- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Berkhidmat dengan Proaktif

Must read

Semua jabatan dan agensi kerajaan perlu memberikan perkhidmatan dengan lebih proaktif dan bukan hanya bertindak setelah menerima aduan daripada orang ramai.

Kerana itu konsistensi dan keterbukaan adalah antara elemen penting dalam ‘integriti’ yang perlu diamalkan oleh kakitangan awam untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berkesan.

Sehubungan itu, setiap jabatan dan agensi tidak seharusnya membiarkan sesuatu projek bermasalah berpanjangan dan menunggu sehingga aduan datang kerana ia akan memberi kesan kepada tempoh pelaksanaan sesebuah projek.

Sebaliknya mereka perlu menunjukkan nilai integriti dengan pergi melihat sendiri masalah yang berlaku dan cuba menyelesaikan masalah tersebut.

Demikian merupakan antara mesej yang cuba disampaikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Wilson Baya Dandot ketika menutup Seminar Integriti Keusahawanan anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) di Pustaka Negeri pada Mac lepas.

Menurut Datu Wilson, jangka masa pelaksanaan juga perlu ditetapkan dan segala sumber perlu digunakan supaya semua keperluan yang dikehendaki dalam sesebuah projek dapat dipenuhi.

Masing-masing juga perlu menetapkan tahap yang ingin dicapai dan konsisten dengan penyampaian perkhidmatan mereka.

Katanya, integriti dan ketelusan di kalangan kakitangan awam dalam menjalankan tugas amat perlu untuk meletakkan perkhidmatan awam pada tahap tertinggi.

Malah menurutnya, kerajaan melalui Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas kakitangan awam negeri yang tidak berintegriti atau melanggar disiplin.

Sebelum itu, Ahli Lembaga Pengarah IIM Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo dalam ucapan rumusannya berkata bahawa semua orang dilahirkan dengan integriti. Jadi terpulang kepada setiap orang bagaimana untuk mengamalkannya.

Katanya, setiap individu juga perlu memahami peranan dan tugasnya sebelum mengamalkan integriti. Jika seseorang memahami peranan dan tugasnya sudah semesti integriti tidak akan menjadi masalah bagi mereka.

Jelasnya, keadaan yang serupa juga bagi organisasi yang meraih keuntungan jutaan ringgit masih perlu menghargai setiap kakitangannya supaya dapat terus berkembang.

Sehubungan itu katanya, etika dalam perniagaan harus diamalkan untuk menghasilkan organisasi serta usahawan yang dapat terus meningkat maju.

Sementara itu, Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, dalam ucapan perasmiannya pada sebelah pagi berkata rakyat kini telah dididik melalui pelbagai pendekatan dan mahukan perkhidmatan yang ada selari dengan kemahuan mereka.

Ini kerana kesedaran rakyat mengenai integriti dan etika kerja semakin meningkat membabitkan sektor awam, swasta, parti politik, media, kesatuan kerja dan pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, rakyat kini menuntut supaya gejala yang bertentangan dengan prinsip etika dan integriti seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan ketidakecekapan dihapuskan.

Mereka mahu integriti dipertahankan dan ditingkatkan dalam semua urusan kerajaan, swasta, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan lain.

Menurutnya, usaha memantapkan integriti bermula pada peringkat akar umbi iaitu dari institusi kekeluargaan, komuniti, masyarakat sivil sehingga peringkat atas.

Sehubungan itu, tugas untuk melaksanakan matlamat Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah tanggung jawab semua rakyat yang harus diamalkan bermula pada diri sendiri.

Seminar selama sehari itu bertujuan untuk mendedahkan golongan pentadbir terutama dari sektor korporat terhadap integriti serta tanggung jawab sosial mereka ketika bergiat dalam aktiviti perniagaan.

Penganjurannya buat pertama kali oleh IIM di luar Semenanjung Malaysia telah mendapat sambutan yang baik daripada sektor korporat di Sarawak.


YB Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Wilson Baya Dandot (kanan) memberi penjelasan berkenaan kandungan buku 'Sarawak Aerial View' kepada Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh. Presiden IIM beserta rombongannya mengadakan kunjungan hormat kepada YB SUK sejurus selepas majlis penutupan Seminar Integriti Keusahawanan.


Info PIN

Pelan Integriti Nasional (PIN) ialah suatu pelan induk yang memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor seperti kerajaan, swasta, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, media, belia dan pelajar serta ahli masyarakat.

Pembentukan dan pelaksanaan pelan itu bertujuan supaya semua sektor ini dapat bekerjasama dalam usaha membina dan mempertingkatkan suatu masyarakat yang bermoral, beretika dan berintegriti tinggi.

Ia juga bertujuan menggalakkan semangat pertanggungjawaban di kalangan anggota masyarakat, dengan mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti, memerangi rasuah dan gejala tidak beretika yang lain.

Pelaksanaan PIN akan meningkat dan memantapkan lagi integriti masyarakat, daya saing dan daya tahan Malaysia di arena global supaya negara dapat menangani cabaran abad ke-21 dengan lebih berkesan, khususnya cabaran globalisasi.


Pelan Tindakan PIN Bagi Institusi Ekonomi

Objektif

  1. Pemantapan integriti sektor korporat
  2. Peningkatan komitmen sektor korporat terhadap tanggungjawab sosial
  3. Pengembangan dan pengukuhan budaya niaga yang beretika
  4. Pengukuhan perpaduan antara kaum dan wilayah melalui aktiviti ekonomi


Strategi

  1. Meningkatkan integriti sektor korporat
  2. Mengembang dan mengukuhkan budaya niaga yang beretika
  3. Meningkatkan kerjasama pelbagai sektor melalui konsep Persyarikatan Malaysia dalam amalan dan budaya berintegriti
  4. Meningkatkan kerjasama syarikat dan kesatuan sekerja
  5. Mewujud dan meneruskan program keadilan sosial antara kumpulan etnik dan antara wilayah


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article