- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Laksana Tugas Yang Diamanahkan Sebaik Mungkin

Must read

Datu Wilson mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Daerah yang pertama semenjak memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri. Mesyuarat berlangsung di Pejabat Daerah Kecil Tebedu



Semua Pegawai Daerah diingatkan supaya melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan di kawasan masing-masing.

Selain kewujudan dan keadaan fizikal bangunan pejabat kerajaan, tingkah laku, sikap dan nilai yang ditunjukkan oleh kakitangan bukan sahaja memberi interpretasi masyarakat kepada imej pejabat masing-masing, malah akan turut memberi kesan terhadap imej kerajaan keseluruhannya.

Sehubungan itu, sumbangan serta komitmen jentera kerajaan di peringkat daerah ke arah pembangunan, kesejahteraan, keharmonian dan kedamaian masyarakat di daerah masing-masing harus ditingkatkan untuk meningkatkan imej kerajaan.

Demikian mesej yang disampaikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datu Wilson Baya Dandot dalam taklimatnya yang bertajuk Engaging the Front liners as the ‘Face’ of Government.

Beliau menyampaikan taklimat itu ketika sesi bersama Pegawai-pegawai Daerah dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Daerah (Bil.1/2007) bertempat di Pejabat Daerah Kecil Tebedu pada 20 April lalu.

Selain itu, Datu Wilson juga melontarkan beberapa cabaran yang harus ditangani para Pegawai Daerah dalam usaha menilai semula peranan mereka ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan selaras dengan visi dan misi pejabat masing-masing.

Antaranya, setakat mana pengetahuan mereka tentang sebarang perkembangan yang berlaku di peringkat daerah pentadbiran masing-masing.

Ia bukan sahaja tentang pembangunan tanah, pelaksanaan projek, jalan dan kemudahan infrastruktur lain, tetapi juga mencakupi masalah sosial, jenayah dan sebagainya.

Mereka juga perlu lebih mengetahui sebarang polisi, pelan, program dan projek kerajaan pusat serta kerajaan negeri, sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan di daerah masing-masing.

Katanya, Pegawai Daerah juga boleh memainkan peranan dalam usaha mempromosikan kempen masyarakat berpengetahuan (k-society) di daerah masing-masing. Selain itu, mereka harus mengutamakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam organisasi untuk meningkatkan kualiti dan mutu kerja.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan beberapa program atau usaha yang boleh dilaksanakan oleh para Pegawai Daerah iaitu meningkatkan inisiatif kualiti, melaksanakan segala yang telah dirancangkan, meningkatkan imej dan beretika, menggalakkan kerjasama sektor awam-swasta serta sentiasa turun padang untuk berjumpa dengan ahli masyarakat.

Selepas mesyuarat, rombongan SUK meluangkan masa untuk melihat persekitaran Kompleks Imigresen Tebedu.

Rombongan kemudian mengadakan lawatan kerja ke Gedong bagi mendengar taklimat daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berkenaan status pelaksanaan RGC Gedong yang membabitkan populasi kira-kira 4,241 orang penduduk.

Turut menyampaikan taklimat ialah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkenaan status Gerai SEDC yang sejumlah 15 pintu gerai di kawasan RGC Gedong.


Info

  • 31 buah daerah dan 28 daerah kecil di Sarawak
  • 10 RGC dalam pelaksanaan di Sarawak
  • 16 RGC masih dalam kajian untuk pelaksanaan
  • Objektif RGC ialah membangunkan kawasan luar bandar supaya menjadi penempatan desa yang lebih terancang, bersepadu dan sistematik dengan mewujudkan fungsi-fungsi dan asas-asas ekonomi bandar bagi menggerakkan pembangunan sosio ekonomi kawasan sekelilingnya supaya berdaya maju ke arah mentranformasikan kawasan luar bandar selaras dengan matlamat Wawasan 2020

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article