- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

RM4.5 Bilion Projek Pembangunan Diluluskan Untuk Sarawak

Must read

Dalam tempoh setahun yang lalu, Kerajaan Pusat komited dalam memacu pembangunan sosioekonomi di setiap negeri dan sudah pastinya tumpuan juga turut diberi kepada Negeri Sarawak.

Bagi Rolling Plan Pertama (RP1)2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 781 projek pembangunan telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion khususnya untuk Sarawak bagi pelaksanaan projek-projek di bawah pelbagai kementerian dan agensi.

Antara projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan di Sarawak ialah projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, projek menaik taraf Lapangan Terbang Mukah dan projek Pembangunan Hab Halal Tanjung Manis Fasa 1A.

Selain itu, projek sosial seperti Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Sarawak dan Pembinaan Hospital di Petra Jaya, Sri Aman serta Lawas juga giat dijalankan.

Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja mampu menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi tetapi juga dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak.

Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat turut memandang serius terhadap usaha untuk membasmi kemiskinan demi memastikan pembangunan yang inklusif di Negeri Sarawak.

Misalnya, Program Khas Bumiputera Sarawak yang merangkumi kluster Native Customary dan Pembangunan Ekonomi Baharu sedang dilaksanakan di bawah RP1 2021 yang bertujuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi golongan Bumiputera Sarawak.

Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin semasa berucap pada Majlis Town Hall ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 1 April 2021.

Sesi Townhall bermula

Sehubungan itu, beliau turut menyentuh berkenaan pembangunan modal insan yang merupakan salah satu teras yang penting dalam Wawasan Kemakmuraan Bersama (WKB) 2030.

Oleh sebab itu, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan di peringkat sekolah, pendidikan tinggi ataupun Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Tambah beliau, dalam tempoh RMK12, sebanyak RM988 juta diperuntukkan pada tahun 2021 untuk membiayai 347 buah projek pendidikan dan latihan di Sarawak termasuklah pembinaan dan penambahbaikan sekolah-sekolah Daif di Sarawak.

Peserta mengajukan soalan kepada Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin semasa sesi Townhall

Bagi meningkatkan kesalinghubungan dan mengurangkan jurang digital di kalangan masyarakat pula, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur telekomunikasi dan menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar yang lebik baik termasuk di Sabah dan Sarawak.

Di bawah pelan ini, penduduk di kawasan pedalaman Sarawak akan berpeluang menikmati perkhidmatan WiFi percuma pada purata kelajuan 35Mbps di 523 buah lokasi menerusi perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit yang dijangka siap menjelang Oktober 2021.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasa ekonomi digital, pembangunan di kawasan-kawasan seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) akan dipergiatkan bagi pelaksanaan projek pembangunan strategik.

Sehubungan itu, tumpuan juga harus diberi kepada sektor-sektor lain yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi seperti sektor pertanian komersial, pelancongan dan sumber tenaga menerusi Empangan Hidroelektrik.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article