Tangani Masalah Pengguna
Datuk Mohd Shafie Apdal menerangkan kepada media
tentang pencapaian perundingan yang diadakan
Majlis Perundingan Tahunan Dengan Sektor Swasta di Sarawak yang saban tahun diadakan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan sektor swasta di negeri ini merupakan tempat terbaik untuk kerajaan dan swasta mencari jalan penyelesaian bagi menangani pelbagai isu yang timbul berkaitan kepenggunaan di negara ini.
Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, setelah mendengar masalah-masalah yang berlaku, pihaknya boleh tampil untuk membuat beberapa pertimbangan demi kebaikan semua pihak dari kalangan peniaga dan juga pengguna.
Kiri: Kos pengangkutan seperti bot dikatakan antara punca perbezaan harga barang di kawasan luar bandar dan bandar
Kanan: KPDNHEP sentiasa memantau harga barang keperluan harian
Antaranya ialah pertimbangan untuk memberi subsidi diesel kepada lori pengangkut barang keperluan ke kawasan luar bandar.
Katanya, langkah itu adalah salah satu usaha untuk mengurangkan harga barang di luar bandar berikutan caj pengangkutan yang ketika ini dikenakan oleh pemborong yang kemudiannya menjejaskan pengguna ahkir.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan sempena pelancaran buku Laporan Perdagangan dan Pengguna (CnCR) 2006 selepas beliau mempengerusikan majlis perundingan berkenaan di Kuching pada Julai lepas. Timbalannya, Datuk S Veerasingam turut hadir.
Sebelum sesi majlis perundingan itu, KPDNHEP turut menyampaikan taklimat bertajuk ‘Keberkesanan penggunaan Nanotag untuk membanteras penyalahgunaan diesel subsisi’, ‘Ops Gaji bagi menangani kenaikan harga barang’. ‘Kempen penurunan harga di hypermarket’ dan ‘Peranan pengguna dalam menangani kenaikan harga’.
Taklimat disampaikan kepada kepada wakil-wakil persatuan dan pertubuhan pengguna dan pihak swasta yang menyertai majlis perundingan berkenaan.
Beliau juga menjelaskan, bot-bot yang digunakan untuk mengangkut barang ke luar bandar telah dimasukkan ke dalam senarai layak menerima subsidi diesel.
Melalui usaha itu pihaknya berharap jurang harga barang keperluan pengguna dapat dirapatkan antara kawasan bandar dan luar bandar terutama di negeri seperti Sarawak.
Beliau turut menjelaskan bahawa melalui majlis perundingan pada kali ini KPDNHEP telah menerima lima memorandum.
Persatuan yang menghantar memorandum ialah The Sarawak Bus Transport Companies Association, Dewan Usahawan Industri, Sarawak Chamber of Commerce & Industry, East Malaysia Lorry Associations (Federation of Sabah Lorry Transportation Association, Sabah Hire lorry Association) dan Sarawak Manufacturer’s Association.
Info
- 181,671 pemeriksaan dan 137 aduan telah diterima oleh KPDNHEP antara 21 Mei sehingga 4 Julai tahun ini (2007) iaitu semenjak pengumuman peningkatan gaji sektor awam
- Dari jumlah itu, 10,992 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh Sarawak melibatkan kedai runcit, premis makanan, restoran, pasar raya (mini dan besar) serta pasar (basah dan kering) untuk memastikan mereka menjual barang pada harga yang sepatutnya
- Kira-kira 150 aduan pengguna diterima di seluruh negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2007 meningkat dari 110 aduan bagi tempoh yang sama tahun lalu
- Barang-barang kawalan yang ditetapkan harganya oleh kerajaan pada tahun 2007
- Petrol
- Diesel
- Gas petroleum cecair
- Besi keluli
- Simen
- Tepung gandum (tidak berbungkus)
- Gula putih bertapis (gula kasar dan halus)
- Susu pekat manis (penuh krim dan isian)
- Roti (standard loaf, 200g – 1000g)
- Ayam daging (ayam standard dan ayam super)
- Minyak masak (sawit tulen, sawit campuran, kampit plastik)
- KPDNHEP telah meningkatkan sistem penyampaiannya melalui proses
- Pendaftaran perniagaan baru hanya satu jam (3 hari sebelum ini)
- Pengkorporatan perniagaan baru hanya satu hari (dari 5 hari)
- Pembaharuan lesen perniagaan hanya 15 minit (dari satu hari)
- Kelulusan nama syarikat dalam satu hari (dari 5 hari)