Ada
barangkali yang tertanya-tanya tentang bagaimana agaknya rasa nikmat dan
cabaran hidup di kawasan dataran pergunungan dikelilingi alam fauna dan flora
yang begitu semulajadi, tenang dan segar. Jawabnya mudah, rasa aman-damai dan
damai kegembiraan yang tak sudah. Namun untuk merasai ketenangan dan
kegembiraan ini bukannya mudah. Perjalanan lebih kurang empat jam menggunakan
pacuan empat roda (4WD) dari Bintulu ke Perkampungan Kenyah Badeng Data Kakus
sesungguhnya amat mencabar fizikal dan mental.
“…dulu-dulu, lagi susah, jalan
lebih teruk dari sekarang, moto tersangkut di tengah jalan tu sudah biasa. Ada
satu puncak, namanya bukit tetap senyum. Haa…, kalau hujan sikit, jalan
licin, mesti sangkut kat Bukit Tetap Senyum. Roti, telur dan maggie yang kita
bawa dari Bintulu untuk makanan kita di kampung nanti, nah…, habis dimakan
disitu sajak kerena terpaksa bermalam di atas bukit itu. Tak sempat sampai
kampung…”
Demikian
penjelasan oleh Ketua Kampung Baling Along ketika sedang dalam perjalanan yang
membawa penulis dan rombongan ke Data Kakus, Tatau Bintulu pada pagi 16
September 2006 yang lalu.
Perjalanan
ke Data Kakus bermula dengan jalan tar Bintulu/Bakun sejauh 100 kilometer.
Jalan seterusnya ialah jalan tanah merah melalui jalan kem balak KTS Pusaka
sejauh 60 kilometer sehingga tiba di Simpang 18, iaitu jalan masuk utama ke
perkampungan masyarakat Kenyah Badeng Data Kakus.
Keadaan
jalan bertar dari Bintulu ke Simpang KTS langsung tidak memberikan masalah dan
cabaran memandu di atas jalan. Namun, 60 kilometer yang seterusnya iaitu
melalui jalan Kem Balak KTS sedikit mencabar, keadaan jalan yang sibuk dengan
lalu lintas lori balak yang sarat dengan muatan masing-masing sudah pasti
menjadi cabaran utama pemandu.
Perjalanan
ke perkampungan masyarakat Kenyah Badeng ini kamudiannya menjadi semakin sukar
dan mencabar setelah kereta 4WD Toyota yang dipandu oleh TK Baling Along kini
tiba di simpang masuk ke Data Kakus sejauh 18 kilometer pada jam 12.40
tengahari pada hari tersebut! Bagi yang mengemarkan aktiviti adventure
yang lasak dan mencabar, haa…, inilah destinasi yang anda cari-cari.
Penulis sempat bergurau, “…kalau jalan kaki lagi bagus…”. jawab TK Baling
Along spontan, “…heh! lima jam baru sampai kampung…”.
Pada
masa lalu, keadaan jalan masuk dari Simpang 18 ke Data Kakus sesungguhnya
sangat mencabar! Khususnya kalau ada hujan, jalannya bukan sahaja berlubang,
berlopak, laluan jambatan kayu belian yang disdiakan oleh pihak kem dan
orang-orang kampung juga sangat mencabar dan merbahaya. Merbahaya bagi mereka yang
baru melawat ke kampung ini, sebaliknya adalah perkara biasa dan kira selamat
bagi orang-orang di Data Kakus.
Kunjungan
kali ini adalah kali yang kedua buat penulis. Kali yang pertama ialah pada
tahun 2002 bersama-sama dengan Tuan Indit Bangai, Timbalan Residen Bintulu pada
ketika itu. Tujuan kunjungan pada tahun 2002 adalah untuk meninjau kerja-kerja
pelaksanaan projek iaitu baikpulih jalan kampung Data Kakus sejauh 18km dengan
jumlah kos projek sebanyak RM180,000.00
Melalui
pemerhatian penulis, perjalan yang mencabar dan sukar ke Data Kakus memberi
pengajaran bahawa masyarakat Kenyah Badeng yang mendiami perkampungan ini harus
dihormati, dihargai malahan tidak keterlaluan untuk menyanjungi mereka.
Apa
tidaknya, dalam keadaan hidup yang sukar dan mencabar, bukan sahaja jauh dari
pusat bandar dan perkhimatan kerajaan,
kumpulan masyarakat ini sebaliknya terus berusaha dengan lebih gigih
mengerjakan padi huma dan ladang lada, bertungkus lumus untuk menyara keluarga
mereka.
Mujurlah
ada sokongan dan bantuan daripada pihak pengurusan kem balak dan ladang kelapa
sawit yang berdekatan juga banyak membantu masyarakat ini untuk membaikpulih
keadaan jalan perhubungan utama ke Data Kakus. Bantuan ini telah banyak
membantu meringankan sengsara dan kepayahan penduduk.
