YAB Ketua Menteri bersama-sama YBhg. Tan Sri Hajah Zaleha Ismail menunjukkan kandungan buku ‘HANDYpop Sarawak’ kepada para jemputan dan peserta seminar
Masyarakat yang bergerak mencapai kemajuan tidak terlepas daripada terdedah kepada elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan negara.
Ini kerana pembangunan yang dicapai menyebabkan corak hidup masyarakat turut berubah dan terdedah dengan masalah sosial seperti aktiviti jenayah dan nilai negatif seperti mementingkan diri.
Ketua Menteri, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud menjelaskan bahawa satu masalah baru yang mula kelihatan di Sarawak ialah kemunculan kelompok yang dikenali sebagai ‘Generasi Y’ (Yuppie Generation).
Sehubungan itu katanya, satu perundangan atau polisi yang baru perlu diperkenal untuk menangani masalah sosial berkenaan.
Menurut Ketua Menteri, usaha itu perlu diambil kira oleh pihak penggubal dasar bagi mengelakkan masalah itu daripada menjadi lebih buruk seperti yang telah berlaku di beberapa negara maju dan mula menapak di beberapa buah negara membangun.
Jelasnya, ‘Generasi-Y’ merupakan sekumpulan ahli masyarakat yang mempunyai set kepercayaan sosial serta pandangan mereka sendiri yang boleh menggugat usaha untuk mencapai status negara maju. Ini kerana mereka kurang mempedulikan perkara yang berlaku di persekitaran masyarakat mereka.
Mereka terdiri daripada golongan muda yang berpendidikan tinggi atau profesional yang mempunyai mentaliti untuk mengejar kepentingan karier sehingga melupakan tanggungan kekeluargaan.
Ketua Menteri menjelaskan tentang perkara itu ketika berucap merasmikan Persidangan Penduduk dan Pembangunan Sarawak yang bertemakan ‘Membina Generasi Masa Hadapan’ yang berlangsung selama tiga hari di Kuching bermula 26 Mac lepas.
Justeru katanya, sekarang adalah masanya untuk semua pihak bekerjsama untuk membendung perkembangan fenomena Generasi Y yang dikenalpasti mampu memusnahkan nilai dan kualiti dalam masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) YBhg. Tan Sri Hajah Zaleha Ismail dalam ucapannya sebelum itu menjelaskan bahawa LPPKN akan mempelbagaikan penyelidikan mengenai penduduk, keluarga dan isu kesihatan produktif yang akan menjadi asas maklumat untuk tujuan perancangan pembangunan.
Selain itu, faktor kependudukan dalam perancangan pembangunan akan terus dipertingkat melalui program-program promosi seperti seminar, bengkel, forum, dialog dan latihan.
Beliau juga berkata bahawa LPPKN akan memulakan satu program jangka panjang untuk mengintegrasikan faktor-faktor kependudukan dalam perancangan pembangunan berikutan pertumbuhan sosioekonomi yang pesat dan perubahan struktur umur penduduk di Malaysia.
Ini menurutnya adalah untuk memastikan hasil pembangunan akan dimanfaatkan oleh orang ramai dengan mengimbangi pembangunan penduduk dan kemajuan sosioekonomi tanpa mengorbankan keperluan generasi akan datang.
Persidangan tiga hari itu merupakan anjuran bersama LPPKN serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (KPSU) dengan tujuan untuk membentangkan hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sarawak dan membincangkan isu-isu hasil penemuan kajian sebagai input dan cadangan kepada perancangan program kependudukan dan pembangunan negara.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (MPFS-4) telah dilaksanakan pada tahun 2004 dan merupakan yang keempat diadakan sejak tahun 1974.
Pada majlis yang sama, YAB Ketua Menteri turut melancarkan buku ‘HANDYpop Sarawak’ yang membekalkan maklumat kependudukan dan demografi penduduk Sarawak.
Ia diterbitkan dalam dua versi iaitu buku kecil dan cakera padat mini yang sesuai dijadikan rujukan para penggubal, perancang, pelaksana dasar, penyelidik, ilmuan dan masyarakat umum.
Lebih banyak maklumat terkini juga akan diletakkan di laman web LPPKN dan dijangka dapat diakses pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal 2008.
Info
- ‘Generasi Y’ adalah mereka yang lahir di antara sekitar lewat tahun 1970-an dan awal 1990-an.
- Banci LPPKN menunjukkan penduduk Sarawak berjumlah kira-kira 1.2 juta (tahun 1980) meningkat kepada hampir 1.6 juta (1991) dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 2.6 peratus di antara tahun 1980 sehingga 1991.
- Pada tahun 2000, penduduk Sarawak mencapai dua juta orang dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan di antara tahun 1991 hingga 2000 sebanyak 2.3 peratus. Diramalkan bilangan penduduk akan meningkat kepada 3.1 juta orang pada tahun 2020.