Proses mentransformasi Sarawak sebagai pusat kecemerlangan sebenarnya banyak disumbangkan oleh faktor pembangunan sumber dan manusia dan modal insannya yang mapan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datu Wilson Baya Dandot.
Bagi mencapainya, ia banyak menuntut kepada kepakaran kita dalam bidang yang memenuhi pasaran masa kini termasuk biodiversiti dan pertanian moden.
"Ini adalah satu usaha yang amat tepat pada masanya, dalam kita melahirkan tenaga kerja yang bermutu, selaras dengan usaha kita memajukan negeri Sarawak," kata YB Datu Wilson.
Beliau berkata demikian kepada sepuluh (10) orang penerima hadiah latihan dalam perkhidmatan yang mengadakan kunjungan hormat terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Kumpulan pertama yang merangkumi empat (4) orang tersebut berlepas pada bulan Mac ini manakala selebihnya berlepas pada Julai nanti.
Empat (4) orang penerima tersebut, yang terdiri daripada seorang kakitangan Jabatan Pertanian dan tiga dari Sarawak Biodiversity Centre (SBC) akan mengikuti jurusan dalam peringkat sarjana dan kedoktoran di universiti tersebut.
Jelas beliau lagi, usaha ini dilaksanakan bukan sahaja sebagai pengiktirafan serta kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap potensi serta keupayaan mereka malah untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan.
Beliau berharap mereka yang terpilih mengikuti pengajian ini dapat menimba seberapa banyak pengalaman serta menyumbangkan khidmat bakti untuk membangunkan negeri ini apabila tamat pengajian.
Setiausaha Kerajaan Negeri turut memberi kata-kata semangat kepada mereka di samping berharap mereka dapat menumpukan perhatian terhadap kajian yang dibuat dengan menghasilkan penyelidikan yang bermutu.
Katanya lagi, mereka harus merebut peluang yang diberi bagi meningkatkan kualiti dan status kerja mereka.
Kumpulan pertama terdiri daripada kakitangan Jabatan Pertanian dan Pusat Biodiversiti Sarawak, jangkamasa pengajian adalah di antara dua (2) hingga empat (4) tahun berdasarkan bidang pengajian.
Pada majlis ringkas tersebut, Datu Wilson juga berpeluang bersuai kenal dengan para penerima hadiah dalam perkhidmatan tersebut di samping menyerahkan surat tawaran kepada sepuluh (10) orang penerima yang bakal berlepas ke Australia.
Dalam perkara yang berkaitan, di bawah memorandum persefahaman di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Universiti of Adelaide, Australia, pihak Universiti of Adelaide bersetuju untuk bekerjasama dengan menyediakan tempat dalam penyelidikan.
Universiti berkenaan telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Negeri yang akan mewujudkan hubungan saintifik dan pendidikan, di samping membolehkan para pelajar yang ditaja Kerajaan Negeri Sarawak melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.
MOU berkenaan berkuat kuasa selama (5) lima tahun, para pelajar yang akan mendaftar di University of Adelaide akan mengikuti Integrated Bridging Program (IBP), yang akan membantu seseorang penuntut itu dalam cadangan kajian serta tulisan tesisnya.
Bagi mengalakkan perkembangan positif, beliau turut membayangkan kesediaan kerajaan negeri untuk memperluaskan kerjasama dengan Universiti lain.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
You must sign in to vote