- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Jalan Persisir Triso/Melebu/Pusa

Must read

Jalan persisir di antara Jalan Triso/ Melebu/Pusa sepanjang 49.7 km dalam Betong diramalkan mampu merancakkan pembangunan kawasan luar bandar dalam bahagian tersebut.

Jalan persisir tersebut akan memendekkan jarak perjalanan ke kawasan seperti Triso, Maludam, Beladin dan Pusa yang secara langsung memudahkan pergerakan penduduk di kawasan berkenaan selain merancakkan sektor pelancongan.

Ini dapat dilihat ketara apabila perkhidmatan Feri di Tanjung Lilin (Batang Saribas) yang mula beroperasi pada tahun ini (2007) telah menghubungkan sebahagian kecil Daerah Kecil Pusa dan Daerah Kecil Maludam dengan sebahagian lagi kawasan Daerah Kecil Pusa memudahkan lagi perancangan pembangunan di kawasan berkenaan.

Walaupun sedikit mengambil masa untuk dibangunkan, namun ini membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan di kawasan sebelah ini.

Malah terdapat perancangan untuk mendekatkan lagi jarak ke kawasan ini dengan pembinaan Jalan Raya Tanjung Assam Spaoh ke Kampung Beladin Pusa.

Ia turut diakui sendiri, Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel yang menyatakan bahawa pembangunan itu akan mengubah corak pergerakan di kawasan tersebut.

Menurutnya kalau dahulu, kebanyakan penduduk perlu turun ke Pekan Pusa, untuk mendapatkan bekalan harian ataupun menjual hasil produk mereka, namun kini mereka tidak perlu berbuat demikian disebabkan pemborong ataupun pembeli terus datang kepada mereka.

Bukan itu sahaja, dari segi pentadbiran, ia memudahkan pentadbiran terutamanya di antara Pejabat Daerah Kecil Pusa dan Pejabat Daerah Kecil Maludam di samping melicinkan projek kerajaan termasuklah Pusat Pertumbuhan Desa di Beladin.

Signifikannya pembangunan prasarana jalan persisir di Daerah Kecil Maludam yang berkeluasan 584.89 km persegi akan turut meletakkan kedudukan Taman Negara Maludam mudah untuk diakses yang dahulunya agak sukar disebabkan kekangan pengangkutan yang mengambil masa untuk ke sana.

Kebanyakan penduduk memanfaatkan keadaan tersebut, antaranya dengan mengusahakan homestay sebagai meningkat nilai tambah kepada produk pelancongan tersebut.

Penghulu Awang Karim Bin Awang Amit, salah seorang pengusaha homestay di Kampung Seberang Maludam, berkata kini pelancong boleh menggunakan kenderaan sendiri untuk datang ke situ (sekiranya menggunakan pengangkutan darat).

Jelasnya, terdapat 9 orang peserta terlibat dalam program homestay ini yang menyediakan 20 buah bilik dan menawarkan beberapa pakej pelancongan yang menarik.

Beliau bersyukur kerana kemudahan jalan persisir yang sedikit sebanyak memudahkan pergerakan pelawat dan pelancong yang ingin ke Taman Negara Maludam.

Kawasan Triso, yang juga merupakan penghujung kepada jalan persisir tersebut turut menempatkan kemudahan dermaga Triso, antara tempat yang menjadi perhentian untuk ke Sebuyau dan ke Kuching.

Kegembiraan tersebut turut dikongsi bersama Wan Jamal Bin Tenku Bono, Lim Ghim Hua dan Hamidah Tamam yang menurut mereka menyediakan prasarana yang baik memudahkan pengangkutan untuk penduduk berulang alik, terutama untuk ke Sebuyau dan Kuching.

Malah terdapat juga, penduduk kampung dari Kampung Trisio seperti Lehi Bin Chali, dari Kampung Triso yang mencari rezeki dengan membawa bot penumpang untuk ke Sebuyau. Dia mengenakan bayaran minimum RM5 untuk membawa penumpang.

Perlaksanaan jalan persisir dalam Bahagian Betong mempunyai tiga (3) jajaran utama dengan Jalan Triso/ Melebu/Pusa (Bahagian Betong) sepanjang 49.7 km yang merangkumi empat (4) pakej iaitu Pakej A-Triso ke Maludam (16.7 km), Pakej B-Maludam ke Sapinang (14 km), Pakej C-Sapinang ke Pusa (19 km) dan Pakej D-Perhentian Feri di Batang Saribas.

Jajaran pertama tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dari Triso, Semarang, Sapinang, Maludam dan Beladin apabila Feri beroperasi sepenuhnya pada September tahun ini (2007) dan tidak perlu lagi menggunakan pengangkutan bot laju.

Jalan persisir lain yang termasuk dalam Bahagian Betong ialah Jajaran kedua pula Jalan Pusa/Sesang (Bahagian Betong) sejauh 46.1 km merentasi Sg Stirah, Sg Sebelak dan Struktur DID Lock dan Perhentian Feri di Sungai Kerian.
Manakala jajaran ketiga (jaringan Jalan Kabong/Grigat/Selalang sejauh 30 km) menghubungkan kawasan Grigat dan kawasan Kabong.

Pembinaan jalan-jalan persisiran ini akan membuka lebih banyak kawasan guna tanah khasnya bagi pertanian komersial seperti kelapa sawit dan tanaman rumbia.

Dengan adanya rangkaian perhubungan jalan yang cekap, kegiatan pengedaran, pemasaran dan urusan jual beli hasil tanaman dapat dilakukan dengan pantas yang akhirnya meningkatkan potensi pasaran yang lebih luas.

Malah ia dapat memudahkan usaha kerajaan menghubungkan kawasan-kawasan berkepadatan tinggi di kawasan persisiran yang rata-ratanya mempunyai pendapatan perkapita yang rendah dengan penduduk di Pekan utama seperti Maludam dan Beladin.

Secara tidak langsung, keadaan ini diharap dapat meningkatkan potensi ekonomi penduduk di kawasan terbabit dengan bijak memanfaatkan peluang kesan daripada kemudahan yang disediakan kerajaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article