Diperkenalkan
Talikhidmat, iaitu perkhidmatan sehenti dan saluran aduan utama di negeri Sarawak sekali lagi mengorak langkah proaktif dalam mengalakkan lebih ramai masyarakat menggunakan perkhidmatan mereka menggunakan platform khidmat pesanan ringkas (sms) ataupun secara mobile. Peristiwa bersejarah ini dirasmikan pelancarannya ketika program Sejiwa Senada di Miri pada 21 Januari yang lepas oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Menurut Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Korporat, Encik Bakrie Zaini ketika mengadakan sidang media baru-baru ini berkata pemilihan platform (penggunaan telefon mudah alih) adalah tepat pada masanya memandangkan hamper kebanyakan orang menggunakan teknologi tersebut.
Beliau yakin bahawa pengenalan perkhidmatan tersebut, sekaligus meningkatkan penerimaan aduan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Talikhidmat, selain platform yang sedia ada iaitu melalui cara yang konvensional seperti melalui telefon, emel, surat-menyurat ataupun kunjungan terus ke pejabat.
Sambil menjelaskan, setiap sms yang dihantar dan untuk memeriksa status, mereka perlulah menaip “555999 submit” disusuli dengan mesej yang ingin dihantar. Sebagai contoh, “555999 submit Lampu Jalan Tidak Berfungsi di Jalan A”dan kemudian menghantarkan ke 62999.
Manakala untuk memeriksa status kes, hendaklah menaip “555999 status”, diikuti dengan nombor kes sebagai contoh, 555999 status 20110101-001 dan terus menghantarnya ke nombor 62999. Maklumbalas akan diterima tidak sampai satu minit setelah sms dihantar.
Mengimbas kembali mengenai Talikhidmat, jelas Encik Bakrie, ia mula diperkenalkan dalam tahun 2000 dan semenjak dari itu, ia terus mendapat sambutan mengalakkan.
Secara amnya, lebih kurang 5,000 kes diterima setiap tahun.Pada tahun lepas (2010), pihaknya menerima 6,214 kes berjaya direkodkan dan daripada jumlah tersebut 66 peratus terdiri daripada aduan awam mengenai aspek kebersihan, kemudahan tandas, parit tersumbat dan gangguan perkhidmatan utiliti terjejas.
Selebihnya, menurut beliau lagi,aduan mengenai jalan raya dan pertanyaan tempat menarik. Hampir 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
Fakta Menarik
Saluran lain Talikhidmat ; secara
- Telefon : 555999
- Faks : 555888
- email : 555999@sarawaknet.gov.my
- mobile : m555999.sarawak.gov.my
- Datang : Pusat Talikhidmat, Tingkat 8, Unit Perhubungan Awam dan Korporat,Jabatan Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia