuk muka bumi dan geografi yang
agak “mencabar” menyebabkan kawasan ini mengambil sedikit masa untuk
dibangunkan.
Setelah melalui beberapa perubahan serta
penyusunan semula sempadan terutamanya setelah diletakkan di bawah pentadbiran
Bahagian Mukah, pembangunan daerah ini pasti akan menjadi lebih pesat seiring
dengan kemajuan daerah lain di Sarawak.
Sejak lima tahun yang lepas, lebih banyak
projek pembangunan fizikal telah dilaksanakan. Pengurusan dan pemantauan projek
telah dilaksanakan dengan baik oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah yang
disokong oleh Pejabat JKR di Matu dan Daro.
Kedua kawasan tersebut telah pun menikmati
kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang baik. Jalan yang menghubungi
Daro ke Matu dan Matu ke Igan dan seterusnya ke Mukah telah siap pada awal
tahun 1990.
Selain itu, terdapatnya kemudahan feri
menghubungkan Igan dengan Matu malah terdapatnya jaringan jalan raya yang
lengkap (dalam daerah kecil Igan) dari simpang feri di Igan sehinggalah simpang
feri di sebelah daerah kecil Matu (dalam daerah Daro). Perjalanan ke Pekan Daro
mengambil masa kurang dari setengah jam dari Igan.
Apabila kemudahan feri yang menghubungi Pulau
Bruit dan seterusnya ke Tanjung Manis dilaksanakan nanti, perhubungan dari
daerah Matu akan lebih lengkap selari dengan pembinaan jalan dari Tanjung Manis
ke Sibu yang kini sedang berjalan rancak. Ini bermakna daerah Matu akan dapat
dihubungi terus ke Sibu dan seluruh Sarawak dalam jangka masa yang agak
singkat.
Jaringan
perhubungan yang cekap ini berupaya memberi pilihan kepada corak jenis
pengangkutan tidak hanya bergantung kepada pengangkutan melalui ekspres untuk
ke bandar yang terdekat seperti ke Sibu.
Jaringan
jalan raya yang lebih baik di antara Daro –Mukah juga turut berupaya merangsang
sektor ekonomi terutamanya dari aspek pemasaran serta pemprosesan hasil mentah
buah kelapa sawit dari empat (4) buah ladang estet kelapa sawit di Matu serta
dua (2) buah di Daro.
Sehingga penghujung Rancangan Malaysia
Kelapan (RMK 8), antara projek yang berjaya disiapkan dalam tempoh tersebut
ialah kerja menaiktaraf jalan Kampung Pangtray/Sekaan, Jalan Kampung Sungai
Sah/Sungai Illas/Igan sejauh 10.5 km, Jalan Matu-Daro/Kampung Badong Loop (4.2
km), Jalan Kampung Jemoreng/Kampung Bawang, Jalan menghubungi Nanga Kecil
dengan Daro/Matu, Jalan Rejang/Sungai Sekumang dan Jalan SK Sergunim, Matu.
Projek tersebut adalah sebahagian daripada 20
projek yang telah diluluskan dalam tempoh RMK 8.
Sementara itu dalam Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK 9) beberapa projek telah dirancang. Antaranya ialah pembinaan
Jalan Kut/Mudan sejauh 13.5 km, Jalan Kut Muara/Sungai Pinang/Kampung Bungan/
Rassau (15 km), Jalan Kebwau/Telok Deloh (8 km), Jalan Berjaya/Sok (5km)Jalan
Rassau/Rantau Panjang (22 km).
Lain-lain
projek ialah, pembinaan Jalan Sungai Tebu/Daro-Tebaang Loop (5km),Jalan
Kelit/Nerub/Nanga Baoh (15km), Jalan Kampung Semop/Kampung Tebaang (15 km) di
samping kerja-kerja menaiktaraf jalan ke Helipad, Kampung Kuala Matu (1 km).
Manakala
cadangan projek dermaga dan dinding sungai pula melibatkan Jeti RC Kampung
Igan, Jeti RC Nanga Semah dan sambungan Jeti RC Kampung Belawai.
Mengenai
pembinaan bangunan kerajaan pula, beberapa buah bangunan kerajaan dan kemudahan
awam baru turut dirancang dibina disini antaranya Pejabat Daerah Matu, Jabatan
Pertanian (Veterinary Subcentre Matu),
Jabatan Hutan, Masjid baru Matu dan Pejabat Jabatan Penerangan.
Secara
keseluruhannya, hampir kesemua kawasan penempatan boleh dihubungi dengan
menggunakan pengangkutan jalan raya di sini. Kesemuanya meliputi kira-kira 230 km yang telah pun diturap manakala cuma
11 km belum lagi diturap.
