Kiri: KSN (kiri) melihat koleksi bahan Sarawakiana PUSTAKA dengan diiringi oleh Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo (kanan)
Kanan: Pn. Rashidah memberi penerangan tentang proses pendigitalan keratan akhbar dan buku-buku lama
Foto: PUSTAKA Sarawak
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengadakan lawatan kerja ke PUSTAKA Sarawak di Petra Jaya Kuching pada Jun lepas untuk meninjau perkembangan terkini di organisasi itu.
Beliau diiringi oleh Datuk Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran, Keselamatan dan Hal Ehwal Korporat).
Rombongan berkenaan telah disambut oleh Pengerusi PUSTAKA Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo serta Pegawai Eksekutif PUSTAKA Sarawak, Pn Rashidah Hj Bolhassan.
Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan berbanyak penghargaan kerana kesudian Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta rombongan melawat PUSTAKA Sarawak.
Ia menurutnya telah menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan organisasi seperti PUSTAKA dalam melahirkan masyarakat berilmu di negeri ini khasnya dan negara amnya.
Sementara itu, maklumat tentang perkembangan terkini, program serta halatuju PUSTAKA telah disampaikan oleh Pn Rashidah.
Lawatan KSN ke PUSTAKA Sarawak itu adalah lanjutan daripada kehadirannya di Kuching Sarawak bersempena ‘Persidangan Kebangsaan ke Arah Sistem Penyampaian yang Cemerlang’ yang diadakan di ibu negeri ini.
Pada persidangan itu, beliau telah menyampaikan ucaptama kepada para peserta persidangan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan dan badan-badan berkanun dari seluruh negara.
Info
- Seramai 667 staf perpustakaan di seluruh Sarawak pada tahun 2006
- Mempunyai sejumlah 3,928,818 bahan koleksi dan sebanyak 2,675,632 transaksi pinjaman pada tahun 2006
- Seramai 406,640 orang keahlian perpustakaan dan seramai 3,265,044 pelawat berkunjung ke perpustakaan di seluruh Sarawak
- Sehingga April 2007, sejumlah 249 buah perpustakaan awam telah dibina di Sarawak. Sebanyak 11 buah daripada jumlah tersebut adalah di bawah projek Perpustakaan Desa Siber Ilmu (PDSI) dan 198 buah adalah di bawah projek Universal Service Provision (USP). Sebanyak 23 buah perpustakaan dibiayai penuh oleh Perpustakaan Negara Malaysia
- Sembilan buah perpustakaan bergerak beroperasi di Sarawak, dua unit daripadanya adalah e-pustaka (perpustakaan bergerak multimedia) yang beroperasi di Lawas dan Kuching
- Di bawah RMK-9, sebuah unit e-pustaka akan beroperasi di Bahagian Sarikei