- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sektor Awam Perlu Bantu Sektor Swasta Bersaing

Must read

Perkhidmatan awam negeri perlu bertindak sebagai pengurus dan bukan sekadar menjadi pentadbir bagi meneruskan pembangunan negeri dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar ketika ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, perkhidmatan awam pada suatu ketika dahulu bertindak sebagai pentadbir kerana kerajaan amat berkuasa, sementara negeri masih dalam keadaan yang mundur.

Namun, apabila negeri semakin membangun, peranan perkhidmatan awam perlu disesuaikan dengan keadaan semasa terutama apabila permintaan serta sumbangan yang meningkat daripada sektor swasta yang menyumbang kepada pembangunan negeri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Perkhidmatan Awam 2007, bertemakan ‘Memacu Kecemerlangan Menerusi Kerajaan Strategik’ di Stadium Perpaduan Negeri di Kuching, Oktober lalu.

Menurut Ketua Menteri, perkhidmatan awam tidak boleh bertindak sebagai pentadbir pembangunan sahaja, tetapi perlu juga terlibat dan berinteraksi dengan persoalan pengurusan, mengurus ekonomi, berinteraksi dengan hal mikro-ekonomi dan meningkatkan pengurusan makro.

Katanya, disebabkan sektor swasta semakin cepat mengambil peluang daripada perubahan dan lebih berjaya dalam pembangunan negara, sektor awam pula harus bergerak sebagai pasukan pengurusan dan bukan hanya sebagai pentadbir seperti masa lalu.

Sehubungan itu, perkhidmatan awam perlu membentuk strategi yang memudahkannya disesuaikan dengan inisiatif sektor swasta.

Beliau menjelaskan, kakitangan awam tidak boleh mengabaikan peranannya untuk memastikan ekonomi terus berkembang pesat.

Namun, pada masa yang sama, peranan yang dimainkan oleh sektor awam tidak harus menjejaskan perkembangan sektor swasta.

Oleh itu, beliau menggesa agar perkhidmatan awam berfikiran seperti sektor swasta untuk mencapai objektifnya, dan bukan dengan polisi umum yang terlalu luas.

Beliau juga mahu sektor awam meningkatkan integriti dan pencapaiannya untuk menggalakkan sektor swasta terus berkembang secara kompetitif di peringkat global.

Ketua Menteri berkata, antara cabaran utama perkhidmatan awam sekarang ialah bagi meningkatkan jenteranya untuk menggalakkan aktiviti sektor swasta serta menggalakkan pembangunan sumber manusia di negeri ini.

Jelasnya, perkhidmatan awam perlu membangunkankan kapasitinya bagi mencapai hasrat mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan yang diakuinya semakin penting dalam era ekonomi global.

Usaha itu menurutnya, memerlukan penjawat awam terlibat dalam proses peningkatan serta mengemaskini ilmu dan pengetahuan mereka sepanjang masa.

Pehin Sri menjelaskan, di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, strategi pembangunan negara bukan setakat menyediakan infrastruktur dan menggunakan sepenuhnya sumber yang ada, tetapi juga menumpukan pada penghasilan pekerja berpengetahuan.

Sarawak yang sedang menempuh arus politik pembangunan kedua turut menekankan kepada tenaga kerja yang lebih baik serta terlatih untuk bersaing di dalam pasaran dunia.

Beliau percaya, dengan perubahan-perubahan yang sedang berlaku di dalam perkhidmatan awam, serta kepantasan komunikasi pada hari ini, lebih banyak keputusan yang dibuat akan turut melibatkan kakitangan awam di peringkat bawah.

Jelasnya, pembuatan keputusan tidak lagi hanya dipusatkan pada pegawai peringkat atasan, sebaliknya kakitangan awam perlu bekerja sebagai sebuah pasukan serta bekerjasama antara satu sama lain.

Beliau turut menyuarakan tentang kesulitan yang mungkin timbul untuk meyakinkan kerjasama pada semua peringkat untuk bekerja sebagai sebuah pasukan berkenaan.

Namun katanya, paling penting ialah keterbukaan mereka untuk menerima transformasi yang dibawa melalui sistem baru itu untuk Sarawak menempuh pembangunan negeri yang akan datang.

Ketua Menteri menyampaikan amanat berkenaan pada perhimpunan yang disertai kira-kira 3,500 kakitangan awam Negeri dan Persekutuan, badan-badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

Ia juga merupakan pembuka tirai kepada pelbagai aktiviti yang dirancangkan selama seminggu sempena Minggu Perkhidmatan Awam Sarawak 2007.


YAB Ketua Menteri menyampaikan amanat beliau



Datuk Amar Wilson Baya Dandot Setiausaha Kerajaan Sarawak (tiga dari kanan) serta Datu Robert Lian yang mewakili Setiausaha Persekutuan Sarawak menyampaikan cenderamata kepada YAB Ketua Menteri



Kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta akan memacu pembangunan negeri


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article