- Advertisement -spot_img
4,830
published news
and counting

Kualiti Kesihatan di Pedalaman Sentiasa Diutamakan

Must read


Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan kesihatan penduduk di kawasan luar bandar termasuk masyarakat Penan di kawasan pedalaman negeri ini.

Pengarahnya, Dr Yao Sik King berkata bahawa ia merupakan tanggungjawab Jabatan Kesihatan untuk meletakkan kakitangannya di kawasan pedalaman untuk memastikan bahawa kesihatan dan kualiti hidup mereka yang mendiami kawasan berkenaan tidak dipandang ringan.

Sehubungan itu, kakitangan jabatan yang dihantar ke situ perlu bersikap sensitif dengan keperluan penduduk dan sentiasa bekerja keras untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan termampu mereka.

Malah, kakitangan yang dihantar ke kawasan itu juga tidak harus meletakkan keselesaan ketika bertugas sebagai keutamaan.

Mereka sebaliknya perlu menyedari tanggungjawab besar yang dipikul untuk memastikan kualiti kesihatan sentiasa dipertingkat setanding dengan penduduk yang mendiami kawasan bandar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Sijil dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Malam Jasamu Dikenang di Miri baru-baru ini.

Lebih 100 penerima sijil dan anugerah dari kalangan kakitangan jabatan itu di Bahagian Miri telah hadir pada majlis itu.

Menurutnya, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama pada mutu perkhidmatan kesihatan di luar bandar.

Umpamanya, kakitangan Jabatan Kesihatan yang dihantar bertugas ke kawasan luar bandar merupakan golongan yang paling dekat dengan masyarakat.

Keadaan itu memudahkan mereka berkomunikasi dengan masyarakat dan seharusnya mereka menggunakan kelebihan itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan dan kepentingan aspek kesihatan dalam kehidupan seharian.

Beliau menegaskan bahawa dedikasi para kakitangan yang bertugas di kawasan pedalaman seperti Bario dan di tempat-tempat lain sentiasa dihargai. Mereka bukan sahaja tidak menikmati kemudahan elektrik, malah tiada jaminan mereka keselesaan yang lain apabila bertugas di sana.

Walau bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak harus dijadikan sebagai alasan kepada mereka untuk tidak berkhidmat kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Info Kesihatan

  • 235 buah klinik desa dan 166 klinik kesihatan baru di luar bandar seluruh negara dirancang dalam RMK9
  • 94 buah klinik baru untuk kawasan luar bandar Sarawak dalam RMK9
  • 194 buah Klinik Kesihatan di Sarawak (2006)
  • 173 buah (89 peratus) Klinik Kesihatan di kawasan luar bandar Sarawak (2006)
  • RM612.4 juta untuk 218 projek dalam RMK9 untuk JKNS
  • 6,540 orang kakitangan JKNS (2006). (Doktor – 653 orang, doktor gigi – 72 orang, ahli farmasi – 135 orang, pembantu perubatan – 981 orang, jururawat – 2,259 orang, pembantu jururawat – 93 orang, jururawat desa dan berkaitan – 2,347 orang)
  • Kira-kira 80 peratus (5,232 orang) kakitangan JKNS di bandar dan 20 peratus (1,308 orang) di kawasan luar bandar
  • Nisbah doktor kerajaan/penduduk: 1:3,514 (2005)
  • Nisbah doktor kerajaan dan swasta/penduduk: 1:2,301 (2005)
  • 20 Hospital kerajaan di Sarawak (2005)
  • 2 Hospital Pakar (Hospital Sentosa dan Hospital Kusta) (2005)
  • 184 Klinik Pergigian (2005)
  • 7 Klinik Desa (2005)
  • 121 Klinik Bergerak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article