Adalah menjadi matlamat kerajaan
bahawa penubuhan Kolej Komuniti adalah untuk menyediakan pendidikan dan latihan
yang dinamik yang berkualiti dengan menganjur dan menyediakan pembelajaran
sepanjang hayat dalam pembangunan komuniti yang berpengetahuan dan masa kini
usaha giat dilaksanakan bagi menjadikan Kolej Komuniti sebagai sebuah ‘Institution
of Choice’ ataupun institusi pilihan.
Antara usaha berkenaan sebagaimana
yang dimaklumkan oleh Timbalan Menteri
Pengajian Tinggi I, Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron di Dewan Rakyat pada 15
Julai 2008 yang lalu sebagai respon kepada pertanyaan daripada Ahli Parlimen
Arau, Dato' Ismail Kasim yang ingin tahu
apakah rancangan Kementerian Pengajian
Tinggi untuk menjadikan Kolej Komuniti sebagai sebuah ‘Institution of
Choice’ di kalangan belia dan bagaimanakah kementerian menentukan
kursus-kursus yang ditawarkan supaya para graduan kolej ini dapat memenuhi
kehendak institusi semasa adalah penjenamaan semula Kolej Komuniti yang
dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Februari 2007 adalah
selaras dengan Teras ke-6 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang
merangkumi kerjasama antara Kolej Komuniti dengan 33 syarikat termasuk syarikat
yang bertaraf GLC seperti Proton, Naza dan lain-lain lagi, dalam mewujudkan
kerjasama dua hala untuk penyediaan latihan kepada staf, latihan kepada pelajar
dan penyediaan peluang pekerjaan.
Datuk Ir.
Haji Idris turut memaklumkan bahawa Kolej Komuniti menawarkan kursus peringkat
diploma yang berasaskan World Base Learning yang kini melibatkan lima
program iaitu;
- Teknologi automotif;
- Teknologi elektrik;
- Teknologi komputer;
- Hotel dan katering; dan
- Fashion dan apparel.
Beliau juga memaklumkan bahawa elaun bantuan
pengajian juga disediakan bagi pelajar yang layak iaitu sebanyak RM250 sebulan selain
penubuhan Kolej Komuniti induk dan juga Kolej Komuniti cawangan.
Menurut beliau lagi, kementerian
juga berhasrat untuk meletakkan Kolej Komuniti ini berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah dengan Kolej Komuniti di negara lain.
“Kita melihat asas penubuhan Kolej
Komuniti ini ialah untuk menyediakan ruang pembelajaran kepada anak-anak kita
yang mempunyai keputusan yang lemah di peringkat menengah. Kepada mereka yang
mempunyai keputusan yang cemerlang, mereka mempunyai tempat di IPTA dan IPTS.
Namun bagi anak-anak yang mempunyai keputusan yang kurang baik, mereka
mempunyai pilihan iaitu untuk menyertai program-program di peringkat Kolej
Komuniti ini. Kementerian juga mempunyai
perancangan untuk menjadikan Kolej Komuniti ini sebagai sebuah jambatan anak-anak
untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti dengan menyediakan kursus-kursus
elektif seperti kursus political science, falsafah, psikologi dan
sebagainya.”
Untuk itu beberapa kursus seperti kursus
animasi; teknologi pembuatan bersepadu; lukisan pelan dan seni bina; penyelenggaraan
bangunan; dan sistem dan sokongan computer adalah antara kursus-kursus yang kini
disediakan di Kolej Komuniti yang boleh mengangkat nama serta taraf Kolej
Komuniti di Negara ini.
Datuk Ir.
Haji Idris turut menyatakan bahawa sehingga Julai 2008, terdapat sebanyak
21,152 permohonan bagi kemasukan ke Kolej Komuniti. Namun kapasiti 37 buah
Kolej Komuniti induk di seluruh negara dan 18 buah Kolej Komuniti cawangan di
negara ini hanya boleh menerima masuk seramai 7,720 pelatih.