- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Kubu…Khazanah Sejarah yang Tetap Teguh

Must read


Kiri: Kubu Margherita antara kubu yang terkenal dan dapat dilihat dari Tebingan Sungai Kuching
Kanan: Kubu Emma, Kanowit direkodkan
sebagai yang tertua di Sarawak


Sarawak negeri terbesar di Malaysia pernah melalui beberapa zaman pentadbiran yang masing-masingnya tampil dengan identiti tersendiri yang kekal dalam lipatan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Penyerahan Sarawak daripada kerajaan Kesultanan Melayu Brunei kepada James Brooke pada tahun 1839 menandakan bermulanya era pentadbiran kuasa asing yang dikenali sebagai Raja Putih Sarawak di kalangan masyarakat tempatan sehingga kini.

Pentadbiran yang berlangsung selama kira-kira satu abad oleh keluarga Brooke sehingga kedatangan pemerintahan Jepun sekitar tahun 1940-an telah meninggalkan pelbagai khazanah sejarah.

Antaranya ialah pembinaan ‘kubu’ yang memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, pertahanan serta menjalankan fungsi mahkamah di kawasan masing-masing.

Lazimnya, kubu-kubu itu terletak di tebingan sungai, muara sungai dan di tanah tinggi, sesuai dengan peranan yang dimainkannya untuk memantapkan jentera pentadbiran pemerintah.

Di samping fungsinya, reka bentuk, struktur atau bahan binaannya juga menunjukkan secara jelas pengaruh Inggeris yang membezakannya dengan bangunan-bangunan lain yang ada pada ketika itu.

Malah, hasil kerja tangan dan bahan binaannya juga begitu tinggi sesuai dengan penghormatannya sebagai bangunan pentadbiran kerajaan.

Masing-masingnya juga mempunyai identiti tersendiri kerana mempunyai seribu satu kisah yang sama ada telah direkodkan atau menjadi cerita yang diperturunkan dari satu generasi ke genarasi yang lain di kalangan masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, amat bertepatan apabila kubu-kubu itu telah dijadikan sebagai bangunan bersejarah yang harus dipelihara dan dipulihara sebagai warisan negeri dan negara yang tidak mungkin dapat ditiru semula.

Ia bukan sahaja menjadi warisan budaya dan tinggalan sejarah untuk generasi akan datang, malah menjadi daya tarikan penting untuk industri pelancongan negara dan penyelidikan di kalangan bijak pandai.

Di bawah Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993, terdapat 11 buah kubu yang diisytihar (digazet) oleh kerajaan sebagai bangunan bersejarah di negeri ini.

Bangunan bersejarah dalam konteks tersebut ialah bangunan yang berusia sekurang-kurangnya 100 tahun atau bangunan yang mempunyai nilai agama, tradisi, budaya, artistik dan sejarah yang tinggi.


Kubu Sylvia (kiri) dan Kubu Charles (kanan)


Kubu Emma yang terletak di Daerah Kanowit direkodkan sebagai yang tertua iaitu dibina pada tahun 1851. Selain itu, terdapat juga Kubu Alice di Sri Aman (1864), Kubu Margherita di Kuching (1879), Kubu Sylvia, Kapit (1880), Kubu Lily, Betong (1885), Kubu Hose, Marudi (1898), Kubu Lama, Limbang (1897), Kubu Arundell, Lubok Antu (1912), Kubu Lio Matu, Marudi (1911), Kubu Long Akah, Marudi (1929) dan Kubu Brooke, Meluan, Sarikei (1935).

Namun, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa itu hanya sebahagian daripada khazanah kubu yang ada di negeri ini.

Sebenarnya, kita juga mempunyai beberapa kubu lain, antaranya Kubu Burdette, Mukah, Kubu Brooke (Kubu Sibu) Sibu (1862), Kubu Charles, Kabong (1878), Kubu Vyner, Belaga (1884), Kubu Florence, Trusan (1887), Kubu Ranee, Saratok (1888), Kubu Niah, Sepupok (1896), Kubu Leonora, Engkilili (1924), Kubu Long Loyang, Tinjar, Kubu Long Lama, Kapit, Kubu Lama Lundu, Kubu Keppel, Bintulu, Kubu Lingga, Kubu Tebakang, Serian (1929) dan Pejabat Daerah Kecil Muara Tuang, Kota Samarahan (1933).

Kubu-kubu yang belum digazet itu berhadapan dengan risiko kerosakan dan mungkin musnah. Misalnya, Kubu Burdette dan Kubu Niah hanya dapat dilihat tapaknya sahaja pada hari ini.

Bertindak atas kesedaran itu, Jabatan Muzim Sarawak sentiasa berusaha keras memastikan struktur kubu yang ada dipelihara dan dipulihara dengan sebaik mungkin.

Jabatan Muzium Sarawak merupakan agensi kerajaan negeri yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengawal setiap bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah di seluruh Sarawak.

Demikian menurut Pn Dayang Morzanah Awang Haddy, Penolong Pengarah Seksyen Penguatkuasa di Jabatan berkenaan. Beliau merupakan ketua Seksyen Penguatkuasa yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan, di samping monumen dan tapak tanah bersejarah di negeri ini.

Jelasnya, antara fungsi yang dijalankan oleh Jabatan itu ialah mengemukakan cadangan untuk mewartakan sesuatu bangunan bersejarah kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan membuat lawatan pemantauan serta penyelenggaraan berkala ke semua bangunan dan monumen bersejarah termasuk kubu-kubu lama.

Menurutnya, “Ciri utama pemuliharaan atau pemuliharaan kubu adalah melestarikannya di tempat asal.

“Jika terdesak, pemindahan keseluruhan atau sebahagian daripadanya merupakan pilihan terakhir untuk menjamin keselamatan dan pengekalannya,” katanya.

“Jika penempatan semula dilakukan, struktur bangunan harus dipindahkan ke tempat yang bersesuaian serta kegunaan yang bertepatan,” ulasnya.

Katanya, pemuliharaan yang dilaksanakan perlu melalui semua disiplin yang telah ditetapkan yang akhirnya akan memberi manfaat dalam bidang penyelidikan dan keselamatan kubu tersebut.

Teknik tradisi katanya merupakan pendekatan terbaik dalam proses pemuliharaan monumen bersejarah. Sungguhpun demikian, analisis saintifik serta bantuan para profesional yang arif dalam bidang berkaitan juga amat penting dalam proses pemuliharaan kubu atau bangunan bersejarah.

Katanya lagi, “Kerja-kerja pemuliharaan memerlukan tenaga pakar antaranya dalam bidang pemuliharaan dan arkeologi. Ini kerana persekitaran monumen atau bangunan bersejarah turut menyimpan tinggalan sejarah di tapaknya”.

“Di sinilah kepakaran seorang pakar arkeologi diperlukan untuk kerja-kerja penggalian di tapak tersebut sejajar dengan pemuliharaan monumen atau bangunan,” terangnya.

Ia kerana setiap kerja pemuliharaan yang bakal diadakan memerlukan perancangan dan pemantauan yang teliti dan profesional dari sudut pemuliharaan bangunan dan monumen bersejarah, polisi serta undang-undang berkaitan, pentadbiran dan kewangan.

Malah katanya, Jabatan Muzium amat memerlukan kerjasama penduduk setempat bagi memudahkan serta sebagai pemangkin kejayaan sesuatu usaha pemuliharaan bangunan bersejarah.

Dengan usaha sedemikian, khazanah bersejarah termasuk kubu-kubu yang tidak ternilai itu akan terus kekal kukuh untuk tatapan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article