- Advertisement -spot_img
4,841
published news
and counting

Pemuliharaan Hutan Melalui Program Restorasi Landskap Hutan

Must read

Hutan merupakan khazanah alam yang begitu penting dan tinggi nilainya kerana mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat dan negara.

Selain menjadi habitat hidupan liar, hutan juga merupakan kawasan tadahan air. Oleh sebab itu, pengurusan dan pemuliharaan hutan yang baik amat penting demi kebaikan dan kelangsungan hidup.

Sebagai agensi yang mempelopori pengurusan hutan sejak lebih100 tahun lalu, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengambil pelbagai inisiatif dalam mengurus, memelihara serta meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan hutan di negeri ini.

Hutan adalah khazanah alam semula jadi yang perlu dipelihara

Ini JHS laksanakan melalui program restorasi landskap hutan dan perhutanan sosial bersama masyarakat dan pihak berkepentingan.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, YBhg Datu Hamden bin Haji Mohammad ketika ditemuramah RAKAN Sarawak

Pengarah JHS, YBhg Datu Hamden bin Haji Mohammad yang ditemu bual RAKAN Sarawak baru-baru ini memaklumkan, Program Restorasi Landskap Hutan (FLR) yang dilancarkan pada Jun 2019 di Sabal Forest Landscape Restoration Centre telah diangkat sebagai salah satu agenda utama Kerajaan Sarawak dalam memulihara hutan di Sarawak.

Sejak dilancarkan, Datu Hamden menerangkan pelbagai usaha telah dirancang dan dilaksanakan oleh JHS bagi menjayakan program FLR.

Antaranya adalah, menubuhkan lima (5) buah tapak semaian di Sabal, STIC di Sibu, Niah di Miri, Bintawa dan Lundu di Kuching serta merancang untuk mewujudkan tapak semaian Kayangeran FR di Lawas, Limbang.

Salah satu program FLR yang dijalankan oleh Jabatan Hutan Sarawak di Simunjan

Di bawah program FLR juga, JHS telah menjalankan agihan anak benih pokok spesies asli kepada pihak berkepentingan dan masyarakat setempat bagi melaksanakan program penanaman.

Para pemegang lesen juga tidak terkecuali dalam menjayakan program FLR dan sehubungan dengan itu, JHS telah mengarahkan pemegang lesen untuk melaksanakan tanaman mengaya (enrichment planting) di kawasan-kawasan terosot dan kawasan yang terjejas akibat aktiviti pembalakan.

Selain itu, JHS turut menggalakkan aktiviti penanaman pokok untuk dilaksanakan di kawasan tanah hak adat bumiputera (NCR), tanah berhak milik, tanah-tanah Kerajaan Negeri dan sebagainya.

Inisiatif penanaman pokok melalui FLR yang dilaksanakan oleh JHS juga adalah selari dengan Program Penghijauan Malaysia di bawah kempen Penanaman 100 juta pokok di seluruh negara anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia (KeTSA) bagi tempoh pelaksanaan RMK-12 (2021-2025) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 5 Januari 2021 yang lepas.

JHS sebagai peneraju program tersebut di peringkat negeri komited untuk menanam sebanyak 35 juta pokok bagi tempoh lima tahun atau tujuh juta pokok setahun.

Dalam menjayakan program tersebut, Datu Hamden optimis bahawa JHS dapat mencapai sasaran yang ditetapkan memandangkan pada tahun lepas, Sarawak telah berjaya menanam sebanyak 10.32 juta pokok.

Perancangan yang rapi dibuat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan seperti menubuhkan beberapa tapak semaian baharu di seluruh Sarawak, membaik pulih tapak semaian sedia ada dan mewujudkan kawasan model FLR di Bakam dan Sabal.

Selain itu, JHS juga menjalankan projek HPT pemuliharaan Landskap Hutan dengan cara pengkomersialan Hutan Tani di Sarawak, Communal Forest Lubok Antu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article