Bahagian Pembangunan Infrastruktur Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) memainkan peranan yang sangat penting dalam mengurus hal ehwal berkaitan permohonan bantuan dana bagi rumah-rumah ibadah bukan Islam di negeri Sarawak.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah UNIFOR, Encik Richard Lon yang ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak baru-baru.
Berkenaan perkara tersebut, beliau menjelaskan bahawa terdapat empat peringkat yang perlu dilalui oleh Bahagian Pembangunan Infrastruktur UNIFOR dalam mengurus permohonan-permohonan dana yang sudah diterima.
Peringkat pertama ialah, pihak UNIFOR akan melakukan penelitian terhadap skop projek fizikal sama ada pembinaan bangunan yang belum ada atau pembinaan semula bangunan, baik pulih bangunan, menyediakan kemudahan atau kelengkapan rumah ibadah, menyelenggarakan tapak perkuburan, membina rumah Paderi atau Vicar dan sebagainya.
Pada peringkat ini juga, pihak UNIFOR akan mengadakan Lawatan Verifikasi bagi memperkukuh pemantauan ke atas pengagihan dana seterusnya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penilai dan Mesyuarat Jawatankuasa Meluluskan untuk menyebarluaskan serta memastikan prosedur pengagihan dana dipatuhi.
Jika permohonan bantuan dana sudah diluluskan, bantuan tersebut akan disalurkan dalam bentuk cek atas nama akaun bank rumah ibadah masing-masing.
Pada peringkat yang kedua, pihak UNIFOR akan melakukan pemantauan ke atas kemajuan projek rumah ibadah seperti mengadakan lawatan tapak, mesyuarat pemantauan dan sebagainya bagi memastikan bantuan dana yang diberikan telah digunakan dengan sebaik mungkin.
Pada peringkat yang ketiga, pihak UNIFOR akan menyemak permohonan dan membuat ulasan serta rekomendasi kepada Jabatan Tanah dan Survei.
Setelah itu, UNIFOR akan membuat koordinasi bersama Jabatan Tanah dan Survei serta badan-badan keagamaan bagi pembukaan Centralize Burial Grounds di bandar-bandar utama.
Pada peringkat yang keempat, pihak UNIFOR akan mentadbir kesemua rekod rumah ibadah termasuk bilangan umat atau ahli, alamat rumah ibadah, koordinat maklumat perhubungan, hal-hal berkaitan tapak perkuburan dan kemudahan-kemudahan rumah ibadah yang lain.
Merujuk kepada Sarawak Facts and Figures 2013, Sarawak terdiri daripada penduduk pelbagai kaum, agama dan budaya merangkumi lebih 30 kumpulan etnik dengan populasi seramai 2.6 juta orang.
Daripada angka tersebut, jumlah penduduk beragama Kristian ialah sebanyak 1,107,600 (42.6%); diikuti penduduk beragama Islam sebanyak 837,200 (32.2%); Buddha sebanyak 351,000 (13.5%); dan kepercayaan lain termasuk Bahai, Hindu, Sikh, Confucianism dan Taoism sebanyak 304,000 (11.7%).
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Sarawak turut merekodkan sebanyak 486 Pertubuhan Keagamaan Bukan Islam di Sarawak yang terdiri daripada Buddha (326); Kristian (122); Tao (27); Hindu (5); Sikh (3); Bahai (1); dan Lain-lain (2).
Encik Richard Lon memberitahu, sejak UNIFOR ditubuhkan pada tahun 2017, Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana sejumlah RM165 juta kepada UNIFOR untuk membantu melaksanakan 938 projek rumah-rumah ibadah bukan Islam di Sarawak. Sebanyak RM15 juta dana diluluskan pada tahun 2017 untuk 77 projek; RM20 juta pada tahun 2018 untuk 231 projek; RM30 juta pada tahun 2019 untuk 212 projek; RM50 juta pada tahun 2020 untuk 418 projek dan RM50 juta jumlah dana yang telah diluluskan pada tahun 2021.