- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Hari Pahlawan 2011 Kenang Jasa Perwira

Must read

yang Berbakti Untuk Negara

Tarikh 31 Julai setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Pahlawan Malaysia, di mana Hari Pahlawan ini bertujuan untuk memperingati jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis yang mempertahankan tanah air sebelum dan selepas Malaysia merdeka.

Hari Pahlawan disambut dengan nama berlainan di setiap negara, namun tujuannya adalah sama iaitu untuk memperingati perajurit dan pahlawan yang berjuang dan berkorban demi tanah tumpah darah masingmasing serta menunjukkan penghargaan kepada wira-wiranya.

Di negara Komanwel seperti New Zealand, Australia dan Britain, mereka meraikan ‘Rememberance Day’ untuk memperingati angkatan tentera mereka yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama.

Di United States, hari memperingati dikenali dengan nama ‘Veterans Day’ manakala di France dan Belgium ia dikenali sebagai ‘Armistice Day’.

Di Sarawak, nama-nama seperti Datuk Merpati Jepang, Sharip Masahor, Datuk Patinggi Ali, Rosli Dhoby, Pehin Orang Kaya Setia Raja Abang Manai, Rentap, Sawing dan Liu Shanbang (Liew Shan Pang) sudah tidak asing lagi di kalangan penduduk setempat.

Mereka adalah antara pahlawan-pahlawan Sarawak yang terkenal dalam memperjuangkan bangsa masing-masing daripada penjajah.

Sehingga kini nama pahlawan-pahlawan ini masih terpahat pada Tugu Pahlawan Sarawak kerana keberanian mereka mengorbankan nyawa demi membela nasib peribumi Sarawak.

Datuk Merpati Jepang melawat dan mengutip cukai di kampung-kampung di bawah jagaannya serta mengawal kampung-kampung tersebut daripada serangan lanun-lanun dan orang asing.

Sepanjang hidup Sharip Masahor, beliau telah menentang pemerintahan orang Eropah di negeri Sarawak dengan membuat kekacauan anti-Eropah di Kanowit, Sarikei, Lundu dan Kuching.

Datuk Patinggi Ali memberontak dan memimpin penduduk tempatan menentang ketidakadilan pemerintahan Brunei.

Rosli Dhoby adalah pahlawan Melayu Sarawak yang menentang pemerintahan kolonial di Sarawak sehingga beliau bertindak membunuh Gabenor Duncan Stewart dan dijatuhkan hukuman mati bersama rakan-rakannya Morshidi Sidek, Bujang Suntong dan Awang Ramli Amit.

Pehin Orang Kaya Setia Raja Abang Manai pula telah dilantik sebagai ketua orang Melanau dan diamanahkan untuk menyelesaikan apa-apa masalah serta kerumitan yang timbul di kalangan penduduk tempatan.

Rentap adalah seorang pahlawan Iban yang terkenal dengan keberaniannya melawan Rajah Brooke manakala Sawing adalah ketua orang Iban di Kanowit yang menentang pemerintahan Brooke. Beliau bersama Skalai dan Talip menghalang peluasan kuasa Brooke di Kanowit.

Liu Shanbang adalah pengasas kerajaan terbuka berasaskan perkongsian dan pertalian kekeluargaan di Bau Lama yang menentang pemerintahan James Brooke kerana campur tangan Brooke dalam pentadbiran kongsi dengan mengenakan cukai serta mengawal pengeksportan emas dan bahan-bahan lain di kawasan kongsi.

Jelas sekali di sini bahawa asas perjuangan pahlawanpahlawan Sarawak ini adalah sama, iaitu mempertahankan bangsa, kawasan dan negeri daripada penjajah.

Mereka memperjuangkan kemerdekaan sehingga rela mempertaruhkan nyawa demi merealisasikan cita-cita bangsa.

Semangat pengorbanan para pahlawan yang sebeginilah harus diambil sebagai tauladan kepada kita yang masih hidup.

Kita haruslah bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menghayati dan mengingati semangat yang telah diperjuangkan oleh mereka demi mempertahankan kedaulatan negeri tercinta.

Semangat kepahlawanan mereka lah yang membolehkan kita hidup aman dan damai sehingga ke hari ini.

Bersempena dengan itu, pada tahun ini buat julung kalinya sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri diadakan di Sarawak yang dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Majlis bertemakan ‘Negaraku Gemilang Pahlawan Dikenang’ yang diadakan di perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri Lama ini bertujuan mengenang jasa-jasa perajurit dan wira Negara.

Pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan lain-lain turut mengambil bahagian dalam majlis penuh bersejarah itu.

Sambutan pada hari itu dimulakan dengan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja yang disertai 103 anggota pelbagai pangkat.

Majlis diteruskan dengan persembahan deklamasi sajak Pahlawan, persembahan Pantomin bertajuk “Kenangan Seorang Pahlawan” dan pameran anjuran Jabatan Muzium Sarawak.

Sesungguhnya pengorbanan pahlawan-pahlawan mempertahankan kedaulatan negara perlu kita contohi dan hayati.

Keringat bakti yang dicurahkan oleh pahlawanpahlawan tanah air dari pelbagai kaum untuk mengekalkan kedaulatan negara tanpa menghiraukan keselamatan diri dan keluarga merupakan satu pengorbanan yang tidak terbalas walau dengan wang ringgit sekalipun.

Semangat sanggup berkorban jiwa dan raga yang menjadi pegangan pahlawan terdahulu jangan sesekali luput dari ingatan kita sebagai teras utama mempertahankan negara di masa akan datang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article