Hampir semua penduduk di Matu-Daro menikmati
bekalan air bersih kecuali kawasan seperti Penasu, Nanga Semah, Serdeng, Passin
dan kampung-kampung di Pulau Bruit.
Mengenai
bekalan air, mungkin tumpuan harus diberikan kepada beberapa kawasan di Daro
seperti di Semop, dan Sai yang masih lagi bergantung kepada sistem “rain harvesting pond”. Loji rawatan air
di kawasan terbabit kini hanya berupaya membekalkan kapasiti pengeluaran
bekalan air antara 0.18 MLD hingga 0.36 MLD air sehari kepada kira-kira 1,548
orang penduduk. Bagi kawasan Paloh yang turut terletak dalam kawasan Daro,
kebanyakan 1,602 orang penduduk
bergantung kepada sumber air dari telaga bawah tanah. Hanya kawasan
Pekan Daro yang mempunyai bilangan penduduk sejumlah kira-kira 8,232 orang
menerima liputan bekalan air yang lebih baik dari sumber air terawat dari
Sungai Daro (Tebu).
Walaupun
bagaimanapun, keadaan ini bakal berubah apabila siapnya projek Matu/Daro Regional Water Supply dalam
tempoh RMK9 ini. Di kawasan Matu pula, sejumlah kira-kira 8,304 orang penduduk
mendapat sumber bekalan air terawat dari Sungai Jemoreng manakala bagi sejumlah
kira-kira 1,764 orang penduduk di Kampung Tian mendapat bekalan air terawat
dari Sungai Mabud.
Manakala
sebahagian kecil kawasan Igan yang termasuk dalam pemantauan JKR Pejabat Matu dan Daro pula menerima sumber bekalan
air dari telaga bawah tanah dan Sungai Parit yang dimanfaatkan sejumlah
kira-kira 2,934 orang penduduk.
Mengenai projek bekalan air Pulau Bruit,
kira-kira 12,000 penduduk di pulau tersebut dan kawasan sekitarnya akan
mendapat faedah apabila projek tersebut dijangka siap pada Jun tahun hadapan
(2007).
Projek
bekalan air ini yang dikendalikan PPES Works akan menyalurkan air yang dirawat
daripada Sistem Rawatan Air Sarikei di Sekumang, Tanjung Manis ke pulau
tersebut meliputi Kampung Serdeng, Kampung Semop dan Kampung Saiee.
Bagi
melengkapkan lagi infrastruktur dan kemudahan asas untuk daerah Matu dan Daro,
beberapa perkara perlu dirancang dan diambil perhatian bukan sahaja daripada
agensi kerajaan seperti JKR malah beberapa agensi kerajaan lain.
Antaranya menjalankan satu Kajian Pelan Induk
bagi sistem rangkaian jalan raya di lembah Muara Sungai Rejang yang merangkumi
kawasan Belawai, Tanjung Manis, Pulau Bruit, Paloh, Serdeng, Daro, Igan dan
Matu. Kajian hendaklah mengenalpasti keperluan sosio-ekonomi penduduk
berhampiran selain dari peranan penghubung infrastruktur jalan raya itu
sendiri.
Ia
penting bagi memastikan penduduk bersedia untuk menghadapi sebarang kesan
ekonomi pada kawasan terbabit apabila siapnya Pelabuhan Laut Dalam Tanjung
Manis nanti.
Pada
masa yang sama, perlindungan dan pemeliharaan kawasan tadahan bagi bekalan air
di daerah ini turut perlu diambil berat. Ini disebabkan punca air bersih untuk
kawasan Matu dan Daro begitu terhad. Kawasan tadahan air hujan di Hulu Jemoreng
(Jemoreng Water Catchment Area) yang
ada kini adalah punca utama air bersih untuk daerah Matu dan Daro.
Ini
membawa kepada pentingnya projek rancangan pembinaan “Matu-Daro Regional Water Supply” disegerakan dengan mengambil kira
peningkatan serta pertambahan penduduk di kawasan terbabit di samping peluang
yang “dicipta” oleh rangkaian jalan raya dan Pelabuhan Tanjung Manis untuk
pertumbuhan sektor industri lembah Muara Rejang.
Beberapa
projek untuk kemudahan awam seperti pangkalan jeti, dermaga dan pontoon waf
bagi daerah ini secara keseluruhannya seharusnya dipertingkatkan kerana cara
pengangkutan sungai masih mempunyai nilai serta hubungan langsung dengan
pertumbuhan daerah terbabit.
Perubahan
kepada peningkatan prasarana jalan raya yang baik juga menuntut kepada
peningkatan corak kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik seperti
mendapatkan perkhidmatan bas yang baik dan kemudahan perhentian bas.