- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Cahaya Perubahan Buat Kaum Penan

Must read

Oleh Siti Mariam Binti Mahdar


Tersemat keyakinan yang jitu di
hati penulis mereka mampu berubah.
Berubah kepada kehidupan yang lebih baik dan sempurna,
menikmati nikmat pembangunan dan keluar jauh dari perkampungan hutan, sukar dan
satu kehidupan yang tiada jaminan.

 

Semangat itulah yang membawa penulis mengikuti satu
perjalanan yang agak sukar namun berbaloi, menemui kaum Penan di Long Napir Ulu
Limbang kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan kereta pacuan empat roda.

 

Perjalanan yang mencabar, gaung
yang curam tampak sekali meresahkan jiwa.
Namun, mata tidak jemu menjamu keindahan ciptaan Ilahi yang
diselaputi awam indah dan diselimuti kabus. Masakan tidak, betapa tinggi
terbangnya helang, ketinggian gunung yang diredah membolehkan penulis berada tinggi
dari si burung.
Sesekali telinga terasa bingit seperti berada di dalam kapal
terbang.

 

Itulah gambaran awal yang
mewarnai perjalanan penulis sebelum tiba ke destinasi, Long Napir. Tetapi, yang
paling mencabar ialah memikirkan apakah respons kaum Penan menerima kehadiran
penulis dan rombongan?

 

Kedatangan kami pada 14 November
2008 bukanlah bertujuan ’mencuci mata’ sebaliknya membawa misi besar khas
kepada kaum Penan melalui aktiviti yang bakal dijalankan di bawah Program
Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang diterajui oleh Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah (KKLW).

 

Kursus Motivasi Kaum Penan
merupakan platform menemui masyarakat ini dengan harapan akan muncul kesedaran

untuk mengubah keadaan hidup dan ’mula ambil tahu’ akan kehidupan sebenar yang
sepatutnya mereka lalui seperti rakyat Malaysia yang lain.

 

Dianjurkan oleh Pejabat Daerah
Limbang, kursus dua hari ini ini berjaya menghimpunkan kaum penan dari kawasan
antaranya Long Adang dan Long Sebayang seramai lebih 50 orang. Dengan bantuan
sukarelawan, Puan Linda sangkaan awal penulis ternyata meleset kerana respons daripada
peserta begitu menggalakan.

 

Para peserta terdiri dari
golongan ibu bapa, para remaja yang sesetengahnya sudah berhenti sekolah dan
sebahagian kecil kaum Kelabit.

 

Ternyata kekentalan semangat
hidup di kawasan terpencil dan sukar dihubungi menjadikan mereka ’kuat’ dan
tidak menjadikan cuaca hujan, terpaksa membawa bayi dalam kendongan, melalui
jambatan gantung dalam kegelapan malam dan berjalan kaki sejauh 45 minit dari
kediaman di Rumah Leju, Kampung Bahagia ke Dewan SK Long Napir sebagai halangan
untuk turut serta.

 

Peredaran masa dan pergaulan
kaum Penan dengan masyarakat lain menjadikan mereka memahami pertuturan dalam
Bahasa Malaysia namun tidak semua mempunyai kemahiran menulis. Komunikasi yang
diselangi bahasa mudah digunakan oleh para penceramah untuk memberi motivasi
kepada para peserta selain menggunakan ’slide show presentation’.

 

Jabatan Penerangan Malaysia,
Limbang, Pejabat Pelajaran Gabungan Limbang, Pejabat Pertanian Limbang, Pejabat
Pendaftaran Limbang dan Pejabat Kesihatan Limbang antara jabatan yang turun
padang  untuk berkongsi hasrat kerajaan
yang sentiasa membantu kaum Penan.

 

Berlandaskan pepatah jika
inginkan seseorang berjaya jangan beri dia ikan sebaliknya berikan dia pancing.
Konsep inilah yang dipegang oleh para penceramah yang cuba menunjukkan jalan
kepada kaum Penan bagi menggerakan sendiri perubahan dan tidak mengharapkan
bantuan semata-mata.

 

Walaupun pada hakikatnya mereka
tidak memahami sepenuhnya apa yang disampaikan namun, mereka cukup sedar betapa
pentingnya pendidikan kepada anak-anak bagi mendepani kehidupan semasa yang
tidak mempunyai sebarang jaminan.

 

Para peserta dilihat begitu
tertarik dengan penerangan dari Jabatan Pertanian dan respons ini memberi
gambaran bahawa mereka cuba untuk mengubah senario kebergantungan kepada hasil
hutan yang tidak menentu sedangkan populasi mereka kian bertambah.

 

Para peserta kelihatan begitu
setia dan amatlah sukar melihat mereka keluar masuk sewaktu ceramah atau
mengantuk sebaliknya mereka duduk mendengar dan bertanyakan soalan apabila
diberi peluang.

 

Keadaan dewan adakalanya gamat
apabila para penceramah menyebut nama jutawan Penan, Datuk Hassan Sui, orang
Penan pertama menjejak kaki ke universiti, Zain Rocky  dan anak Sarawak yang telah berjaya seperti
Dato Sri Idris Jala yang cukup mereka kenali dan sebahagiannya pernah bersua
muka.

 

Salah seorang peserta, Cikgu
Yong, bekas guru sandaran dan sangat fasih berbahasa Inggeris. Beliaulah yang
menjadi ’orang kuat’ bagi bertanyakan soalan dan masalah mewakili masyarakatnya
dan ternyata soalan yang dikemukakan menggambarkan ada usaha yang ingin mereka
gerakkan untuk mewujudkan perubahan.

 

Kehidupan semasa yang melatari
hidup mereka mungkin tidak mampu diubah secara drastik, namun menyedari bahawa
pentingnya pendidikan dan pertanian sebagai sumber makanan sudah cukup membuka
sinar baru dalam kehidupan masyarakat ini.

 

Penulis mendapat pengajaran
besar bahawa tidak ada standard atau piawaian tertentu yang boleh dijadikan
titik perbezaan antara kaum penan dan masyarakat di luar sana. Justeru itu,
sudah semestinya kaum Penan perlu melihat ini sebagai kekuatan dan keluar
perlahan-lahan dari kehidupan tradisional, membiarkan generasi seterusnya
mewarisi kehidupan yang bergantung kepada hasil hutan yang kian menyusut.

 

Hakikatnya, untuk berubah,
individu atau kaum itu sendiri perlu bangkit mengubah nasib masing-masing
kerana perubahan itu perlu disertai dengan kekuatan hati dan semangat
diinginkan kemajuan. Kaum Penan telah 
pun memiliki individu yang berjaya dan mempunyai kehidupan yang lebih
baik dan ini perlu dijadikan inspirasi untuk mencipta perubahan demi kehidupan
yang lebih baik.

 

Sememangnya telah tersedia
jalan-jalan untuk kaum Penan berubah. Hanya menanti mereka mengapai cahaya
perubahan ini agar kehidupan generasi akan datang diterangi nikmat pembangunan
dan kejayaan menjadi insan cemelang, gemilang dan terbilang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article