- Advertisement -spot_img
4,827
published news
and counting

Panel Pemantau dan Kerangka Pembangunan Kualiti…

Must read

Dicadang Untuk Mantapkan Inisiatif Kualiti Agensi Kerajaan



Antara inisiatif kualiti, usaha ke arah pensijilan 5S (kiri) dan
persembahan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (kanan)


Panel pemantau kualiti dicadangkan di pelbagai peringkat seperti negeri, ibu pejabat dan bahagian dengan fungsi untuk menilai inisiatif kualiti dengan lebih berkesan.

Selalunya agensi kerajaan mudah memulakan sesuatu inisiatif kualiti tetapi berdepan dengan masalah untuk terus mengekalkannya dalam tempoh masa yang panjang.

Begitu juga banyak agensi yang bersemangat dan ghairah melaksanakan usaha-usaha kualiti dan produktiviti tetapi pelaksanaan inisiatif itu tidak dipantau dan dinilai untuk melihat keberkesanan dan kejayaannya.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Dato Sri Awang Tengah Ali Hassan menjelaskan demikian ketika berucap mewakili YAB Ketua Menteri pada perasmian Bengkel Pelaksanaan MS ISO9001:2000 peringkat negeri yang dihadiri para peserta dari Pejabat Residen dan Daerah, Jabatan Tanah dan Survei serta pihak berkuasa tempatan di Kuching pada Jun lepas.

Menurutnya, kualiti dapat dilihat dalam konteks yang menyeluruh, justeru perlu diwujudkan kerangka pembangunan kualiti yang sistematik.

Kerangka pembangunan kualiti itu pula harus mempunyai struktur pengurusan yang jelas peranan dan fungsinya di semua peringkat pentadbiran.

Beliau juga menjelaskan keperluan untuk mengadakan inisiatif kualiti dalaman di setiap peringkat proses kerja supaya agensi kerajaan dapat mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Menurutnya, jika kualiti dijadikan budaya kerja, sudah pasti negeri ini mampu mencapai tahap pengurusan dan pentadbiran bertaraf dunia serta dipandang tinggi oleh para pelabur.

Bagi menjadikannya sebagai budaya dalam agensi kerajaan, beliau menggalakkan ketua jabatan supaya melibatkan kakitangan masing-masing agar menyumbang dan berkongsi maklumat untuk peningkatan kualiti.

Jelasnya, latihan berkesan dan sistematik perlu diberikan kepada penjawat-penjawat awam yang terlibat manakala ketua-ketua jabatan perlu memberi sokongan dan komitmen jitu dalam melaksanakan usaha inisiatif kualiti demi memantapkan penyampaian perkhidmatan agensi-agensi dalam perkhidmatan awam negeri ini.

Selain itu, beliau juga menggesa supaya kakitangan Pejabat Residen dan Daerah, Jabatan Tanah dan Survei serta pihak berkuasa tempatan sentiasa berusaha memenuhi keperluan masyarakat.

Pejabat berkenaan yang dianggapnya berada di barisan hadapan kerana sering berurusan dengan masyarakat perlu memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam terus efektif dan efisyen.

Sebagai agensi yang berada paling dekat dengan masyarakat, mereka memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dan kemajuan serta menangani sebarang masalah yang berlaku.

Mengimbas kembali pengalamannya sebagai pegawai tadbir di pejabat daerah, beliau berkata bahawa tugas sebagai Residen dan Pegawai Daerah begitu luas terutamanya di kawasan luar bandar.

Di situ, mereka bukan sahaja menjadi pentadbir tetapi juga sebagai juri, pegawai imigresen, pegawai kebajikan serta bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan pengangkutan.

Ini kerana masyarakat di sana pada kebiasaannya akan terus ke Pejabat Daerah apabila mereka berdepan dengan masalah.

Sehubungan itu, adalah penting bagi penjawat awam terutama di barisan hadapan mengambil inisiatif untuk memahami prosedur kompleks bidang tugas mereka untuk dipermudah supaya masyarakat lebih memahaminya.

Penjawat awam, katanya, perlu mempunyai komitmen, integriti, akauntabiliti, toleransi, proaktif dan amanah serta memahami keperluan dan aspirasi masyarakat.

Bengkel tiga hari itu anjuran bersama oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Ketua Menteri.

Hadir sama pada masjlis perasmian itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Abdul Ghaffur Shariff, Timbalan Pengarah MAMPU, En Mahat Bahari dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Haji Ngah Senik.


Info

  • 24 buah agensi kerajaan negeri di Sarawak telah mendapat pengiktirafan MS ISO9001: 2000
  • 99 agensi lain masih pada pelbagai peringkat dokumentasi dan audit
  • Antara inisiatif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam
  1. Sistem Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM)
  2. Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
  3. Piagam Pelanggan
  4. Penandaarasan
  5. Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK)
  6. Manual Prosedur Kerja
  7. Fail Meja
  8. Balance Scorecard
  9. Aplikasi Kerajaan Elektronik
  10. Pensijilan 5S (susun, sapu, sisih, seragam, sentiasa amal)
  11. Pelbagai jenis anugerah (Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak – AKPANS, Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Awam – AKPM)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article