- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Tribunal Rayuan Kastam

Must read

Penubuhan Tribunal Rayuan Kastam adalah bagi meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran cukai negara.

Ia diwujudkan bagi mempertimbangkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat Ketua Pengarah Kastam berhubung Sistem pentadbiran cukai serta mewujudkan suasana mesra-niaga.

Perkara ini dijelaskan Timbalan Pengerusi Tribunal itu, Mohd Zaki Abdul Wahab ketika mengadakan Program Penerangan Tribunal Kastam di Lembaga Pelabuhan Kuching baru-baru ini.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa tribunal itu akan menjadi adil, saksama, telus dan pantas dalam keputusannya.

Tribunal itu memberikan ruang kepada sesiapa jua antaranya pihak pengimport untuk merayu dalam usaha meningkatkan keberkesanan pentadbiran berhubung cukai.

Menurutnya, dengannya kini terdapat platform untuk sesiapa sahaja boleh mengemukakan rayuan berhubung caj cukai dan duti yang dikenakan pihak Kastam.

Walau bagaimanapun, pada masa ini mereka yang berhasrat menfail rayuan kepada tribunal perlu menghantarnya terus kepada pejabat induk Kastam di Putrajaya, dan rayuan-rayuan dari Sarawak dan Sabah pula perlu dihantar terus melalui perkhidmatan kurier.

Bagaimanapun menurutnya tribunal boleh diadakan di mana-mana jua tempat dalam negara bagi mendengar rayuan yang dikemukakan, berdasarkan kepada tempat asal rayuan itu dibuat.

Ditubuhkan pada 1 Jun lepas, badan bebas itu akan mempertimbangkan rayuan terhadap keputusan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengenai percukaian di bawah beberapa akta antaranya Akta Kastam 1967, Akta Cukai Jalan 1972, Akta Cukai Perkhidmatan 1975 dan Akta Eksais 1976.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat oleh tribunal itu boleh dirayu di Mahkamah Tinggi, namun sebelum tribunal boleh mendengar sebarang rayuan, pemohon perlu membayar semua cukai dan duti yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kastam.

Sebelum ini mana-mana pertikaian ke atas keputusan teknikal dan pentadbiran KDRM dirayu kepada Menteri Kewangan.

Anggota tribunal itu dilantik oleh Menteri Kewangan manakala pengerusi dan timbalan pengerusinya merupakan anggota Badan Kehakiman dan Undang-undang, manakala ahli-ahli lain terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam hal percukaian dan perkastaman.

Antara ciri utama lain tribunal berkenaan ialah setiap rayuan tersebut boleh dikemukakan kepada tribunal dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notifikasi keputusan berkenaan.

Selain itu keputusan tribunal adalah muktamad kecuali bagi kes-kes tertentu yang boleh dirujuk kepada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Tribunal Rayuan Kastam juga adalah rentetan daripada pengumuman Perdana Menteri ketika membentang Bajet 2007 tahun lepas.

Info Ringkas

• Tribunal Rayuan Kastam ditubuhkan untuk mendengar dan mengadili rayuan terhadap keputusan Ketua Pengarah Kastam menurut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.
• Ia telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan mulai 1 Jun 2007. Alamat pejabat Tribunal seperti berikut :

• Tribunal Rayuan Kastam
Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia
Aras 8, Blok Tengah
Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62592 Putrajaya.

Tel: 03 8882 4218 Fax: 03 8882 4374
email : tribunalkastam@treasury.gov.my

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article