Penulis
juga memerhatikan bahawa corak sara hidup masyarakat Orang Ulu Kenyah Badeng di
Data Kakus juga telah mengalami perubahan sedikit demi sedikit. Kita sedia
maklum bahawa Negeri ini sedang merancang untuk membangunkan tanahnya bagi
projek pertanian komersil skala besar iaitu melalui tanaman kelapa sawit.
Rancangan Pembangunan Tanah ini juga dijangka, malahan sebenarnya terbukti
berkesan membawa banyak kemajuan dan perubahan penduduk peribumi negeri untuk
lebih baik dan selesa.
Perubahan
ini sedang juga sedang dialami oleh penduduk di Data Kakus, dan sekiranya
penduduk di sini dapat mengenalpasti setiap peluang dan ruang dari rancangan
pembangunan tanah ini, terlalu banyak manfaat yang bakal dinikmati.
Soal
pendidikan, kesihatan, ekonomi, jalan, sosial, soal kebudayaan, peluang
pelancongan, hubungan yang lebih erat dan kerap dengan agensi dan jabatan
kerajaan, semuanya kini memberi impak di Data Kakus dan penulis sangat berharap
perubahan sikap dan minda dapat berlaku dengan lebih cepat di kalangan penduduk
di sini.
Setelah
lebih kurang empat jam perjalanan dari Bandar Bintulu, kira-kira jam 1.50
petang akhirnya kereta pacuan empat roda (4WD) yang dipandu oleh TK Valing
Along akhirnya tiba juga di hadapan rumah Ketua Kampung Ngang Kuleh, iaitu rumah
tempat bermalam penulis bersama rombongan sepanjang tempoh kunjungan ini.
Perkampungan Data Kakus terletak di dalam Daerah
Tatau, Bintulu. Jumlah keluarga dan pintu adalah dianggarkan seramai 175 buah
dengan jumlah penduduk lebih kurang 1800 orang. Secara langsung dan secara
tidak langsung scenario ini menjadikan kawasan perkampungan Data Kakus yang
didiami oleh masyarakat Kenyah Badeng ini amat bertepatan dengan pelbagai jenis
rancangan program pembangunan yang berkonsepkan pembangunan rakyat secara
bersepadu.
Di
kampung ini terdapat sebuah jambatan gantung yang diperbuat daripada kayu
belian. Tidak keterlaluan dinyatakan ia
mungkin satu-satunya jambatan gantung yang diperbuat daripada bahan kayu belian
di Negeri ini yang tidak menggunakan baik seutas wayar keluli!
Namun
bagi penduduk-penduduk kampung Data Kakus khususnya yang mendiami kampung Uma
Selawan, mereka telah menggunakan jambatan gantung tersebut lebih 10 tahun.
Menurut
Ketua Kampung Selawan, TK Tasek Bilong
yang membawa penulis melawat sekitar kawasan kampung, jambatan gantung belian
ini dibina dengan hanya menggunakan tulang empat kerat penduduk kampung Data
Kakus kira-kira 10 tahun yang lalu.
Satu-satunya
bahan keluli yang digunakan untuk merentangkan jambatan ini ialah Bolt Nut
dan Paku Lawang, tiada wayar, tiada jala dawai atau pukat tali. Panjang jambatan gantung ini adalah lebih
kurang 50 meter. Menakjubkan sehinggakan kini, jambatan gantung ini tetap kuat
dan dapat bertahan lama.
Bekalan
air bersih perkampungan ini diperolehi dengan cara sistem graviti feed water
supply dari kawasan tadahan hujan di pergunungan yang berhampiran. Bekalan
air yang dibekalkan adalah dalam
keadaan baik tanpa memberi banyak masalah kepada penduduk.
Sumber
bekalan elektrik pula, penduduk masih bergantung dengan bekalan daripada set
generator yang dibeli sendiri. Kemudahan pendidikan pula tidak jauh dari
kampung ini. SK Ulu Kakus memberi peluang pendidikan sekolah rendah manakala
pendidikan sekolah menengah diperolehi di SMK Belaga, di Belaga.
Bagi
menampung keperluan pendidikan anak-anak kecil yang belum layak ke tahun satu,
Pra-Sekolah juga ada disediakan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian
Pendidikan. Dalam masa yang sama, pihak NGO
yang dipimpin oleh salah seorang penduduk kampung ini juga ada menyediakan
kemudahan Pra-Sekolah untuk manfaat anak-anak kampung.
Kemudahan
kesihatan pula, penduduk kampung di Data Kakus mempunyai dua pilihan, iaitu
pertamanya mendapatkan perkhidmatan kesihatan melalui Flying Doctor” sekali sebulan, atau merujuk terus ke Klinik
Kesihatan di Belaga.
