Matlamat Pelan Induk Pembangunan Penerbitan (PIPP) adalah untuk menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua. Bagi memastikan matlamat kali ini dapat dicapai, dua pendekatan utama telah dikenali pasti sepanjang tempoh RMK Ke-9 iaitu:
- menyelesaikan tugas yang masih belum selesai dalam rancangan lima tahun sebelum ini iaitu memastikan akses kepada pendidikan dan menyamaratakan medan persaingan dalam kalangan pelajar; dan
- mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan sehingga membolehkan guru dan pelajar mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia.
Dalam pendekatan pertama, komitmen Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama tanpa mengira lokasi, kaum ataupun daripada kelompok kurang upaya, Orang Asli dan suku minoriti lain. Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan semua pelajar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dan tidak ada pelajar yang tercicir dari sistem pendidikan akibat kemiskinan, dan lokasi akan ditingkatkan untuk memastikan semua pelajar mendapat akses teknologi komunikasi bermakumat khususnya capaian kepada internet.
Dalam pendekatan kedua, komitmen Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk memberi perhatian khusus ke atas sekolah yang telah mencapai tahap cemerlang untuk memastikan bukan sahaja ia dapat mempertahankan kecemerlangan malah mampu mempertingkatkannya ke tahap lebih tinggi. Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengenal pasti sekolah-sekolah dalam kluster Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Premier, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah 100 tahun (Centennial), Sekolah Bestari serta sekolah-sekolah Putajaya dan Cyberjaya. Seterusnya, KPM akan memperkenalkan pelbagai program yang dapat membantu meningkatkan lagi kelebihan, kekuatan dan daya saing sekolah dalam kluster ini.
Teras 1 : Membina Negara Bangsa
Memberi fokus kepada pembinaan Negara Bangsa melalui pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhasrat untuk membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Hasrat Membina Negara Bangsa ini akan dicapai dengan memperkasakan bahasa Malaysia, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) serta menggiatkan aktiviti kokurikulum dan sukan bagi membina jati diri serta menerapkan budi bahasa dan adab dalam kalangan pelajar.