Kiri: Unit OSH yang bertanggungjawab melaksanakan keperluan-keperluan Kesihatan dan Pekerjaan di Jabatan Kimia Kuching. Duduk di tengah ialah Lim Kong Boon, Pengarah Kimia Kuching. Di kanan beliau ialah Pn Choo Hei Mei, Wakil Pengurusan dan di kanan ialah Nazarudin Ibrahim,Pengurus OSH
Kanan: En Lim menunjukkan piala anugerah yang dimenangi baru-baru ini
Kanan: Demonstrasi dan latihan memadam kebakaran sentiasa diadakan
Prosidur keselamatan kerja menjadi keutamaan sepanjang masa
Mengendalikan kes puluhan ribu banyaknya saban tahun dengan bilangan kakitangan yang terhad mungkin kelihatan tidak masuk akal.
Namun bagi Jabatan Kimia Malaysia, Cawangan Kuching (JKM Kuching), mengendalikan kes yang banyak serta melibatkan jangka masa yang ketat bukan lagi penghalang bagi mereka untuk melaksanakan kerja dengan hasil yang berkualiti.
Jabatan itu yang mempunyai seramai kira-kira 80 orang kakitangan telah mengendalikan lebih daripada 47 ribu kes selama dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Sungguhpun demikian, jabatan itu masih mampu mencatatkan penyelesaian pada tahap 99.89 peratus berdasarkan pencapaian Piagam Pelanggan yang turut mengambil kira peratusan laporan dikeluarkan dalam tempoh yang dijanjikan.
Pencapaian cemerlang itu turut mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan apabila diisytiharkan sebagai Pemenang Pertama (Anugerah Emas) untuk Anugerah Cemerlang Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan bagi kategori Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2006.
Anugerah itu telah disampaikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada satu majlis yang dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia yang juga merupakan acara tahunan kementerian itu di Kuala Lumpur pada Februari 2007 yang lalu.
Anugerah ini bertujuan untuk memberi pengkitirafan kepada pelbagai organisasi yang memenuhi kriteria pemilihan dan telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam organisasi masing-masing.
Bagi kakitangan JKM Kuching, pengkitirafan itu telah membakar semangat mereka untuk lebih komited melaksanakan semua polisi dan objektif keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan oleh jabatan dengan tidak mengabaikan penghasilan output yang tinggi dan berkualiti pada sepanjang masa.
Perkembangan JKM Kuching
Pada mulanya Jabatan Kimia Malaysia, Kuching (JKM Kuching) adalah sebuah Makmal Air di bawah Jabatan Kerja Raya Sarawak di Batu Kitang.
Pejabat itu kemudian berpindah ke bangunan dua tingkat di Jalan Sekama pada tahun 1963 dan dikenali sebagai Makmal Cerakinan Kerajaan Sarawak (Sarawak Government Analytical Laboratory) pada ketika itu.
Bermula tahun itu, makmal berkenaan telah memberi perkhidmatan kepada agensi-agensi kerajaan di seluruh Sarawak sehingga terbina sebuah lagi makmal baru di Bintulu pada tahun 1986.
Semenjak mula beroperasi, makmal di Kuching telah banyak membantu pihak pembekal air minum awam dalam penentuan kualiti air yang dibekalkan dan juga menasihati mereka mengenai kesesuaian punca air sebelum pembinaan loji pengolah (memproses) air minum yang baru.
Walau bagaimanapun, peranan, fungsi dan aktiviti makmal itu telah diperluas seiring dengan keperluan semasa untuk menyelaraskannya dengan kehendak perundangan serta permintaan pelanggan jabatan.
Sehubungan itu, pembinaan bangunan makmal baru JKM Kuching di bawah Projek Kemajuan Kesihatan Malaysia Bank Dunia pada tahun 1997 adalah tepat pada masanya untuk menjamin perkhidmatan yang berkualiti sentiasa menjadi keutamaan.
Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1999, JKM Kuching mula beroperasi di bangunan sendiri di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya Kuching.
Pentadbiran dan Pengurusan
Ketika ini, Pengarah Kimia Sarawak, Encik Lim Kong Boon dibantu oleh 80 orang pegawai dan kakitangan.
Pada tahun lalu (2006), JKM Kuching mempunyai 42 kakitangan teknikal yang terdiri daripada Pegawai Sains (22 orang), Penolong Pegawai Sains (7 orang) dan Pembantu Makmal (13 orang). Sementara 19 orang lagi merupakan kakitangan Pentadbiran iaitu Kumpulan Sokongan 1 (10 orang) dan Kumpulan Sokongan 2 (9 orang).
Jabatan itu terdiri daripada empat bahagian iaitu Forensik, Pemusatan Air, Sains Gunaan Kesihatan Alam Sekitar dan Pentadbiran. Tiga bahagian yang pertama menyediakan perkhidmatan teras dan bahagian Pentadbiran menyediakan khidmat sokongan yang diperlukan.
Berbanding peranan ketika mula beroperasi, fungsi dan peranan jabatan itu semakin meluas. Kini ia turut menyediakan perkhidmatan analisis, penyiasatan dan perundingan dalam bidang saintifik bagi menyokong penguatkuasaan undang-undang serta program-program berhubung dengan pentadbiran keadilan jenayah, kesihatan awam, alam sekitar dan perdagangan.
