Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam hari ini
memutuskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim
Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah harus.
Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Fatwa Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin yang
dipetik dari BERNAMA pada 3 Februari 2008 sebagai berkata hukum bagi pembayaran
dividen hasil pelaburan kedua-dua skim berkenaan juga adalah harus.
Prof Datuk Dr Abdul Shukor berkata dua isu penting lain yang dibincangkan
dan diputuskan dalam muzakarah selama tiga hari itu adalah mengenai tanah wakaf
dan penggunaan barangan atau lambang agama lain seperti salib oleh orang Islam.
Berhubung tanah wakaf, Dr Abdul Shukor berkata setelah membincangkannya dan
melihat situasi semasa, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa tanah-tanah
wakaf yang ada boleh dibangunkan dengan syarat niat asal pewakaf dikekalkan.
Bagaimanapun, pembangunan berkenaan hendaklah berdasarkan keperluan yang
ditentukan pemerintah sementara hasil pembangunan itu dan sebagainya hendaklah
dikembalikan kepada orang Islam, katanya.
Mengenai hukum orang Islam yang menggunakan barangan atau lambang agama
lain seperti salib dan seumpamanya, Dr Abdul Shukor berkata Jawatankuasa Fatwa
memutuskan bahawa sekiranya lambang-lambang berkenaan dinyatakan secara zahir
dan jelas, umat Islam adalah dilarang menggunakannya.
Muzakarah itu dihadiri semua mufti-mufti dan juga tokoh-tokoh yang dilantik
oleh Majlis Raja-raja untuk memberikan pandangan.