- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

e-DUN Kini Dipertingkat

Must read

Dahulu, tidak ada siapa pun terfikir Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) mampu menyediakan platform mudah untuk kita melaksanakan tugas.

Bagi mereka yang terlibat dalam Urusan Persidangan Mesyuarat berprofil tinggi seperti Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menyaksikan kepantasan dan ketepatan maklumat bagi memastikan Persidangan Dewan Undangan Negeri berjalan lancar sentiasa dipertingkatkan lagi.

Mungkin perkara yang pertama sekali terlintas di fikiran mereka adalah bagaimana untuk memastikan kualiti dan standard kerja boleh ditingkatkan pada tahap terbaik.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif dalam memastikan pelaksanaan ICT ini digunakan sepenuhnya dalam Persidangan Urusan Mesyuarat di peringkat DUN.

Inisiatif ini turut menarik perhatian rombongan Lawatan Rasmi Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet / Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam dan Rombongan yang baru-baru ini berkunjung ke Sarawak untuk mengetahui perkembangan tersebut.

Sistem yang dimaksudkan tersebut ialah e-DUN, yang pertama seumpamannya digunakan di Malaysia yang mampu menjadikan tugas mengurus Persidangan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di negeri ini dengan mudah.

Ia lebih kepada satu sistem pengurusan berasaskan platform laman web yang mengandungi rangka serta sistem kerja secara lebih efektif dalam menguruskan Persidangan Mesyuarat DUN.

Melalui sistem ini, diakui ia dapat menjimatkan masa, tenaga dan menjamin penyaluran maklumat lebih tepat dan boleh diakses di mana jua.

Sistem yang disifatkan sebagai mesra –pengguna ini mempunyai reka letaknya yang menarik di samping mempunyai pelbagai fungsi untuk tujuan tertentu.

Menurut Sim Guan Meng, Pembangun Aplikasi berkenaan, antara ciri-ciri menarik yang terdapat pada e-DUN ialah ruangan informasi yang mengandungi pengumuman, maklumat ringkas mengenai sistem, regulasi dan maklumat ahli DUN.

Selain itu, ia turut mempunyai ruangan Notis (Notice Board) sehinggalah perkara mengenai perkembangan Persidangan DUN yang terkini.

Sistem yang mesra-pengguna ini turut mempunyai ruangan maklum balas serta penyenaraian soalan-soalan terdahulu dan terkini.

Direka dengan terperinci, setiap ciri-ciri yang terdapat di dalam sistem ini telah mengambil kira keperluan pengguna setelah beberapa kajian dibuat mengenai keperluan kerja.

Ia memudahkan penguna sistem berkenaan menghantar soalan kepada pihak yang berkaitan kepada Setiausaha DUN yang kemudiannya turut dimajukan kepada kementerian untuk tujuan maklum balas.

Kenyataan ini diakui oleh Wiliam Then, Ketua Arkitek Perisian yang berkata selain penghantaran serta penerimaan soalan dapat dilakukan dengan mudah ia turut memudahkan tugas penapisan soalan.

Sebagai contoh, Setiausaha DUN boleh menyemak dan memilih soalan yang sesuai berdasarkan waktu sebenar (real time).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menghantar soalan berkenaan juga dapat mengetahui setakat mana perjalanan soalan yang dikemukakannya dalam bentuk visual (anak panah dengan warna yang tertentu) yang dapat diketahui secara masa sebenar (real time).

Katanya lagi, pengguna tertentu sistem ini juga boleh mencapai had akses melihat beberapa rang undang-undang yang pernah dibentang sebelum ini.

Enjin pencariannya juga menurutnya turut memudahkan pencarian fail yang berdasarkan perkataan, tarikh, nama wakil rakyat dan sebagainya.

Lebih daripada itu, sistem ini turut membolehkan lampiran dihantar, sekiranya terdapat lampiran yang ingin disertakan.

Sistem ini direka khusus untuk pengguna utamanya yang meliputi Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri-Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri, Jurutulis (Sekretariat DUN) dan Dewan Undangan Negeri dan Peguam Negeri.

Apa yang menarik mengenai sistem ini, ia turut bertindak sebagai arkib atau rekod untuk menyimpan data dan maklumat mengenai DUN yang sejak pertama kali bersidang.

“Sistem ini mampu menyimpan semua maklumat mengenai DUN dari awal penubuhannya sehingga ke hari ini yang merakam sebahagian daripada sejarah DUN yang juga merupakan yang tertua di Malaysia.”, jelas Ketua Pegawai Eksekutif, SAINS, Encik Teo Tien Hiong mengesahkan kenyataan tersebut.

Dari sudut keselamatan, Encik Teo Tien Hiong memberi jaminan selain pengguna diberi akses kata pengguna dan kata laluan, ia turut selamat memandangkan ia berada di dalam rangkaian SarawakNet, di samping akses juga dihadkan mengikut jenis pengguna dengan beberapa ciri-ciri tertentu sahaja.

Ciri keselamatan turut dipertingkat apabila akses dan ciri-ciri penuh sistem dikawal oleh pentadbir sistem.

Memperkukuhkan lagi sistem ini, setiap tindakan pengguna terhadap sistem ini akan direkod bagi tujuan memudahkan urusan pemantauan sistem oleh pentadbir sistem.

Berdasarkan maklum balas serta beberapa siri percubaan penggunaan sistem tersebut sebelum ini, jangka masa antara 2 ke 3 hari diambil untuk Setiausaha manakala ahli DUN satu ke dua (2) hari untuk benar-benar memahami serta mahir menggunakan sistem ini.

Idea untuk melaksanakan e-DUN ini lahir pada tahun 1993, kemudiannya dilaksanakan pada tahun 1996. Versi kedua e-DUN dibangunkan pada tahun 2005. Setakat ini telah menyimpan data sehingga tahun 1963.

Sistem ini dibangunkan oleh SAINS Sdn Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article