oleh George Langat Ngau
Karnival UPSR SK Desa Lavang, Bintulu 2007 telah
dirasmikan dengan jayanya pada 2 Ogos lalu. Perasmian karnival UPSR kali ini
telah dirasmikan oleh YDP PIBG SK Desa Lavang iaitu En.Robin Ak Tedong.
Aktiviti dimulai dengan sembahyang hajat bagi murid Islam
dan kebaktian bagi murid Kristian yang turut disertai oleh para guru dan
ibubapa murid masing-masing.Sembahyang hajat dan kebaktian ini diadakan
bertujuan untuk memohon restu dan pimpinan dari Tuhan agar murid-murid Tahun 6
SK Desa Lavang dapat menghadapi UPSR yang bakal menjelma tidak lama lagi dengan
tenang dan baik.
Selepas acara sembahyang hajat dan kebaktian, para murid
tahun 6, guru-guru dan ibubapa serta para jemputan berkumpul di ruang legar
kantin sekolah untuk upacara perasmian carnival UPSR.
Majlis perasmian ini dimulai dengan lagu nyanyian lagu
’Negaraku’. Kemudian diikuti oleh ucapan alu-aluan oleh Guru Besar, En.Jonathan
Labo. Selepas ucapan Guru Besar, En.Robin Tedong selaku YDP PIBG SK Desa Lavang
memberi ucapan beliau dan seterusnya memotong reben sempena perasmian Karnival
UPSR 2007.
Acara seterusnya
ialah bacaan ikrar dari calon-calon UPSR 2007 yang diketuai oleh Wan
Mohd.Khairil. Bacaan ikrar ini adalah sebagai lambang kesediaan dan kesanggupan
mereka melakukan yang terbaik dalam menghadapi UPSR demi diri mereka sendiri,
keluarga serta sekolah mereka.
Selesai bacaan ikrar, murid-murid Tahun 6 melakukan satu
lagi acara yang penting iaitu menandatangani surat ‘akujanji’ di hadapan saksi
mereka iaitu ibubapa serta guru-guru.
Mereka menandatangani surat ‘akujanji’ yang disaksikan
oleh ibubapa dan guru mereka sendiri sebagai janji mereka untuk mendapat
‘target’ mereka dalam UPSR nanti seperti yang tertulis dalam surat ‘akujanji’
tersebut.Maka dengan itu, lengkaplah sudah acara perasmian karnival UPSR 2007.
Warga sekolah amnya dan pihak ibubapa, guru-guru dan murid-murid khasnya
mendoakan kecemerlangan murid-murid Tahun 6 dalam UPSR yang akan menjelma tidak
lama lagi. Dengan ikrar dan ‘akujanji’ yang telah mereka buat di hadapan
ibubapa dan para guru, diharap sedikit sebanyak akan dapat menaikkan lagi
semangat mereka dan berjuang bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik
dalam UPSR nanti.
Semasa majlis tersebut juga ditayangkan klip video semasa
aktiviti kem motivasi UPSR yang telah diadakan di Taman Negara Similajau pada
Jun lalu sebagai acara selingan.
Acara kemuncak majlis adalah nyanyian lagu ‘Ibupertiwiku’
dan acara penutup adalah jamuan makan untuk semua hadirin dan juga semua murid
tahun 6. Majlis bersurai kira-kira jam 11 malam.