- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

SPRM Yang Lebih Berwibawa dan Berkesan

Must read


Membanteras Rasuah

Sejak April 2008, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan beberapa langkah untuk mengukuhkan lagi agenda integriti negara, termasuk penambahbaikan dan penstrukturan semula BPR menjadi sebuah suruhanjaya.

Segalanya dilakukan bagi memastikan tindakan tegas dan pantas ke arah pemantapan institusi-institusi anti-rasuah, badan-badan penguatkuasaan dan kerangka perundangan berkaitan rasuah.

Sejak ia diumumkan, isu penstrukturan semula BPR telah menjadi topik hangat ,terutama tentang bila dan bagaimana ia ditubuhkan dan bagaimana pula dengan strukturnya.

Semua persoalan berkenaan tersebut terjawab apabila Perdana Menteri mengumumkan maklumat-maklumat yang lebih terperinci tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Konvensyen Integriti Nasional 2008 yang diadakan di Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penggubalan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang bakal menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang merupakan asas kepada pembentukan sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang lebih berwibawa, lebih berkesan dan tertakluk kepada pemantauan luar melalui satu sistem check and balance yang komprehensif.

Jelas beliau lagi, rang undang-undang SPRM 2008 akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen dalam masa terdekat dalam sesi Parlimen sekarang yang akan dilanjutkan sehingga 18 Disember ini untuk membolehkan ia dibahaskan.

Tambah beliau lagi, SPRM adalah berdasarkan kepada model agensi anti-rasuah yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia, umpamanya Independent Commission on Anti-Corruption (ICAC) di Hong Kong dan Independent Commission Against Corruption di New South Wales, Australia.

Suruhanjaya tersebut juga akan akan disokong oleh beberapa mekanisme check and balance seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah agar dilihat lebih berakauntabiliti, lebih telus dan lebih berkesan dalam pelaksanaan tugasnya, selaras dengan kehendak perundangan serta selari dengan aspirasi masyarakat.

Mengenai keanggotaannya pula, menurut beliau SPRM akan mempunyai ahli-ahli Lembaga Penasihat yang akan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dari kalangan mereka yang telah menunjukkan khidmat bakti yang terpuji, berintegriti dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Lembaga Penasihat tersebut akan bertanggungjawab untuk menasihati suruhanjaya terhadap perkara-perkara berkaitan dengan masalah rasuah di Malaysia”

“Manakala, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah pula akan terdiri daripada kalangan ahli-ahli Parlimen yang akan menerima dan meneliti laporan tahunan yang wajib dikemukakan oleh suruhanjaya”, jelas beliau

Bagi memantapkan struktur suruhanjaya tersebut, jemaah menteri juga telah bersetuju dengan cadangan pembentukan dua buah panel lagi iaitu Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Panel Penilaian Operasi akan memastikan tindakan dan keputusan siasatan yang dibuat oleh suruhanjaya dilakukan dengan telus dan penuh bertanggungjawab.

Manakala, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah pula akan membantu usaha SPRM untuk mendidik orang ramai dalam usaha membanteras rasuah sebagaimana yang termaktub di bawah fungsi bidang kuasa suruhanjaya.

Jelasnya lagi, struktur SPRM tidak lengkap sekiranya tanpa keanggotaan yang mencukupi. Untuk itu, menurut beliau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini telah meluluskan tambahan keanggotaan pegawai BPR seramai 1,379 orang yang akan dilantik di antara tahun 2008 dan 2009.

Ia adalah merupakan peningkatan lebih 100 peratus daripada keanggotaan pegawai BPR sedia ada. Jumlah tambahan ini akan ditingkatkan sehingga 5,000 orang pada tahun-tahun berikutnya.

Tambah beliau lagi, pihak JPA kini sedang dalam proses akhir untuk menyediakan satu skim perkhidmatan baru yang lebih baik untuk pegawai-pegawai suruhanjaya. Ini penting untuk menarik minat golongan profesional dan berkemahiran untuk berkhidmat di SPRM.

Jemaah Menteri juga telah menimbang supaya SPRM dibenarkan untuk mengendalikan urusan-urusan perkhidmatan, khususnya yang melibatkan proses lantikan dan penamatan perkhidmatan pegawainya (hiring and firing of officers).

Beliau juga telah meminta supaya Ketua Pengarah BPR memohon pertimbangan dan kelulusan dari pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi menurunkan kuasa kepada pihak SPRM untuk menguruskan sendiri pelantikan pegawai-pegawai suruhanjaya. 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article