- Advertisement -spot_img
4,827
published news
and counting

SALCRA Bawa Peserta Kepada Kemajuan

Must read

Kehidupan para peserta projek Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) kini semakin meningkat. Begitu juga dengan perubahan dari segi cara berfikir kerana mereka berupaya berdikari dalam menguruskan kerja sendiri.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud melahirkan perasaan gembiranya kerana projek-projek SALCRA telah meningkatkan pendapatan, menjadikan corak kehidupan yang lebih maju dan mengubah cara berfikir para peserta dalam menguruskan kerja seharian.

Menurutnya, kemajuan dari segi berfikir itu merupakan kekuatan yang paling bermakna kerana ia datang dari dalam diri peserta SALCRA itu sendiri.

Ketua Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun ke-30 SALCRA di Stadium Perpaduan Negeri di Kuching pada Mei lalu.

Kilang memproses sawit milik SALCRA. SALCRA telah mencapai pelbagai
bentuk kemajuan sejak ditubuhkan pada tahun 1976

Jelasnya, sikap sedemikian merupakan ciri-ciri rakyat yang dikehendaki kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara. Ini kerana peserta SALCRA telah menunjukkan bahawa mereka tidak berterusan mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti pada masa lampau.

Bagaimanapun, Ketua Menteri tidak mahu peserta SALCRA cepat berpuas hati dengan pencapaian sekarang sebaliknya terus berusaha memajukan diri dan projek yang dijalankan bersama SALCRA.

Ini kerana industri sawit mempunyai potensi besar untuk terus berkembang pesat kerana pelbagai produk hiliran boleh dihasilkannya termasuk bio-diesel.

Penyertaan masyarakat di kawasan luar bandar dalam SALCRA juga telah meningkatkan kualiti hidup mereka yang dahulunya mundur dan kekurangan kemudahan asas.

Malah pendapatan yang bertambah baik turut memberi peluang kepada mereka untuk menyimpan lebihan wang belanja.

Katanya, kejayaan yang dinikmati oleh peserta SALCRA itu harus dijadikan teladan kepada penduduk luar bandar lain yang belum menyertai ladang kelapa sawit SALCRA.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, kejayaan peserta SALCRA hari ini telah membuktikan bahawa perancangan kerajaan pada masa lalu amat tepat.

SALCRA bukan sahaja mengubah ekonomi pesertanya, tetapi juga pembangunan kawasan luar bandar yang meningkat dengan ketara.

Turut tidak diabaikan ialah pembangunan modal insan anak-anak di kawasan luar bandar. Jelasnya, keupayaan ekonomi peserta telah membolehkan ramai anak-anak peserta dari kawasan luar bandar berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Selain melalui transformasi sosial untuk mengubah pemikiran masyarakat di kawasan luar bandar, SALCRA juga sentiasa berusaha membantu mereka yang kurang bernasib baik serta menyumbang bagi pembangunan pendidikan.

Menurutnya, SALCRA telah menyumbang RM1 juta kepada Tabung Pelajaran Tinggi Negeri Sarawak dan RM1 juta lagi bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan kelapa sawit.

Para peserta dan pegawai SALCRA juga diperuntukkan RM500,000 untuk membantu anak-anak mereka dalam bidang pelajaran.

Sungguhpun demikian, beliau tidak mahu kakitangan pengurusan SALCRA cepat berpuas hati dengan pencapaian masa lalu. Sebaliknya harus terus bekerja keras untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi demi masyarakat di luar bandar.

Majlis kesyukuran itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancangkan sepanjang sambutan ulang tahun ke-30 SALCRA bermula penghujung tahun lalu.

Ia dihadiri oleh para pegawai SALCRA dan para peserta SALCRA dari seluruh negeri Sarawak.

Kiri: Inovasi baru meningkatkan produktiviti di ladang
Kanan: Penternakan lembu di ladang memberi pendapatan sampingan kepada peserta

Info

  • SALCRA ditubuhkan pada 1 Mei 1976 sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk membangunkan tanah hak adat Bumiputera. Projeknya mula membuahkan hasil pada tahun 1985
  • SALCRA diperuntukkan geran berjumlah RM21 juta oleh kerajaan pusat dalam RMK9
  • Projeknya menyediakan peluang penyertaan kepada 16,378 orang pemilik tanah di 461 kampung dan rumah panjang di Bahagian Betong, Sri Aman, Kuching dan Samarahan
  • SALCRA membangunkan 49,164 hektar tanah untuk kelapa sawit dan teh (18 estet kelapa sawit dan 1 teh). Sejumlah 41,705 hektar yang ditanam kelapa sawit telah mengeluarkan hasil kira-kira 476,000 tan metrik pada tahun 2006. Sasarannya untuk meluaskan ladang mencapai 150,000 hektar pada 2017
  • Program terkini SALCRA melibatkan penternakan kira-kira 5,000 ekor lembu di estet-estet terpilihnya
  • Sejumlah kira-kira RM202 juta dividen terkumpul telah diagihkan kepada peserta SALCRA sehingga tahun 2006
  • Setelah berjaya meningkatkan corak hidup peserta, SALCRA kini mengalihkan tumpuan untuk meningkatkan produktivitinya. Usaha itu telah dimulakan sejak 2003
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article