- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Perpustakaan Sedia Sokongan Pembelajaran

Must read

Sepanjang Hayat

Usaha mewujudkan
masyarakat berpengetahuan adalah selaras dengan tumpuan negara untuk
membangunkan modal insan yang holistik, lengkap dengan pengetahuan dan
kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang utuh.

Terdapat banyak
cara untuk mencapai hasrat itu dan salah satu daripadanya ialah melalui
amalan membaca secara berterusan sejajar dengan proses pembelajaran
sepanjang hayat.

Sehubungan itu,
prestasi perpustakaan awam di seluruh negeri akan terus dipertingkat
dan para penyedia perkhidmatan di situ perlu sentiasa melihat kemahuan
kerajaan serta responsif dengan keperluan persekitaran masyarakat
sekeliling.

YBhg. Datuk Haji
Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak
ketika merasmikan Seminar Perpustakaan Awam Sarawak 2007 berkata bahawa
pembelajaran sepanjang hayat harus dijadikan sebagai sebahagian
daripada matlamat hidup kita.

Kiri: Gimik pelancaran… Datuk Morshidi melihat kandungan fail seminar. Kelihatan di sebelah kanan ialah Pn. Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif PUSTAKA

Kanan: Pn. Evelyn Yong, Ketua Bahagian Perpustakaan Majlis Daerah Limbang menerima sijil penghargaan dan terima kasih daripada Datuk Morshidi di atas sokongan mereka selama ini

Beliau berkata demikian kepada kira-kira 56 orang ketua perpustakaan serta pegawai perpustakaan awam dari seluruh negeri Sarawak pada seminar anjuran Pustaka Negeri Sarawak di Kuching bermula 17 April lalu.

Justeru beliau menyarankan agar para peserta seminar memahami, menghayati dan melaksanakan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi membolehkan mereka berdaya saing dan disegani sebagai masyarakat yang menjunjung dan mengutamakan ilmu pengetahuan.

Melalui pengalaman daripada seminar itu, para peserta harus berupaya untuk memainkan peranan apabila kembali bertugas ke perpustakaan masing-masing bagi membentuk masyarakat yang berteraskan ilmu dan pengetahuan.

Menurutnya, hanya dengan amalan membaca berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat akan membolehkan mereka mengikut arus perdana perkembangan masyarakat sejagat serta menguasai pelbagai macam bidang ilmu yang kebanyakannya tidak dipelajari semasa masih bersekolah.

Dalam pada itu, kerajaan juga amat menggalakkan penjawat awam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing melalui peruntukan yang besar untuk tujuan pembelajaran dan pendidikan sepanjang hayat.

Seminar selama empat hari itu bertemakan ‘Libraries Support Lifelong Learning’. Para peserta diberi pendedahan secara menyeluruh mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh perpustakaan-perpustakaan dan perkhidmatan-perkhidmatannya ke arah membentuk masyarakat yang berteraskan ilmu dan pengetahuan dengan menggunakan pelbagai kemudahan dan kaedah literasi maklumat yang terdapat di perpustakaan.

Sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan serta tiga sesi bengkel diadakan.

Di antara penceramah jemputan yang memberi ceramah adalah Puan Rashidah Hj Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak; Dr. Zahidi b. Dato Hj. Zainol Rashid, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah; Puan Siti Zakiah Aman, Ketua Pengarah, Perpustakaan Negara Malaysia; dan Puan Joanna Kitingan, Penolong Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah.


Info

  • Pada tahun 2006, terdapat seramai 667 staf perpustakaan di seluruh Sarawak
  • Koleksi keseluruhan berjumlah 3,928,818 bahan dan sebanyak 2,675,632 transaksi pinjaman pada tahun 2006
  • Seramai 406,640 orang keahlian perpustakaan dan seramai 3,265,044 pelawat berkunjung ke perpustakaan di seluruh Sarawak
  • Sehingga April 2007, sejumlah 249 buah perpustakaan awam telah dibina di Sarawak. Sebanyak 11 buah daripada jumlah tersebut adalah di bawah projek Perpustakaan Desa Siber Ilmu (PDSI) dan 198 buah adalah di bawah projek Universal Service Provision (USP). Sebanyak 23 buah perpustakaan dibiayai penuh oleh Perpustakaan Negara Malaysia
  • Sembilan buah perpustakaan bergerak beroperasi di Sarawak, dua unit daripadanya adalah e-pustaka (perpustakaan bergerak multimedia) yang beroperasi di Lawas dan Kuching
  • Pada tahun 2007 di bawah RMK-9, tambahan sebuah unit e-pustaka akan beroperasi di Bahagian Sarikei

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article