- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

JPN Sarawak Rangkul Anugerah Kualiti SUP

Must read

Kiri: Pengarah JPN Sarawak, Encik Abu Bakar bin Mat menerima trofi daripada Datuk Dr Maximus
Kanan: Tuan Haji Ngah Senik menyampaikan cenderahati kepada Datuk Dr Maximus


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak telah merangkul Johan Anugerah Kualiti Setiausaha Persekutuan Sarawak (AKSUPS) 2007.

Sementara itu, Pejabat Pergigian Sarikei dinobatkan dengan Anugerah Khas AKSUPS sebagai pendorong kepada usaha peningkatan kualiti di pejabat berkenaan.

Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili pada satu majlis yang diadakan di Kuching pada Ogos lalu.

Pada majlis itu, Anugerah ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) Setiausaha Persekutuan Sarawak (AISUPS) 2007 turut disampaikan kepada agensi yang memenangi dua jenis kategori yang dipertandingkan kerana berjaya membangunkan sendiri sistem atau aplikasi ICT dalam usaha mereka meningkatkan penyampaian perkhidmatan agensi kepada pelanggan dalaman serta luaran.

Kategori tanpa pegawai ICT dirangkul Jabatan Pendaftaran Negara Kapit sementara Kastam DiRaja Malaysia, Cawangan Import Eksport Senari di tempat kedua.

Manakala, bagi kategori memiliki pegawai ICT dimenangi Institut Perguruan Batu Lintang yang diikuti oleh Universiti Teknologi Mara, Kampus Samarahan di tempat kedua.

Agensi dalam kategori memiliki pegawai ICT ialah agensi yang mempunyai pegawai dalam Skim F (Sistem Maklumat) sementara bagi kategori tanpa pegawai ICT ialah agensi yang tidak mempunyai pegawai dalam skim berkenaan tetapi mempunyai kemahiran asas serta minat dalam bidang ICT.

Dalam ucapannya sebelum itu, Dr Maximus berkata, kerajaan pada dasarnya berpuas hati dengan prestasi penjawat awam ketika ini.

Namun, ia sebenarnya tidak memadai kerana masih banyak ruang yang perlu untuk dipertingkat manakala usaha memberi perkhidmatan terbaik adalah usaha yang berterusan.

Tegasnya, penjawat awam juga tidak boleh cepat berpuas hati sebaliknya perlu sentiasa mensasarkan yang terbaik demi kepuasan para pelanggan mereka.

Menurutnya, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan awam kerana ia merupakan salah satu daripada lima syarat asas bagi mencapai misi nasional.

Katanya, kerajaan telah menyediakan teknologi, mengkaji semula peraturan dan memberi pelbagai latihan yang sewajarnya kepada penjawat awam.

Tetapi pada akhirnya, sikap penjawat awam yang akan menentukan keberkesanan usaha kerajaan itu.

Terdahulu, Setiausaha Persekutuan Sarawak Tuan Haji Ngah Senik menyuarakan harapannya supaya lebih banyak agensi Kerajaan Persekutuan akan menyertai pertandingan itu pada tahun hadapan.

Pada tahun ini hanya lima agensi yang menyertai AKSUPS sementara sembilan agensi menyertai AISUPS berbanding kira-kira 120 agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Entulu Belaun.


Info

AKSUPS 2007

  • Anugerah Kualiti Setiausaha Persekutuan Sarawak (AKSUPS) diperkenal pada tahun 2004 dengan tujuan
  1. untuk memberi pengiktirafan kepada jabatan dan agensi Persekutuan yang telah mengambil inisiatif dan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan mereka
  2. jabatan/ agensi yang terpilih sebagai pemenang akan dijadikan penanda aras kepada jabatan/ agensi lain untuk mengambil tindakan yang sama ke arah peningkatan kualiti perkhidmatan mereka
  3. menjadi sebahagian daripada aktiviti utama di bawah Gerakan Budaya Kerja Cemerlang
  • Kriteria penilaian ialah
  1. struktur dan objektif pengurusan kualiti (10%)
  2. pengurusan kualiti (30%)
  3. penerapan amalan dan budaya kualiti dalam organisasi (30%)
  4. hasil usaha-usaha kualiti (30%)


AISUPS 2007

  • Anugerah ICT Setiausaha Persekutuan Sarawak (AISUPS) pertama kali diadakan pada tahun 2005. Tahun 2007 merupakan kali kedua anugerah dipertandingkan. Tujuannya ialah
  1. menggalak dan meningkatkan penggunaan ICT sebagai alat untuk meningkatkan prestasi, keberkesanan dan produktiviti agensi
  2. memberikan penghargaan dan pengiktirafan atas usaha, inisiatif dan pelaburan dalam ICT yang telah dibuat serta telah berjaya memanfaatkan penggunaan ICT
  3. memberikan publisiti mengenai kejayaan pelaksanaan ICT
  4. menggalakkan persaingan sihat di kalangan agensi dalam penggunaan ICT untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan
  • Skop
  1. projek pengurusan ICT melibatkan urustadbir sumber ICT di agensi kerajaan
  2. Inovasi ICT yang merujuk kepada sejauhmana inovasi ICT dilaksanakan untuk tugasan seharian. Antaranya aplikasi dan sistem yang dibangunkan oleh agensi
  • Kriteria penilaian
  1. format dan laporan anugerah (10%)
  2. inisiatif/ projek ICT yang dicalonkan (20%)
  3. penyelesaian (15%)
  4. pelaksanaan (15%)
  5. faedah kuantitatif dan kualitatif (20%)
  6. tahap kepuasan/ penerimaan pelanggan/ kumpulan sasaran/ impak kumpulan sasaran (20%)
  • Projek ICT
  1. Jabatan Pendaftaran Negara Kapit – Sistem Laporan Cawangan Berelektronik (e-BreSys)
  2. Kastam DiRaja Malaysia, Cawangan Import Eksport Senari – Sistem SG2 (Proses Imbangan Stok Pengecualian di Bawah Seksyen 14(2) Akta Kastam 1967)
  3. Institut Perguruan Batu Lintang – Sistem Maklumat Praktikum (SMPrak)
  4. Universiti Teknologi Mara, Kampus Samarahan – Publication, Training and Research Administration System (PuTRAS)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article