- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Dalami Pemikiran Ibnu Khaldun Sebagai Panduan

Must read

YAB Ketua Menteri melihat kandungan buku yang baru dirasmikannya.
Turut kelihatan ialah (dari kiri) Menteri Perumahan Dato Sri Abang
Johari Tun Openg, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Misnu Taha.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Wilson Baya Dandot dan Menteri Muda di
Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman

Semua umat Islam perlu mendalami pemikiran Ibnu Khaldun sebagai panduan agar berjaya menempuh cabaran di dunia yang cepat berubah pada masa ini.

Dengan cara itu, umat Islam akan dapat menyusun semula langkah mereka ke hadapan dengan cara pemikiran yang bersesuaian dengan agama Islam dalam usahanya mengembalikan semula kegemilangan seperti yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

Demikian menurut YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika berucap merasmikan Seminar Ibnu Khaldun Ke-4 di Pustaka Negeri Sarawak pada Februari lalu.

Menurutnya, jika umat Islam tidak bersedia untuk menukar corak perjuangan dari sekarang hasilnya mungkin tidak akan berkekalan serta gagal memberikan manfaat.

Jelasnya, perubahan dunia yang begitu cepat telah mengubah keadaan ekonomi dunia dan itu memerlukan umat Islam membuka minda mereka seluas mungkin demi kemajuan negara.

Katanya lagi, ‘pembangunan modal insan’ seperti skop perbincangan yang ditekankan dalam seminar kali ini akan dapat dibangunkan menerusi pemikiran secara terbuka, di samping mendukung ajaran-ajaran Islam Hadhari.

Ini kerana pembangunan modal insan adalah satu proses yang akan menambah bilangan orang yang dapat menyumbang ke arah pembangunan negara.

Menurut Ketua Menteri, sesebuah negara juga akan maju jika modal insan mereka mampu mengeksploitasi pelbagai bidang seperti sains, sosial, teknologi dan lain-lain.

Justeru, katanya corak pemikiran Ibnu Khaldun perlu dicontohi umat Islam pada masa ini kerana beliau merupakan antara pemikir Islam terulung dalam sejarah Islam dan mampu membantu memajukan umat Islam pada hari ini.

Seminar Pemikiran Ibnu Khaldun Ke-4 anjuran Majlis Islam Sarawak yang berlangsung selama dua hari itu telah dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada kakitangan awam, para pelajar institusi pengajian tinggi dan ketua-ketua masyarakat termasuk tenaga pengajar, pelajar sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan.

Objektif seminar ialah untuk mengumpul khazanah intelektual zaman silam sebagai karya agung umat Islam. Ia juga bertujuan dijadikan wadah perbincangan untuk menerokai hasil-hasil pemikiran Islam serta mendalami pemikiran dan pendekatan Ibnu Khaldun dalam bidang pembangunan modal insan dan kesesuaiannya dalam masyarakat hadhari.

Sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan pada seminar kali ini. Para pembentang berkenaan ialah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya dan Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut melancarkan buku-buku terbitan Majlis Islam Sarawak termasuk hasil karangan Dato Sri Haji Abdul Kadir Hasan yang berjudul 40 Kemusykilan Agama, Generasi Warisan dan Perkembangan Islam Nusantara.

Beberapa buah tadika yang terpilih dari seluruh negeri ini juga telah menerima buku Generasi Wawasan yang disampaikan oleh Ketua Menteri.

Turut disampaikan ialah Dana Ibnu Khaldun kepada beberapa pelajar Islam yang sedang menuntut dalam pelbagai bidang di universiti luar negeri.

Info Seminar Ibnu Khaldun

  • Dicetuskan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak
  • Siri pertama diadakan pada tahun 2000 di Miri yang membincangkan tajuk ‘Al-Mukaddimah dan Epsitemologi Islam’. Seminar siri kedua dan ketiga diadakan di Kuching. Siri kedua mengetengahkan pemikiran tokoh ini dalam bidang ‘Sosio-Ekonomi’ pada tahun 2002 dan siri ketiga pada tahun 2004 memfokuskan aspek ‘Kepimpinan’.
  • Seminar kali ini berpotensi untuk dijadikan sebagai landasan terbaik bagi negara untuk mencapai pembangunan modal insan seterusnya menjadikannya sumber inspirasi ke arah pemerkasaan budaya ilmu di kalangan masyarakat.


Info Ibnu Khaldun

    • Ibnu Khaldun dilahirkan pada tahun 1332 di Tunis, Afrika Utara. Tujuh siri buku ‘Universal History’ yang dihasilkannya telah menjadi monumen kajian ketamadunan manusia dan dianggap sebagai salah satu hasil kerja terpenting dalam Zaman Pertengahan.
    • Beliau percaya bahawa kemajuan dan kejatuhan berada dalam satu pusingan. Kerja keras dan kerjasama membawa kepada kegemilangan tetapi pada masa yang sama dominasi dan korupsi juga wujud.
    • Teori beliau itu diketengahkan di dalam ‘Al-Muqaddimah’, siri pertama ‘Universal History’. Buku berkenaan telah berjaya mengangkat martabat beliau sebagai seorang tokoh tersohor dalam ilmu pengetahuan pada zamannya.
    • Pemikiran Ibnu Khaldun turut menekankan bahawa pembinaan tamadun bermula dengan pembinaan budaya ilmu kepada masyarakat yang hendak dibangunkan.
    • Beliau turut menyebut tentang perkembangan ilmu-ilmu dalam Islam bermula dari al-Quran, sunnah, hukum, akidah, akhlak hingga kepada falsafah dan ilmu perubatan, ekonomi, fizik, kimia dan sebagainya.
    • Ilmu-ilmu itu telah mencetuskan pelbagai kemajuan dalam kehidupan umat Islam sehingga terbentuk satu tamadun yang benar-benar mengimbangi kemajuan duniawi dengan pelbagai tuntutan ukhrawi di samping memajukan kehidupan manusia dalam pelbagai bidang pada hari ini.
    • Ibnu Khaldun meninggal pada usia usia 74 tahun di Kaherah, Mesir.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article