Riiinnngggg!!! Kedengaran bunyi penggera api bertalu-talu memecahkan suasana kesibukan kakitangan yang sedang menjalankan tugas masing-masing.
Sejurus kemudian terdengar teriakan, “Api!, Api!”, dari arah lobi. Beberapa kakitangan yang dari tadi sedang membincangkan sesuatu di kaunter bergegas bangun meninggalkan tempat mereka.
Begitu juga dengan kira-kira 60 orang kakitangan yang bertugas di Pejabat Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Kuching.
Pada saat genting sebegitu, harta benda di dalam pejabat tidak menjadi keutamaan. Sebaliknya, keselamatan dan nyawa adalah lebih penting.
Letupan bahan kimia juga boleh berlaku pada bila-bila masa dalam bangunan yang menyimpan pelbagai jenis bahan kimia.
Jika berlaku, jarak selamat adalah sekurang-kurangnya 100 meter dari bangunan yang sedang terbakar. Kebakaran bangunan biasa yang tidak ada kemungkinan sebarang kejadian letupan pula mengkehendaki jarak selamat sekurang-kurangnya 30 meter.
Mereka yang berjaya menyelamatkan diri berkumpul mengikut barisan di tempat meletak kenderaan di hadapan bangunan pejabat. Masing-masing tertanya-tanya tentang kejadian yang sedang berlaku.
Beberapa pegawai pula sibuk memanggil nama satu persatu.
“Dua orang tidak melapor diri!”. Satu suara kedengaran.
Nampaknya masih ada orang berada dalam bangunan yang sedang marak terbakar.
Beberapa orang kakitangan dari pasukan penyelamat jabatan kemudiannya memberanikan diri meluru masuk ke dalam bangunan setelah mengenalpasti nama dua pegawai berkenaan.
Menurut seorang kakitangan, mereka adalah dari pasukan penyelamat dalaman jabatan (in-house rescue team). Tidak lama selepas itu, mereka berjaya membawa mangsa yang kelihatan tidak bermaya. Mungkin terlalu banyak menyedut asap kebakaran.
Kira-kira 10 minit dari masa penggera berbunyi, jentera bomba dan penyelamat tiba (masa yang direkodkan dalam kamera). Dengan kekuatan tujuh anggota penyelamat, mereka berjaya mengawal kebakaran dalam masa kira-kira lima minit.
Semua itu hanya latihan kebakaran yang diadakan oleh JKM Kuching bersempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2007 JKM Kuching.
Sambutan minggu berkenaan turut diadakan di semua pejabat JKM seluruh negara pada 16 hingga 20 Julai lalu.
En Herudin Ealhi, Penyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat Petra Jaya berasa gembira dengan kadar tindak balas kakitangan JKM Kuching dengan latihan kebakaran yang telah diadakan.
Namun, katanya masih banyak ruang yang perlu diperbaik sungguhpun latihan yang serupa sering diadakan oleh JKM Kuching.
Antaranya pasukan menyelamat dalaman perlu lebih kerap berlatih cara yang betul membawa mangsa kebakaran ke tempat yang selamat.
Perkara itu dijelaskannya pada sesi timbal balas yang diadakan selepas latihan kebakaran berkenaan.
Latihan itu bagaimanapun merupakan penanda aras terbaik untuk menilai sejauhmana kerjasama dan kepekaan setiap kakitangan JKM Kuching serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dalam berdepan dengan kecemasan kebakaran.
Ini kerana latihan tragedi kebakaran itu telah dirancang oleh pihak pengurusan JKM Kuching dan Jabatan Bomba. Ia bermakna semua kakitangan di JKM Kuching dan anggota penyelamat Jabatan Bomba itu tidak mengetahui perancangan untuk mengadakan latihan kebakaran berkenaan.
Lagipun, latihan kebakaran itu tidak disenaraikan dalam senarai aktiviti OSH Week untuk panduan kakitangan JKM Kuching. Ini kerana mereka hanya dimaklumkan tentang aktiviti latihan dan demonstrasi memadam kebakaran pada pagi berkenaan.
Pengarah Jabatan Kima Malaysia Kuching, En Sim Hang Thiew pula meluahkan perasaan gembira kerana kakitangan jabatan itu dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan pengetahuan khususnya ketika berdepan dengan bencana kebakaran.
Demonstrasi cara menggunakan pemadam api dengan betul pula itu amat memberi manfaat khususnya kepada kakitangan yang baru.
Perkara itu dijelaskannya pada ucapan penutupan OSH Week 2007. Sebelum itu, beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang Kuiz OSH.
Jelasnya, penganjuran OSH Week 2007 memberi banyak manfaat khususnya tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerja. Sehubungan itu, pihak JKM Kuching akan terus memberi sokongan kepada penganjuran aktiviti yang serupa pada masa-masa yang akan datang.
Antara aktiviti OSH Week 2007 kali ini ialah tayangan video keselamatan, kuiz Occupational Health and Safety Assessment Series (OHSAS) 18001, pameran OSH, taklimat pelaksanaan program OSH, demonstrasi rawatan kecemasan dan latihan serta demonstrasi pemadaman api.
Kiri: Kakitangan baru di JKM menunjukkan kemahirannya memadam api
Kanan: Pengarah JKM Kuching, En Sim menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz OHSAS 18001