- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

YB SUK Lawat Jabatan Persekutuan

Must read

Hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan
Persekutuan merupakan elemen penting kepada kejayaan pelaksanaan pembangunan
yang dirancang di Sarawak.

Sungguhpun terdapat beberapa perkara
seperti prosedur, peraturan dan kaedah pelaksanaan yang digunapakai oleh pentadbiran
Kerajaan Negeri sedikit berbeza namun ini tidak pula menjadi alasan utama yang
mengakibatkan sehingga terjejasnya pelaksanaan projek dan program pembangunan
di negeri ini.

Kedua-dua pihak menyedari akan hal ini dan
kedua-dua pihak dari semasa ke semasa sering kali berkomunikasi dalam usaha
untuk merungkaikan mana-mana kesulitan yang mungkin timbul dalam pelaksanaan
pembangunan.

Beberapa jawatankuasa telah ditubuh dan
telah menjalankan fungsinya dengan baik. Sungguhpun demikian sudah menjadi
lumrah bahawa setiap penyelesaian itu mungkin hanya berkesan untuk seketika.
Maka adalah perlu hubungan erat dan komunikasi yang berkesan serta perbincangan
diadakan di antara kedua-dua pihak bukan sahaja hanya untuk mengatasi masalah
yang berlaku tetapi juga bertindak untuk memikirkan pilihan kaedah pelaksanaan
yang terbaik bagi sesuatu program atau projek pembangunan yang akan dilaksanakan
agar dengan itu kemungkinan timbul kesulitan yang lebih rumit dan boleh
menjejaskan penyiapan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat ditangani
dengan lebih berkesan, cekap dan cepat.

Sehubungan dengan itu, YB Datu Wilson Baya
Dandot, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah mengambil inisiatif untuk
mengukuhkan lagi ikatan ini dengan mengadakan lawatan dan mendapatkan taklimat daripada
beberapa jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di Sarawak pada 31 Januari 2007.

Ini merupakan lawatan kerja sulung YB Datu
SUK sejak dilantik sebagai SUK pada 1 Januari 2007.

Jabatan Pendaftaran Negara menjadi tuan
rumah bagi sesi taklimat itu. Pengarahnya, Encik Abu Bakar bin Mat telah diberi
penghormatan untuk memulakan sesi taklimat pada hari itu. Turut dijemput untuk
memberikan taklimat kepada YB Datu SUK ialah Cik Rabiah Johari, Pengarah,
Jabatan Pelajaran Negeri, Sarawak; Datu Robert Lian, Pengarah, Jabatan Imigresen
Malaysia, Sarawak; Encik Abdul Hamed bin Akop, Pengarah, Jabatan Pengangkutan
Jalan, Sarawak dan Dr. Yao Sik King, Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri,
Sarawak.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah
Tuan Haji Ngah bin Senik, Setiausaha Persekutuan Sarawak (SUKP), Datuk Haji
Mohd. Morshidi bin Abdul Ghani, Timbalan SUK (Pentadbiran, Keselamatan dan Hal
Ehwal Korporat) serta beberapa pegawai kanan pentadbiran Kerajaan Negeri.

YBhg. SUKP dalam ucapan aluan beliau
merakamkan rasa terima kasih beliau bagi pihak seluruh warga kerja pentadbiran
Persekutuan di Sarawak di atas kesudian YB Datu SUK dan rombongan mengadakan
lawatan kerja berkenaan.

Beliau juga menyatakan bahawa lawatan
seumpama ini amat bermakna kerana ia akan memberikan gambaran bahawa di antara
kedua-dua organisasi pentadbiran ini sememangnya menjalinkan hubungan,
komunikasi dan interaksi yang baik dan ini akan terus ditingkatkan supaya
perkhidmatan yang disampaikan kepada masyarakat atau pelanggan adalah yang
terbaik dan memuaskan.

Tuan Haji Ngah seterusnya menjelaskan
bahawa pemilihan jabatan yang dilawati dan diminta untuk memberikan taklimat
pada hari itu adalah jabatan-jabatan yang terlibat secara langsung dalam
memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan melalui sesi ini pihak pengurusan
tertinggi pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan memperolehi secara
langsung maklum balas daripada jabatan berkenaan tentang status pelaksanaan
program atau projek pembangunan yang mereka jalankan.

YB Datu Wilson dalam ucapan balas beliau
menyatakan bahawa lawatan ini merupakan susulan daripada lawatan Tan Sri Sidek
Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada pertengahan bulan Januari 2007 yang
lalu yang mana beliau (KSN) mahukan kedua-dua pentadbiran Kerajaan Negeri dan
Persekutuan terus menjalin hubungan akrab bagi memastikan penyampaian
perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada masyarakat.

YB Datu SUK seterusnya menjelaskan bahawa
matlamat lawatan seperti ini selain daripada meningkatkan hubungan erat yang
sedia ada adalah juga untuk mewujudkan budaya kerja yang unggul yang mana
penekanan kepada pengongsian maklumat antara jabatan (Negeri dan Persekutuan)
akan dapat membantu melancarkan proses pentadbiran, penyampaian perkhidmatan
dan pelaksanaan program atau projek pembangunan di negeri ini di mana salah
tafsir dan kemungkinan kesulitan yang timbul hasil daripada perbezaan dari segi
prosedur dan peraturan kerja akan dapat diselesaikan dengan baik.

YB Datu SUK juga mengingatkan bahawa masih
banyak ruang yang masih boleh dibaiki ke arah memastikan pelaksanaan program
atau projek pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK9) berjalan dengan lancar. Untuk itu beliau (SUK) yakin resipi kejayaan itu
adalah kerjasama erat di antara kedua-dua pentadbiran Kerajaan Negeri dan
Persekutuan.

Selesai sesi taklimat itu, rombongan YB
Datu Wilson meluangkan masa melawat Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak
seterusnya meninjau operasi Jabatan Pendaftaran Negara, Sarawak diikuti lawatan
singkat ke Jabatan Pelajaran Negeri, Sarawak.

Dalam lawatan ringkas itu, YB Datu Wilson
turut diiringi oleh Tuan Haji Ngah (SUKP), Datuk Haji Mohd. Morshidi dan
pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri yang lain.

Lihat juga artikel :


Kebersihan dan Keselesaan di Tempat Kerja

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article