- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Skim Pembiayaan Mikro

Must read

Mudah, Cepat dan Senang Buat Pengusaha Kecil dan Sederhana

Kerajaan memandang serius kegiatan pinjaman haram atau
Along yang bertapak akibat daripada sikap sebilangan anggota masyarakat, yang
mengambil jalan pintas untuk mendapat sumber kewangan segera, dan menghadapi
risiko dibebani hutang yang berlipat kali ganda sepanjang hayat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Dato' Haji Ahmad Husni bin
Mohamad Hanadzlah berkata demikian di Parlimen ketika menjawab pertanyaan Ahli
Parlimen Gelang Patah, YB Tan Ah Eng yang ingin tahu apakah langkah-langkah yang
kerajaan ambil untuk memudahkan prosedur pinjaman bank supaya dapatmengurangkan
kegiatan Pinjaman Haram (Along).

“Kerajaan sentiasa prihatin kepada golongan berpendapatan
rendah serta pengusaha kecil dan sederhana, untuk mendapat kemudahan pinjaman
bank,” jelas Dato' Haji Ahmad Husni.

Sehubungan dengan itu, menurut Dato' Haji Ahmad Husni
lagi, Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana
Menteri telah melancarkan Skim Pembiayaan Mikro yang mudah, cepat dan senang dengan
ciri-ciri seperti :

  1. jumlah RM500 hingga RM50,000;
  2. tempoh pinjaman lima tahun;
  3. prosedur pinjaman yang mudah;
  4. dokumentasi yang minimum;
  5. kelulusan yang cepat, paling cepat dua hari;
  6. tiada cagaran diperlukan; dan
  7. boleh didapati di banyak tempat seperti cawangan-cawangan
    dan pelbagai saluran pengedaran institusi kewangan serta rakan kongsi strategik
    mereka.

“Skim ini dilaksanakan sejak tahun 2006, telah
menunjukkan perkembangan yang positif. Pada masa ini terdapat tiga buah
institusi kewangan pembangunan atau IKP yang menyalurkan pembiayaan mikro iaitu
Bank Simpanan Nasional, Agro Bank dan Bank Kerjasama Rakyat. Di samping itu,
strategi juga diperkenalkan bagi menggalakkan institusi perbankan menawarkan
pembiayaan mikro. Setakat ini enam buah institusi perbankan telah menyediakan
skim ini iaitu Ambank, Public Bank, CIMB Bank, Alliance bank, Alliance Rakan,
United Overseas Bank Malaysia dan EON Cap Islamic Bank.”

Dato' Haji Ahmad Husni menambah, sehingga tahun 2007,
sembilan institusi kewangan tersebut telah menyalurkan pembiayaan mikro kepada
lebih 22,000 peminjam dengan pinjaman terkumpul sebanyak RM225 juta atau pembiayaan
purata RM9,800.

Benurut beliau lagi, selain skim pembiayaan mikro
institusi kewangan juga menyediakan kemudahan Ar-rahnu kepada pengusaha mikro
dan individu untuk memastikan mereka mendapat akses yang mencukupi untuk
membiayai keperluan mereka.

“Di samping itu juga, bagi membantu peminjam-peminjam
yang menghadapi masalah kewangan, Bank Negara Malaysia juga telah menubuhkan
Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan
perkhidmatan pengurusan kewangan, penyusunan semula pinjaman, kaunseling dan
pendidikan kewangan kepada peminjam dan penjamin yang mengalami masalah untuk
membayar balik pinjaman.”

“AKPK ini memberikan bantuan khidmat nasihat dalam
penyusunan semula hutang berkaitan pinjaman perumahan, sewa beli, kad kredit
dan pinjaman peribadi yang diperolehi daripada Institusi Kewangan di bawah
pengawal seliaan Bank Negara Malaysia. Pada akhir tahun 2007, hampir 50,000
individu telah mendapatkan perkhidmatan AKPK.”

“Daripada jumlah ini, lebih 5,000 individu yang mempunyai
hutang berjumlah RM478 juta telah menerima khidmat nasihat di bawah Program
Pengurusan Hutang AKPK. Inisiatif dan langkah-langkah telah dinyatakan tersebut
bertujuan memastikan individu dan pengusaha kecil dan sederhana mendapat
kemudahan pembiayaan daripada sektor kewangan dan seterusnya dapat mengurangkan
kegiatan pinjaman haram, Along.”

Dato' Haji Ahmad Husni seterusnya menyatakan bahawa walaupun
langkah-langkah wajar telah diambil untuk menyediakan akses yang mencukupi
kepada kemudahan pembiayaan, aspek kesedaran perlu terus dipupuk di kalangan
orang ramai supaya tidak berurusan dengan Along.

Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan
program pendidikan pengguna yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dalam
membuat keputusan berhubung dengan pengurusan kewangan mereka.

“Di peringkat sekolah pula, program sekolah angkat telah
dimulakan sejak tahun 1996 bertujuan untuk menyemai tabiat pengurusan kewangan
yang bijak. Program ini juga turut diperluaskan pada audien sasar yang lebih
besar termasuk golongan wanita dan kumpulan pekerja bagi membantu keluarga
dalam menguruskan pendapatan isi rumah, simpanan dan pelaburan,” jelas beliau.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article