Semua warga kerja dalam Jabatan Ketua Menteri (JKM), khususnya di Bangunan Wisma Bapa Malaysia dicabar supaya bekerjasama mencapai matlamat Pensijilan Amalan 5S menjelang penghujung tahun 2007.
Amalan 5S iaitu ‘Sisih’, ‘Susun’, ‘Sapu’, ‘Seragam’ dan ‘Sentiasa Amal’ merupakan kaedah pengurusan yang diamalkan oleh syarikat-syarikat di negara Jepun dalam usahanya mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti di dalam organisasi, menentukan kepatuhan kepada standard serta dapat memupuk usaha penambahbaikan yang berterusan.
YBhg. Datuk Haji Mohd Morshidi bin Abd Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran, Keselamatan dan Hal Ehwal Korporat) menggesa supaya seluruh warga kerja di dalam Bangunan Wisma Bapa Malaysia bekerjasama antara satu sama lain supaya matlamat Pensijilan Amalan 5S dapat dicapai oleh semua Unit dan Jabatan di bangunan berkenaan sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Program Kempen Kebersihan dan Keindahan Wisma Bapa Malaysia pada 24 Februari lalu. YB Setiausaha Kerajaan Sarawak (SUK), Datu Wilson Baya Dandot turut hadir pada majlis itu.
Program itu yang dikelolakan oleh Jawatankuasa Induk Kebersihan dan Keindahan Wisma Bapa Malaysia merupakan yang kedua pada tahun ini selepas diadakan pada 27 Januari lepas.
Datuk Morshidi yang merupakan Pengerusi Jawankuasa Induk berkenaan dalam ucapannya turut menjelaskan bahawa pada kempen pertama sejumlah lima lori sampah telah dibawa keluar dari bangunan yang setinggi 22 tingkat dan menjadi tempat kerja bagi kira-kira 800 orang.
Namun katanya, masih banyak lagi barang mahupun peralatan yang tidak diperlukan lagi boleh dibuang untuk menjadikan persekitaran tempat kerja lebih teratur dan selesa.
Menurutnya, jawatankuasa yang telah dibentuk di setiap tingkat bangunan juga perlu aktif memantau perjalanan dan melaksanakan Amalan 5S.
Jika mampu dilaksanakan, matlamat untuk mencapai Pensijilan Amalan 5S di semua tingkat bangunan itu pasti akan tercapai pada penghujung tahun ini.
Katanya, soal keselamatan di tempat kerja juga perlu diambil berat oleh semua pihak. Dalam perkara ini penekanan terhadap disiplin diri perlu ditingkatkan. Datuk Morshidi memberi contoh disiplin ketika memandu terutamanya di kalangan para pemandu kenderaan milik kerajaan.
Jelasnya, amalan berdisiplin ketika memandu bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan diri tetapi juga orang lain.
Sebelum itu, YB SUK serta semua kakitangan JKM yang hadir turut berpeluang mendengar dua taklimat yang bertajuk ‘Panduan Pengurusan Kewangan yang Berhemat’ oleh YBhg. Datu William Lee, Pengarah, Unit Audit Dalam Jabatan Ketua Menteri dan ‘Taklimat Penguatkuasaan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004’ oleh Encik Steven Beti Anom, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Sarawak.
Seperti program yang lepas, aktiviti senamrobik yang disertai seluruh warga JKM yang hadir turut diadakan pada awal pagi berkenaan, bertempat di pekarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri.
Selepas itu, YB SUK yang diiringi oleh Datuk Morshidi turut meninjau aktiviti pembersihan pejabat serta perkembangan amalan 5S di beberapa unit di JKM.
Info Amalan 5S
- Amalan 5S dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dilancar secara rasmi pada 18 Disember 2005
- Satu garis panduan bagi melaksanakan amalan 5S dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah dikeluarkan melalui Surat Pekeliling Perj. Bil. 3/2006 bertarikh 17 Mei 2006
- Merupakan salah satu daripada inisiatif kualiti yang amat berkesan dalam usaha untuk menerapkan budaya penambahbaikan di kalangan warga Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak kerana ia merupakan penggerak kepada inisiatif-inisiatif kualiti yang lain
- Fokus utamanya ialah mengenalpasti, mengurangkan dan menghapuskan pembaziran di tempat kerja, meningkatkan semangat kerjasama berkumpulan dan meningkatkan keberkesanan operasi.