Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Datuk Shahrir Samad, di petik oleh Berita Harian di Johor Bahru pada 5 April
2008 sebagai berkata pengguna di negara ini dijangka dapat menikmati harga
petrol biasa yang lebih rendah tidak lama lagi, berikutan cadangan kerajaan
untuk menstruktur semula jenis petrol di pasaran dan pemberian lebih banyak
subsidi bagi petrol biasa.
Katanya, mesyuarat Jawatankuasa
Kabinet Membendung Inflasi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lalu (1 April) sudah menimbangkan cadangan
memansuhkan petrol RON 92 dan RON 97 untuk digantikan dengan petrol RON 95 dan
RON 99.
Petrol RON 95 boleh digunakan
pengguna berpendapatan rendah dan sederhana kerana ia bakal menggantikan RON 92
dan RON 97, manakala petrol RON 99 yang lebih mahal adalah sesuai untuk
kenderaan mewah dan pengguna yang mementingkan kuasa pemanduan serta prestasi.
Datuk Shahrir menjelaskan bahawa mengikut
sistem baru itu, kerajaan akan memberi lebih subsidi bagi petrol RON 95.
Matlamatnya ialah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana,
manakala bagi mereka yang berpendapatan mewah boleh memilih sama ada
menggunakan petrol biasa atau berkuasa tinggi.
Tindakan ini dijangka dapat menjimatkan
peruntukan perbelanjaan dengan memberi sebahagian besar subsidi kepada petrol
jenis RON 95, berbanding sebelum ini subsidi yang sama diberikan untuk
kedua-dua jenis petrol iaitu RON 92 dan RON 97.
Januari lalu, Menteri Kewangan
Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dilaporkan berkata kerajaan terpaksa
mengeluarkan RM35 bilion untuk subsidi harga diesel, petrol RON 92 dan RON 97,
jika harga minyak mentah naik AS$100 satu tong di pasaran dunia.
Pada masa ini,
petrol RON 92 dijual pada harga RM1.88 seliter di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak, manakala RON 97 berharga RM1.92 seliter di Semenanjung, berbanding
RM1.90 sen di Sabah dan RM1.91 di Sarawak.