- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

AKPANS 2010 akan dikenali sebagai

Must read

Anugerah Inovasi PANS pada tahun 2011

Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) 2010 adalah anugerah kualiti terakhir diadakan di  negeri ini, sebelum Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AIPANS) yang akan menggantikannya bermula pada tahun 2011.

Ini selaras dengan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YBhg Datuk Amar Haji Morshidi Abdul Ghani berkuat kuasa 11 November 2010 yang meminta unit-unit kualiti agensi-agensi perkhidmatan awam negeri ini untuk ditukarkan kepada unit-unit inovasi.

Bagi AKPANS 2010, agensi-agensi yang menyertainya akan berpeluang untuk memenangi anugerah-anugerah seperti Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak (AKKMS), Anugerah Kualiti Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (AKSUKS), Anugerah Kualiti Setiausaha Persekutuan Sarawak (AKSUPS), serta Anugerah-Anugerah Kualiti Pejabat Residen Sarawak (AKPR), Pejabat Daerah Sarawak (AKPD), Pihak Berkuasa Tempatan (AKPBT) dan Pejabat Cawangan Sarawak (AKPC).

Seperti anugerah-anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) sebelumnya, ia bertujuan untuk mengiktiraf agensi-agensi yang cemerlang, namun belum mencapai tahap memenangi sebarang anugerah dalam AKPANS.

AKPANS 2010 antara lain mempunyai objektif menggalakkan dan meningkatkan kesedaran tentang kualiti dalam sektor awam, memberikan pengiktirafan secara formal kepada agensi-agensi kerajaan yang telah menunjukkan pemahaman yang mendalam tentang pengurusan dan peningkatan kualiti serta mencapai tahap unggul kepimpinan kualiti, serta memberikan publisiti tentang strategi-strategi kualiti yang telah berjaya.

Selain itu juga, ianya adalah bagi menggalakkan persaingan sihat antara agensi-agensi kualiti yang telah berjaya, dan juga memberikan manfaat kepada agensi/jabatan untuk menilai tahap kecemerlangan masing-masing serta mengetahui kekuatan, kelemahan dan cadangan pembaikan masing-masing bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

AKMMS bagi tahun 2010 menawarkan hadiah wang tunai RM5, 000, trofi dan sijil, AKSUKS wang tunai RM4, 000, serta sijil dan trofi, manakala pemenang AKSUPS akan menerima RM3, 000 berserta trofi dan sijil.

AKPR, AKPD, AKPBT dan AKPC masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM2, 000, trofi dan sijil bagi pemenang tempat pertama, RM1, 000 serta sijil untuk pemenang tempat kedua, dan RM500 serta sijil untuk setiap pemenang tempat ketiga.

Syarat kelayakan untuk mengambil bahagian dalam AKPANS yang bertarikh tutup 4 Mac 2010, adalah penyertaan dari semua kementerian, jabatan dan agensi peringkat negeri, persekutuan dan daerah, serta badan-badan berkanun persekutuan atau negeri, namun mana-mana agensi yang telah memenangi AKKMS adalah dikecualikan dari menyertai anugerah dalam tempoh tiga tahun setelah memenanginya.

Agensi-agensi yang ingin menyertai AKPANS 2010 harus melengkapkan Borang Maklumat Agensi AKPANS dan mengemukakannya selewat-lewatnya 2 Disember 2010, dan lima salinan keras (hard copy) buku laporan dan satu salinan lembut (soft copy) harus dihantar sebelum atau pada 4 Mac 2011.
 
Proses penilaian AKPANS 2010 bermula dengan semua permohonan penyertaan akan menjalani rujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melihat dari aspek integriti, Jabatan Perkhidmatan Awam bagi kes-kes tatatertib, Biro Pengaduan Awam bagi kes aduan awam dan Jabatan Audit Dalaman bagi kes pengurusan kewangan.

Seterusnya, tapisan awal akan dilaksanakan oleh pihak urus setia AKPANS 2010 bagi memastikan agensi yang ingin menyertai memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan, dan diikuti tapisan ke atas dokumen permohonan yang termasuk penilaian oleh Panel Penilai yang dilantik, kemudiannya penilaian lanjut panel melalui ‘desk top audit’ dan lawatan tapak.

Semasa lawatan penilaian yang dijadualkan akan diadakan pada April hingga Jun 2011, agensi agensi yang mengambil bahagian dikehendaki memberikan taklimat kepada Panel Penilai AKPANS 2010 mengenai kecemerlangan organisasi mereka berpandukan kepada empat criteria yang berkaitan.

Sesi taklimat harus terdiri dari ucapan dari agensi, seboleh-bolehnya oleh Ketua Jabatan/Agensi, pembentangan oleh agensi mengenai kriteria-kriteria utama, iaitu Kepimpinan Organisasi, Pengurusan Sumber, Sistem Kualiti Penyampaian Perkhidmatan dan juga Pencapaian Organisasi, sebelum bergerak pula ke tapak-tapak agensi bagi lawatan peninjauan oleh ahli-ahli panel.

Sesi taklimat akan diakhiri oleh rumusan oleh Ketua Panel Penilai AKPANS 2010, dan mana-mana penemuan, sama ada kekuatan atau kelemahan yang dikenal pasti semasa lawatan akan dimaklumkan secara telus kepada agensi.

Berkenaan Buku Laporan AKPANS yang harus disediakan oleh mana-mana agensi yang mengambil bahagian dalam AKPANS 2010, ianya harus disediakan oleh mereka bagi membolehkan agensi memberikan penjelasan mengenai pelaksanaan dan amalan pengurusan kualiti menyeluruh dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan mereka.

Ia juga akan dijadikan sebagai asas oleh Panel Penilai AKPANS untuk menilai kecemerlangan dan keunggulan agensi-agensi dalam membudayakan kualiti secara menyeluruh sehingga menjadi organisasi berprestasi tinggi serta membezakan antara satu agensi dengan yang lain.

Laporan AKPANS harus mempunyai dua bahagian, dengan bahagian pertama harus mempunyai penerangan mengenai maklumat agensi yang memohon menyertai AKPANS termasuk latar belakang organisasi, fungsi utama, misi, visi dan objektif mereka, carta organisasi, bilangan kakitangan, petunjuk output utama dan lain-lain maklumat berkaitan, semuanya tidak boleh melebihi 10 muka surat.

Bahagian kedua pula (tidak boleh melebihi 90 muka surat) patut mengandungi penerangan mengenai pelaksanaan, amalan dan kecemerlangan empat komponen utama dalam pengurusan agensi iaitu Pengurusan Output, Pengurusan Proses, Pengurusan Sumber dan Kepimpinan Pengurusan Atasan berdasarkan empat kriteria penilaian.

Penerangan dan penjelasan hendaklah jelas, ringkas dan padat, manakala penggunaan gambar-gambar dan lampiran digalakkan.     


Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article