Perbualan
penulis bersama penduduk menyatakan mereka lebih suka ke Klinik Kesihatan di
Belaga daripada menunggu kunjungan Flying
Doctor yang mana perjalanan ke Klinik Belaga hanya memakan masa lebih
kurang satu jam sahaja.
Sumber
pendapatan utama penduduk ialah menanam padi.
Di samping itu, ramai juga yang mengusahakan tanaman lada. Namun harga
lada yang agak rendah pada masa kini menyebabkan aktiviti ini kurang diberi
tumpuan.
“…kalau
bawa beras ke pasar Belaga, tiga kereta penuh dengan guni beras pasti habis
dibeli…” dedah Ketua Kampung Ngang
Kuleh kepada penulis.
Bagaimanapun,
tidak semua hasil beras ini dibayar dengan mata duit. Tambah TK Ngang Kuleh,
“…kalau bawa beras ke Belaga tidak semuanya dibayar dengan duit sebaliknya
dengan menggunakan kaedah tukar barang. Contohnya, beras tukar
dengan gula, kopi, jala, dan macam-macam lagi…”.
Ini
juga boleh jadi salah satu daripada aktiviti produk pelancongan berkonsepkan homestay
program di sini. Bayangkan kalau pelawat turut sama pergi ke pekan Belaga
dan menjalankan sistem “Tukar Barang”, tentu menyeronokkan.
Selain
daripada itu, penduduk di perkampungan Data Kakus juga mula menanam pokok getah
untuk merancang sumber ekonomi pada masa akan datang. Namun bagi penulis,
faktor utama yang bakal merubah corak sara hidup dan sumber ekonomi penduduk
ialah melalui pembangunan tanah kelapa sawit.
Aktiviti
kesukanan turut menarik ramai minat anak-anak muda di kampung ini terutamanya
permainan bola sepak. Tidak hairanlah pada suatu ketika dahulu pasukan bola
sepak dari Data Kakus adalah antara pasukan dan pemain yang digeruni lawan.
Menyentuh
soal pemuliharaan dan promosi warisan seni dan budaya masyarakat Kenyah Badeng,
perkara ini tidak pernah diabaikan oleh penduduk Data Kakus.
“…siapa
yang pandai dalam seni tukang kraftangan di kampung ini?…” soal penulis
selepas selesai mengadakan tinjauan di sekitar kampung semasa kunjungan
tersebut.
Jawab
TK Tasek Bilong, “…un lan kadok da…” bermaksud, “…ada, ada ramai mereka…”.
di rumah TK Ngang Kuleh sendiri penulis telah melihat sendiri pelbagai jenis
bentuk Parang Ilang “Baeng Puk” yang dihasilkan sendiri oleh beliau dan
ayahnya.
Untuk
menambah lagi kreativiti kesenian dan keunikkan Parang Ilang ini,
kesemuanya dihiasi dengan sarung manik “Sua Inu” dengan pelbagai corak ukiran
dan motif tradisional Orang Ulu.
Jika
dijual memang begitu berharga, paling tidak mencecah ratusan ringgit untuk
sebilah parang sahaja. Antara nama-nama tukang
kraftangan Orang Ulu di Data Kakus ialah TK Tasek Bilong, Liling Erang,
Sagen Jateng, Uchang Njok, Balan Engon, Ecak Emau, TK Ngang Kuleh dan ayah
belaiau iaitu Keleh Lenjau, Atok Ukong, Lenjau Lawai, Usim Engong, Angkew
Achen, Asat Tula dan Gerang Nyagun.
Ada
ramai lagi menurut TK Tasek Bilong, individu-individu yang mahir dalam seni
kraftangan seni Orang Ulu di Data Kakus. Bagi penulis ini petanda yang sangat
positif, mudah-mudahan kemahiran ini dapat diperturunkan kepada anak-anak dan
genarsi muda di kampung ini.
Lebih
mengembirakan, Kampung Data Kakus juga mempunyai Kelab Kebudayaan mereka
sendiri, dan ini juga telah membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka untuk
memeliharan dan mempertahankan warisan seni dan budaya Kenyah Badeng Data
Kakus.
Jika
dibandingkan dengan kebanyakkan rumah panjang Orang Ulu, kewujudan kumpulan
muzik tradisional seperti ini jarang-jarang yang ada ditubuhkan. Menariknya,
Kumpulan Kebudayaan Kenyah Badeng Data Kakus adalah antara kumpulan kebudayaan
muzik dan tarian tradisional Orang Ulu di kawasan Belaga yang aktif.
JKKK
kampung Data Kakus yang terdiri dari Uma Pelasan, Uma Berangin, Uma Selawan dan
Uma Nyabert juga sedang merancang untuk mendirikan satu tapak pelancongan di
Data Kakus berkonsepkan Mini Resort.
