- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Sarawak Terima Peruntukan RM40 Juta (Fasa 1)

Must read


Dari KPWKM untuk Jayakan Program 1AZAM


YB Senator Dato’ Sri Sharizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah menyampaikan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah untuk menjalankan program 1AZAM. Cek berjumlah RM40 juta tersebut disampaikan kepada YAB Pehin Sri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak.

Peruntukan RM40 juta ini akan member manfaat kepada seramai 24,313 ketua isi rumah (KIR) miskin (yang berpendapatan RM830 ke bawah) dan miskin tegar (yang berpendapatan RM520 ke bawah) yang berdaftar di bawah senarai eKasih di Sarawak. Di Semenanjung Malaysia, KIR miskin adalah berpendapatan RM750 ke bawah dan miskin tegar yang berpendapatan RM440 ke bawah. Daripada jumlah KIR ini, sehingga 9 Julai 2010 seramai 14,416 KIR miskin dan 9,897 miskin tegar telah berdaftar di bawah eKasih bagi negeri Sarawak. Pemberian RM40 juta ini merupakan susulan perbincangan yang telah diadakan antara KPWKM dan Kerajaan Negeri Sarawak pada bulan Mac lalu di mana peruntukan ini akan digunakan untuk membiayai program 1AZAM merangkumi Azam Tani, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Kerja yang akan dimanfaatkan oleh KIR terlibat.


1AZAM merupakan peluang menjana pendapatan untuk golongan miskin dan miskin tegar melalui pendekatan kebajikan produktif (productive welfare) di bawah NKRA – Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Pelaksanaan program 1AZAM ini dijayakan secara bimbingan berterusan (hand-holding programme) kepada kumpulan KIR terlibat yang direalisasikan dengan kerjasama di antara pelbagai Jabatan, agensi dan NGO seluruh Sarawak. Konsep bimbingan berterusan (hand-holding) yang diterapkan dalam program 1AZAM ini bertujuan memastikan KIR terlibat dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang menjana pendapatan dan kemahiran sehingga akhirnya berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.


Di Negeri Sarawak, potensi bagi memperluaskan Projek Azam Khidmat dan Azam Niaga adalah tinggi berdasarkan pelbagai kemahiran yang dimiliki oleh penduduk Sarawak serta kekayaan produk kraftangan, kesenian dan kebudayaan negeri ini. Projek awal Azam Khidmat dimulakan melalui Program Pengurus Rumah (Home Managers) yang telah melibatkan 120 orang ibu tunggal dan wanita tempatan. Projek yang dibiayai oleh KPWKM ini dimulakan sejak tahun 2009 menyediakan latihan kepada wanita yang berminat untuk bekerja di bidang pengurusan kediaman (meliputi kebersihan, kerja-kerja rumah dan keselamatan), penjagaan bayi dan kanak-kanak, penjagaan warga emas dan pesakit. Melalui program ini, kebergantungan terhadap pembantu rumah asing dapat dikurangkan dan membolehkan majikan memperoleh perkhidmatan pengurusan yang profesional dan terjamin. Sejak program ini dimulakan peserta terlibat telah berjaya menjana pendapatan di antara RM450 hingga RM1200 sebulan.


Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada bidang keusahawanan melalui Projek Azam Niaga di mana latihan perniagaan dan pemasaran diberikan kepada KIR terlibat. Peluang tinggi memperluaskan pasaran pelbagai produk yang diminati para pelancong asing mahupun tempatan antaranya kraftangan seperti pasu, tikar, terendak, hiasan manic, hasil tenunan pua dan makanan seperti kek lapis, ikan masin , tebaloi, serta sagu perlu dimanfaatkan sepenuhnya yang seterusnya membantu KIR menjana pendapatan.


Sehubungan itu, KIR miskin tegar dan miskin yang berdaftar di bawah eKasih di negeri Sarawak adalah digalakkanuntuk menyertai projek Azam Khidmat dan Azam Niaga. Menjelang awal tahun 2011, diharapkan pelaksanaan program 1AZAM ini akan dapat membantu meningkatkan taraf isi rumah berpendapatan rendah dan seterusnya mencapai hasrat Kerajaan membasmi kemiskinan di negeri Sarawak dan seluruh negara amnya.







Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article