- Advertisement -spot_img
4,806
published news
and counting

Cari pendekatan baru mengurus Integriti

Must read

Ekspektasi tinggi pelanggan menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari pendekatan baru dan inovatif bagi mengurus integriti di kalangan kakitangannya. Melalui program yang berterusan dan menarik, ia diyakini mampu membudayakan  integriti di kalangan penjawat.

Perubahan semasa dan cabaran baru tugas-tugas PBT juga perlu turut diambil kira dan  disusuli dengan mekanisme baru bagi memastikan integriti dapat diurus dengan baik.

Sekiranya integriti tidak ditangani sebaik mungkin, ia pasti menjejaskan usaha PBT memberikan perkhidmatan yang efisien.

Perkara ini dinyatakan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Ybhg Datu Abdul Ghafur Sharif ketika merasmikan Seminar Integriti Warga Pihak Berkuasa Tempatan (SIWPBT) Sarawak di Auditorium DBKU pada 22 November 2010.

Jelas beliau lagi, kerajaan telah pun memberikan penekanan soal integriti dalam Pelan Integriti Nasional, sebelum ini yang kemudian diteruskan dalam aktiviti bidang keberhasilan utama (NKRA) terutama dalam membanteraskan rasuah.

Kata beliau lagi, dalam perkhidmatan awam, penerapan nilai-nilai seperti kekentalan disiplin, etika kerja yang baik, kesetiaan, dedikasi, dan  kecekapan seharusnya ditanam dalam setiap sanubari penjawat awam.

Paling penting, menurutnya penjawat awam termasuk para pengurus memikul amanah dan tanggungjawab yang besar bagi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan orang awam.

Tambahnya lagi,  segala gejala negatif  haruslah dibendung agar integriti perkhidmatan awam termasuk PBT tidak persoalkan dan imejnya tidak tergugat atau terjejas.

Kini, setiap tindak tanduk perkhidmatan awam termasuk PBT amat memainkan peranan yang penting terutamanya Sarawak dalam pembangunan Koridor Tenaga Yang DiPerbaharui Sarawak (SCORE) dan hasrat negara yang ingin  mencapai negara berpendapatan tinggi.

Apa yang pasti, katanya antara pertimbangan  para pelabur sebelum memulakan pelaburan disesebuah negara turut mengambil kira faktor ukuran persepsi indeks rasuah dan beberapa petunjuk yang lain.

Dalam perkara berkaitan, mengenai nilai untuk memperkukuhkan integriti, beliau berkata ia boleh direalisasikan dengan mengamalkan empat (4) nilai ketrampilan iaitu bertindak secara konsisten, memberitahu perkara yang sebenar, pendirian teguh terhadap kebenaran dan menunaikan janji.

Disamping itu, beliau turut mencadangkan agar integriti itu dapat dilihat dalam konteks yang lebih besar yang menjurus kepada sesuatu yang positif seperti pembangunan sahsiah dan moral umpamanya.

Ia bagi memberikan satu tanggapan baru yang mampu memberi semangat dan dimensi baru kepada kakitangan awam agar integriti dilihat sesuatu yang bergerak dan berterusan ke arah suatu yang positif.

Katanya, kini amat kurang kejayaan mengenai sesuatu tahap pencapaian direkodkan oleh pihak berkuasa tempatan dan ia seharusnya di beri perhatian yang sewajarnya oleh pihak berkenaan.

Seramai 200 kakitangan awam dari PBT seluruh Sarawak  telah menghadiri seminar satu hari tersebut yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri (JKM), Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (KASKA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM)

Sebanyak tiga (3) tajuk ceramah pembentangan akan diadakan iaitu Pembudayaan Integriti dalam PBT yang disampaikan oleh Encik Mohamad Diah Wahari, Pengarah Sektor Awam, Institut Integriti Malaysia ; Isu dan Cabaran Pengurusan PBT dan Perspektif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Encik Mohd Nor bin Ali, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Sarawak manakala pembentangan ketiga, Isu Salah Laku dan Penyelewengan Dalam PBT Dari Perspektif Audit oleh Puan Ong Swee Leng, Pengarah, Sektor Audit Kerajaan Negeri Jabatan Audit Negara.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article