Pemantapan Prasarana Pendidikan
menaiktaraf kemudahan fizikal untuk sekolah-sekolah di seluruh negeri
Sarawak melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM106.4 juta pada
tahun 2008. Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM31.01 juta adalah
peruntukan untuk perolehan harta modal (perabot sekolah), manakala
RM75.39 juta adalah peruntukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan
sekolah.
Manakala
dari tahun 2006 hingga 2008, Jabatan Pelajaran Sarawak telah
diperuntukkan sejumlah kira-kira RM941.3 juta untuk tujuan pembangunan.
Dalam tempoh yang sama, sejumlah kira-kira RM732.9 juta telah
dibelanjakan untuk tujuan pelbagai jenis pembangunan.
Dalam
usaha membawa pendidikan ke seluruh pelusuk negeri serta lebih dekat
kepada masyarakat, pembinaan sekolah merupakan langkah yang terbaik kea
rah merealisasikan hasrat berkenaan. Dalam RMK-9, sejumlah 137 buah
sekolah telah dirancangkan untuk dibina. Daripada jumlah itu, sejumlah
15 buah adalah dalam kategori pendidikan rendah dan 53 lagi merupakan
pendidikan menengah. Selebihnya adalah Program Luar Bandar yang
merangkumi 59 buah untuk pendidikan rendah dan 10 buah lagi adalah
untuk pendidikan menengah.
Mengikut
pecahannya, sejumlah 31 buah adalah di bawah kawasan pentadbiran
Pejabat Pelajaran Gabungan (PPG) Kuching, 12 buah di PPG Sri Aman, 5
buah di PPG Sibu, 16 buah di PPG Miri, 12 buah di PPG Limbang, 5 buah
di PPG Sarikei, 4 buah di PPG Kapit, 25 buah di PPG Samarahan, 8 buah
di PPG Bintulu, 11 buah di PPG Betong dan 8 buah di PPG Mukah.
Kepentingan
pendidikan awal kanak-kanak diakui oleh semua pihak, termasuk ibu bapa
yang semakin menyedari keperluan menghantar anak-anak mereka menjalani
sistem pendidikan prasekolah. Dari tahun 1992 sehingga tahun 2009,
bilangan kelas prasekolah di bawah Jabatan Pelajaran Sarawak meningkat
dengan begitu ketara, seiring dengan kesedaran yang ditunjukkan oleh
ibu bapa itu tadi. Dari sejumlah 154 buah kelas di 154 buah sekolah
pada tahun 1992, bilangannya meningkat mencapai 1,093 buah kelas di
sebanyak 924 buah sekolah pada tahun ini.
Meningkatnya
bilangan kelas dan sekolah seperti yang dinyatakan bermakna bilangan
tenaga kerja untuk menguruskan sistem pendidikan di peringkat akar umbi
atau sekolah akan turut sama meningkat. Berdasarkan data pada 30 Jun
2008, seramai 14,111 orang guru berkhidmat di sejumlah 177 buah sekolah
menengah di seluruh negeri ini. Sementara itu, 22,446 orang guru pula
berkhidmat di sejumlah 1,258 buah sekolah rendah (tidak termasuk 4 buah
Sekolah Pendidikan Khas). Sungguhpun demikian, dalam tempoh yang sama
Sarawak masih kekurangan kira-kira 880 orang guru di sekolah menengah,
manakala 1,193 orang guru lagi di sekolah rendah.
Bagi
mengatasi kekosongan yang agak tinggi itu, Jabatan Pelajaran telah
mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk berkhidmat di
sekolah-sekolah yang terlibat. Pada Oktober 2008, seramai 1,958 orang
GSTT telah diambil untuk bertugas di sekolah-sekolah terlibat.
Pengambilan GSTT itu, telah membantu pihak Jabatan menangani kekurangan
guru terlatih di sekolah-sekolah, di samping mengisi kekosongan tempat
yang ditinggalkan oleh guru yang melanjutkan pengajian atau cuti
panjang seperti cuti bersalin.
Bagi
menggalakkan guru berkhidmat di kawasan luar bandar pula, kerajaan
telah menyediakan bayaran khas untuk guru-guru yang berkhidmat di
kawasan yang terlibat. Ada dua jenis elaun yang disediakan iaitu
Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan
Tahap Kesukaran.
Bagi
BIP, bilangan guru sekolah rendah yang menerimanya ialah seramai 988
orang dan untuk sekolah menengah ada 31 orang. Manakala untuk Elaun
Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan (Pedalaman 1 (RM500),
Pedalaman 2 (RM1,000), dan Pedalaman 3 (RM1,500)), seramai 4,601 orang
guru sekolah rendah dan 350 orang guru sekolah menengah yang telah
menikmati kemudahan itu pada tahun 2008.
Daripada
segi bekalan elektrik pula, sejumlah 851 buah sekolah rendah (67.4%)
dari jumlah keseluruhan sebanyak 1,262 buah sekolah rendah telah
dihubungkan dengan elektrik yang disediakan oleh Perbadanan Pembekalan
Letrik Sarawak (SESCO). Sebanyak 409 buah sekolah pula menggunakan
janakuasa, manakala masing-masing sebuah sekolah mendapat sumber tenaga
elektrik daripada pihak swasta 24 jam dan swasta 12 jam.
Bekalan
elektrik swasta 24 jam digunakan di SK Bukit Kinyau di Sarikei iaitu ia
mendapat sumber bekalan elektrik dari sebuah kilang papan yang
berhampiran. Bekalan elektrik swasta 12 jam pula terdapat di SK Ng.
Tada, Kanowit di mana bekalan elektriknya selama 12 jam adalah dari
rumah panjang di situ.
Bagi
sekolah menengah pula, daripada sejumlah 177 buah sekolah yang ada, 169
buah atau 95.48% mendapatkan tenaga elektrik daripada SESCO manakala 8
buah sekolah pula menggunakan janakuasa (generator set). Usaha masih
diteruskan oleh Jabatan Pelajaran untuk menghubungkan sekolah-sekolah
dengan jaringan kemudahan elektrik 24 jam dan janakuasa bagi sekolah
yang jauh daripada sistem grid SESCO.
...bersambung esok