Walaupun bidang tugas semakin besar dan banyak, JKM Kuching tetap memastikan tanggungjawab utamanya bagi menyampaikan perkhidmatan dengan cepat serta seberapa segera kepada pelanggannya. Dalam usaha itu, isu berkenaan kualiti tetap tidak diabaikan.
Sehubungan itu, keperluan serta ekspektasi pelanggan yang sentiasa meningkat cuba dipenuhi menerusi usaha inovasi dan menaik taraf keupayaan teknikal jabatan supaya selari dengan teknologi masa kini.
Program-program yang menjurus kepada kualiti juga telah diperkenal mengikut garis panduan yang ditetapkan dan diserapkan ke dalam pengurusan makmal agar budaya kerja yang mementingkan perkhidmatan saintifik yang cekap, efisien dan berkualiti tinggi dapat dicapai.
JKM Kuching telah dianugerahkan akreditasi ISO/IEC G-25 di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia pada 1997 dan pada 1998 diiktiraf sebagai makmal dengan pengurusan kualiti MS ISO 9000.
Kedua-dua sistem kualiti itu berjaya dinaiktaraf kepada ISO 17025 dan ISO 9001: 2000 masing-masing pada tahun 2001 dan 2003.
Sejak tahun 1998, jabatan itu juga bergiat cergas dalam program yang melibatkan Occupational Health and Safety Management System. Antaranya, Registry of Chemical Hazardous to Health (CHH) and Materials Safety Data Sheets (MSDS) pada tahun 1998, Upgrading Fume Cupboards and Chemical Storage, Chemical Health Risk Assessment (CHRA) and Review on Methods of Analysis & Control Use of CHH pada tahun 1999, Safety and Health Auditing pada tahun 2000 dan Occupational Health And Safety Assessment Series (OHSAS 18001) Certification pada tahun 2001 yang membawa kepada pengiktirafan persijilan OHSAS 18001. Jabatan Kimia Malaysia juga telah mencipta sejarah sebagai makmal dan agensi kerajaan pertama yang mendapat persijilan OHSAS 18001.
Di bawah sistem OHSAS 18001, JKM di seluruh negara termasuk JKM Kuching telah menetapkan 3 objektif OH & S seperti yang berikut iaitu:
- Mencapai sasaran “Kemalangan Sifar”
- Mengurangkan risiko dan pendedahan semasa menggunakan, membawa dan menyimpan bahan kimia berbahaya
- Mematuhi peraturan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan keperluan lain yang berkaitan
Bersama Pengarah JKM Kuching
Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Cawangan Kuching (JKM Kuching), Encik Lim Kong Boon ketika ditemuramah oleh RAKAN Sarawak tempoh hari tentang pencapaian Jabatan Kimia, Malaysia, Sarawak menyatakan Anugerah Cemerlang Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan merupakan acara tahunan dan apa yang lebih penting bagi Kimia Kuching ialah mengekalkan pelaksanaan Sistem OHSAS 18001 agar kesemua objektif-objektif yang telah digariskan akan dapat dicapai.
Menurut Encik Lim lagi, “ banyak manfaat yang telah diperolehi melalui pelaksanaan sistem OSH ini, di antaranya ialah semenjak tahun 2004 hingga kini, hanya satu kejadian berbahaya yang berlaku di JKM Kuching iaitu pada tahun 2004. Itu pun berlaku kerana kelemahan kontraktor yang memasang kipas dinding (kes di mana kipas dinding tertanggal dan hampir menimpa kakitangan). Ini bermakna sudah dua tahun iaitu 2005 dan 2006, JKM Kuching berjaya mencapai kemalangan sifar.”
“Kos yang banyak telah dapat dijimatkan oleh kerajaan kerana tiada cuti sakit dikeluarkan berkaitan dengan kemalangan di tempat kerja, tiada rawatan diberikan berkaitan dengan kemalangan di tempat kerja dan tiada pampasan gantirugi, persaraan awal atas nasihat panel perubatan atau tuntutan saman yang perlu ditanggung oleh kerajaan berkaitan dengan kemalangan di tempat kerja”
“Keuntungan yang tidak langsung ialah kakitangan dapat bekerja dalam keadaan selamat dan juga berasa selamat semasa menjalankan tugas di premis Kimia Kuching. Ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan produktiviti,” tambah Encik Lim lagi.
Tentang pembahagian masa dan penglibatan tenaga kakitangan jabatan dalam mencapai objektif pelaksanaan Sistem OHSAS 18001, Encik Lim menyatakan bahawa secara umumnya, pelaksanaan OSH ini adalah aspirasi setiap kakitangan JKM Kuching. Maknanya, semua kakitangan terlibat dalam menjayakan aktiviti OSH di JKM Kuching.
“Walau bagaimana pun, terdapat satu unit OSH yang ditubuhkan sebagai mekanisma yang menjalankan sistem OSH ini. Struktur unit ini boleh dilihat di mana-mana sudut OSH di JKM Kuching. Melalui unit OSH ini, setiap ahli dalamnya mempunyai spesifikasi kerja yang telah ditentukan dan dilaksanakan. Mereka inilah yang merupakan tulang belakang dalam pelaksanaan OSH di JKM Kuching. Malahan pihak pengurusan juga memberikan mereka galakkan untuk melaksanakan sistem OSH ini,” jelas beliau lebih lanjut.