- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sistem Pengambilan Baru Diperkenal

Must read


Gambar Fail

Kiri: Sistem pengambilan melalui SCS-TalentPower akan memudahkan tapisan ribuan calon yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam negeri
Kanan: SCS-TalentPower mampu mengesan profil kompetensi dan stail pemikiran, emosi dan tindakan calon secara menyeluruh yang diperlukan dalam persekitaran perkhidmatan awam yang semakin mencabar

Kerajaan Sarawak akan memperkenal sistem canggih dan lebih mantap bagi pengambilan kakitangan perkhidmatan awam negeri khususnya di bawah Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

Sistem yang dikenali sebagai ‘Sarawak Civil Service (SCS)-Talent Power, the Mobile Psychologist System’ telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik ‘iCompetent Psychologists’ iaitu sekumpulan penyelidik psikologi, pakar kesihatan dan pakar sistem dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Majlis Penyerahan Laporan ‘SCS-TalentPower – the Mobile Psychologist System’ telah diadakan di antara Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Wilson Baya Dandot dan Naib Canselor UNIMAS, YBhg Datuk Dr Abdul Rashid Abdullah di Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2007.

Ia diadakan bersempena Konvensyen Penyelidikan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa dan Forum Inovasi Sedunia 2007, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Sistem itu adalah produk pertama dibangunkan daripada instrumen yang dikenali sebagai ‘iTalentSuite dan iPowerSuite’ ciptaan ‘iCompetent Psychologists’.

Ia dibangunkan khas untuk membolehkan pemilihan dan pembangunan sumber manusia menggunakan kaedah kontemporari dan inventif yang mengambilkira kepelbagaian keperluan tenaga kerja pada masa kini.

Keupayaannya itu akan membantu memperkasa proses pemilihan ribuan calon jawatan pengurusan Kerajaan Sarawak khususnya di Jabatan Ketua Menteri dengan membolehkan proses tapisan dilakukan dengan cepat dan tepat.

Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk pelbagai urusan pengurusan dan pembangunan sumber manusia Kerajaan Negeri seperti analisis profil kompetensi psikologi bagi tujuan penempatan kerja, analisis keperluan kompetensi dan latihan serta pembentukan kumpulan kerja.

Usahasama untuk membangunkan sistem yang mengambil masa kira-kira dua tahun (sejak tahun 2005) untuk diperkemas itu lahir dari perkongsian perspektif di antara pakar psikologi UNIMAS dan Kerajaan Negeri tentang perlunya instrumen psikologi yang kontemporari serta dibangunkan khas bagi kegunaan pengurusan dan pembangunan sumber manusia.

Di samping itu, ia juga harus menepati perubahan dan kepelbagaian persekitaran kerja dalam masyarakat multi-etnik — di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

SCS-TalentPower mampu mengesan profil kompetensi dan stail pemikiran, emosi dan tindakan calon secara menyeluruh kerana ia dibangunkan berasaskan gabungan konsep dan teori kepelbagaian manusia dan industri yang sentiasa berkembang.

Ia juga disesuaikan dengan teori kontemporari yang diambil dari pelbagai disiplin ilmu tentang manusia dan kemanusiaan agar lebih menepati kehendak dan fitrah sumber manusia pada dekad ini.

Ciri-ciri itu menjadi kekuatan sistem berkenaan memandangkan kompetensi, pemikiran, emosi dan tindakan seseorang calon merupakan sesuatu yang sukar dikesan dari proses temuduga yang ringkas.

Keupayaannya juga telah diuji beberapa kali kepada ribuan calon dalam pelbagai jawatan pengurusan dan teknikal untuk penduduk awam di negeri ini.

Selain menjadi modul pertama di Malaysia, sistem itu juga telah diperkukuh untuk mematuhi piawaian World Standards for Psychological Testing bagi kesesuaian penggunaan dalam masyarakat multi-etnik.

Turut menarik perhatian ialah keupayaan sistemnya yang diprogramkan menggunakan platform yang membolehkan pemprosesan ribuan profil pada masa yang sama, sekaligus membantu Kerajaan Negeri mengenalpasti calon terbaik dipilih bekerja, secara otomatik dan secepat mungkin bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan.

Sistem itu akan mula digunakan dalam masa terdekat melalui prasarana internet bagi membolehkan capaian sepanjang masa dari mana-mana lokasi seluruh dunia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article