Rancangan
ini adalah rancangan yang sangat proaktif dan harus mendapat sokongan oleh
semua penduduk di Data Kakus. Sumber kewangan amat diperlukan dan merupakan
cabaran besar yang harus ditangani dengan bijaksana bagi memastikan kejayaan
perancangan ini. Namun mengatasi segala cabaran ini ialah komitmen dan semangat
bekerjasama serta sanggup untuk kerja secara gotong-royong dikalangan semua
penduduk dan JKKK Kampung di Data Kakus. Ini tidak mustahil malah akan menjadi
realiti dalam masa terdekat ini
Selain
itu, Biro Wanita Kampung Data Kakus juga sedang dalam proses untuk merancang
dan melaksanakan pelbagai jenis program pembangunan di peringkat kampung.
Semasa kunjungan penulis, beberapa orang wakil perkumpulan Biro Wanita Data
Kakus telah menyatakan hasrat dan rancangan mereka untuk turut sama dalam usaha
membangunkan kampung seperti kerja-kerja keindahan landscaping dan juga
menjual hasil kraftangan penduduk kampung yang berminat.
Ini
petanda yang sangat baik malahan harus diberi galakan dan sokongan. Seperti
juga Kumpulan Muzik Tradisional Data Kakus yang begitu bersemangat untuk
mempertahankan dan memelihara warisan seni dan budaya masyarakat Kenyah Badeng
Data Kakus, penulis berharap agensi dan jabatan kerajaan yang lain agar dapat
turun padang untuk membantu dan menghulurkan bantuan nasihat dan kewangan untuk
membimbing dan menggiatkan usaha murni Biro Wanita ini di Data Kakus.
Penulis
mendoakan kejayaan demi kejayaan akan terus dikecapi dan datang bertandang ke
perkampungan Data Kakus!
Info
Perkampungan ini terdiri
daripada lima buah kampung iaitu Uma Amit, Uma Pelasan, Uma Berangin, Uma
Nyabert dan Uma Selawan. Uma Amit diurus tadbir oleh TK Peter Deno, Uma Pelasan
diketuai oleh TK Valing Along, seterusnya Uma Berangin pula diketuai oleh TK
Ngang Kuleh. Uma Nyabert pula diketuai oleh TK Bilang Emau dan Uma Selawan
diketuai oleh TK Tasek Bilong.Berdasarkan
kepada sumber sejarah seperti yang diceritakan oleh pemimpin masyarakat di Data
Kakus, pada awal tahun 1976 sekumpulan daripada masyarakat Orang Ulu dari suku
Kenyah Badeng telah berpindah dari kampung Long Busang ke Long Dungan di
pedalaman dalam Daerah Belaga. Setelah mediami kawasan di Long Dungan Belaga
selama lebih kurang 10 tahun, pada tahun 1985 kumpulan masyarakat ini sekali
lagi telah mengambil keputusan untuk berhijrah.Sebab
penghijrahan ini adalah untuk mencari kehidupan yang lebih tenang, selesa dan
selamat dari segi ekonomi dan sosial.
Kawasan hijrah seterusnya yang dituju ialah “Data Kakus”. Data bermaksud
kawasan tanah rata di atas atas kawasan pergunungan (dataran di pergunungan).Manakala
Kakus pula ialah nama kepada sebatang anak sungai yang berkualakan Sg.
Anap, Tatau. Kawasan perkampungan Data Kakus dilalui oleh sebatang anak sungai
yang dipanggil Sg. Burok.Nama
“Burok” diberi nama kerana tidak jauh dari kampung ini ada satu kawasan sungai
yang mengeluarkan mata air bergas yang baunya seakan-akan bau “Busuk”.Namun
Sungai Buruk ini tidaklah seburuk namanya kerana, laluan sungai ini merupakan
sumber tangkapan dan rezeki ikan air tawar serta menjadi laluan utama penduduk
dari kampung berdekatan khususnya dari kampung Long Biak.Air
sungai ini juga begitu jernih airnya, manakala batu karangan sungai ini sangat
sesuai dijadikan tempat berkelah sambil menikmati keindahan alam semulajadi
serta hutan dara yang segar, tenang yang begitu menyenangkan. Bagi yang
menginginkan suasana kehidupan yang tenang, aman dan damai Data Kakus pastinya
menjadi destinasi yang sangat sesuai untuk dikunjungi. Data Kakus juga memiliki
banyak produk pelancogan yang menarik.
Artikel adalah coretan pengalaman Saudara
Jeffrey Jalong (dari Pejabat Daerah Bintulu) yang melakukan kunjungan ke
perkampungan ini dari 16-17 September 2006 yang lalu